Tuesday, November 20, 2012

Himpunan bantah AES di Parlimen, desak batal semua saman


KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER:  NGO Bantah AES mendesak kerajaan membatalkan serta-merta saman trafik yang dikeluarkan sistem penguatkuasaan automatik (AES).

“Saman AES tidak boleh dilaksanakan dengan keadaan seperti ini, dengan menekan rakyat. Batalkan kamera yang akan dipasang serta 14 kamera yang telah dipasang,” kata penyelaras Bantah AES, Saifullah Zulkifli.
Beliau yang juga Exco Angkatan Muda KEADILAN mempertikaikan penswastaan sistem itu kepada dua syarikat kroni Umno-BN dengan alasan ‘langkah kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya’.
“Terbukti dua syarikat (pengendali AES) ada hubungan rapat dengan Umno-BN seperti didedahkan di Parlimen sebelum ini,” tegasnya.
Terdahulu, kira-kira 30 aktivis Bantah AES berhimpun di depan bangunan Parlimen pagi ini bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan.
Antara pimpinan Pakatan Rkakyat yang hadir adalah Adun Teja, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Jeff Ooi (Jelutong), Lim Tong Sin (Kota Melaka) dan Timbalan Ketua KEADILAN Cabang Rasah, R Tangam.
Tidak seorang pun wakil Kementerian berkenaan hadir, namun ‘diganti’ ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong bagi menerima memorandum tersebut.

Beliau menyifatkan sistem AES bukan langkah tepat untuk mengurangkan kemalangan.
“Dua pertiga kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal. Kalau kerajaan benar nak tolong rakyat, keutamaan adalah kurangkan kemalangan motorsikal,” katanya.
Pada 5 November lalu, KEADILAN mendedahkan dua pemegang saham terbesar syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd mempunyai hubungan rapat dengan Umno Johor dan MCA.
Pemegang saham terbesar Beta Tegap ialah To’ Puan Rozana Redzuan, anak kepada bekas Ketua Umno Parit Sulong, Tan Sri Redzuan Salim dan sepupu kepada Adun Machap dari BN, Abdul Hamid Abdul Rahman.

No comments: