Tuesday, November 20, 2012

Selangor peruntuk RM1.63 bilion Belanjawan 2013


SHAH ALAM 19 November: Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM1.63 bilion dalam Belanjawan 2013 yang bertema ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’.
“Anggaran perbelanjaan negeri yang diperakui bagi tahun 2013 berjumlah RM1,630,000,000.00,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau mengumumkan jumlah itu ketika membentangkan belanjawan berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Menurut Khalid, Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat membentangkan belanjawan berimbang selama lima tahun berturut-turut.
“Hal ini sekali gus membuktikan kemampuan kita mentadbir secara telus, berhemat berbelanja dan mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemah. Pada masa yang sama kita juga telah memastikan kelestarian pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam laporan belanjawan tersebut.
Khalid berkata, sebanyak RM996,980,690.00 diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus iaitu 61 peratus yang terdiri daripada perbelanjaan tanggungan (RM57,907,095.00 atau 3.5 peratus) dan perbelanjaan bekalan (RM939,073,595.00 atau 57.6 peratus),manakala perbelanjaan pembangunan disediakan RM633,019,310.00, iaitu 39 peratus.

“Cadangan belanjawan mengurus tahun 2013 berjumlah RM996,980,690.00 berbanding peruntukan asal tahun 2012 sebanyak RM1,000,000,000. Agihan perbelanjaan bekalan dan tanggungan berjumlah RM996,980,690.00 ini meliputi objek-objek am, iaitu emolumen (RM363,840,812.44 atau 36.49 peratus), bekalan dan perkhidmatan (RM414,867,037.37 atau 41.61 peratus), aset
(RM3,716,600.00 atau 0.37 peratus), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM201,291,160.19 atau 20.19 peratus) dan perbelanjaan lain (RM13,265,080.00 atau 1.33 peratus),” jelas beliau.
Katanya, penurunan sebanyak 0.3% disebabkan oleh penurunan bayaran balik pinjaman Persekutuan yang telah dibayar secara komited dan berkala oleh kerajaan negeri. Hal ini membuktikan Selangor peka dalam hal menguruskan hutang kepada Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2008.
Menurut Khalid lagi, cadangan belanjawan pembangunan berjumlah RM633,019,310 berbanding peruntukan asal tahun 2012, iaitu berjumlah RM600,000,000.
“Anggaran Perbelanjaan Pembangunan ini diagihkan kepada beberapa sektor utama, iaitu Sektor Infrastruktur (RM343,260,610.00 atau 54 peratus), Sektor Sosial (RM188,399,600.00 atau 30 peratus), Sektor Ekonomi (RM91,951,100.00 atau 15 peratus), dan Sektor Perbandaran (RM9,408,000.00 atau 1 peratus),” katanya.
Selanjutnya, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, anggaran hasil negeri bagi tahun 2013 berjumlah RM1,630,000,000.
“Anggaran hasil ini terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM584,444,172.26 atau 35.86 peratus, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM859,803,567.74 atau 52.75 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak RM185,752,260.00 atau 11.40 peratus,” kata Khalid.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok berkata, anggaran perbelanjaan pembangunan pada sektor infrastruktur adalah; kemudahan awam RM296,781,160.00 (86.46%), Sains Teknologi dan Inovasi RM41,820,010.00 (12.18%), dan Perumahan RM4,659,440.00 (1.38%).
“Anggaran perbelanjaan pembangunan bagi sektor ekonomi meliputi kewangan RM53,610,000.00 (58.30%), pertanian RM17,766,040.00 (19.32%), pelancongan RM5,585,010.00 (6.07%), pembangunan usahawan RM7,700,010.00 (8.37%), sumber alam RM2,890,040.00 (3.14%), kajian dan penyelidikan RM2,800,000.00(3.05%) dan pelaburan dan perindustrian RM1,600,000.00 (1.74%),” katanya.
Selain itu, anggaran perbelanjaan pembangunan di sektor perbandaran, terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pengurusan sisa pepejal berjumlah RM408,000.00 (4.34%), kelengkapan CCTV di Pihak Berkauas Tempatan RM6,000,000.00 (63.78%) dan kerajaan tempatan RM3,000,000.00 (31.89%).
MES peroleh peruntukan besar
Untuk perbelanjaan pembangunan bagi sektor sosial pula, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah besar kepada Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), iaitu RM118,250,020.00.
Manakala pendidikan sebanyak RM26,850.040.00, Pembangunan Modal Insan (RM11,380,500.00), Kampung Baru (RM5,000,000.00), sukan (RM5,800,000.00), Adat Melayu (RM775,030.00, Program-program Belia RM3,500,000.00, Rumah Ibadat Selain Islam RM3,000,000.00,
Program Pembasmian Kemiskinan RM7,544,000.00), Pembangunan Luar Bandar (RM1,500,000.00), Kerajaan Prihatin (RM1,150,000.00), Tabung Kebajikan Anak Pekerja Ladang (RM1,000,000.00), Wanita (RM1,000,000.00), Pemeliharaan Alam Sekitar (RM650,000.00), Kebudayaan dan Kesenian (RM500,000.00), dan Kesihatan RM500,000.00.
Khalid berkata, peningkatan terkawal sebanyak 5% daripada tahun sebelumnya membuktikan pengurusan kewangan yang baik dan teratur diamalkan kerajaan negeri sejak 2008 hingga kini.
“Belanjawan Berimbang 2013 Negeri Selangor membuktikan iltizam kerajaan negeri terhadap hasrat untuk memastikan setiap perbelanjaan menepati nilainya.
“Kerajaan negeri juga mampu memberi justifikasi dalam setiap perbelanjaan yang dilakukan. Pada masa yang sama semua program pembangunan demi kesejahteraan rakyat berjaya diteruskan. Hal ini selari dengan harapan kita untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri  ‘baldatun toyyibatun warabbul ghafur’ yakni negara sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan, sebagaimana firman Allah dalam Surah Saba, ayat 15,” kata Khalid.

No comments: