KUALA LUMPUR 19 November: Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil kira pandangan setiap kelompok masyarakat pelbagai kaum dan agama sebelum membentuk dasar pendidikan kebangsaan di Putrajaya kelak jika menang pada pilihan raya umum nanti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata demikian dalam ucaptama perasmian Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara: Mereformasikan Pendidikan Negara di Universiti Selangor (Unisel) semalam.
Katanya, ia penting bagi memastikan tiada mana-mana kelompok dalam negara yang tercicir dan terpinggir dalam pentadbiran Pakatan Rakyat bersesuaian dengan dasar gabungan itu yang mementingkan pendemokrasian dalam kualiti pendidikan.
“Bagaimanapun, etika harus ada sebagai teras dalam dasar itu kerana apabila kita sebut mengenai pendidikan, kita tidak boleh lari dari asas agama, akidah dan akhlak,” katanya.
Konvensyen anjuran Yayasan Selangor itu turut dihadiri Pemangku Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad; Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN Pusat, Abas Awang; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Yayasan Selangor, Bam Al-Haj, tokoh pendidik dan rakyat pelbagai kaum.
Anwar menyambut baik langkah kerajaan Selangor dan agensi negeri menganjurkan konvensyen itu kerana ia sangat membantu ke arah mereformasikan pendidikan negara.
“Reformasi pendidikan tidak akan berlaku tanpa memberikan ruang kepada wacana ilmu yang bebas dan saya cadangkan wacana seumpama ini diteruskan kerana ia sangat membantu kita untuk membentuk dasar pendidikan selepas diberi mandat sebagai Kerajaan Persekutuan baru kelak,” katanya.
Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan meliputi Falsafah Pendidikan Negara, Pendemokrasian Pendidikan, Pendidikan Agama, Pendidikan Bahasa Ibunda, Prasarana Pendidikan di Sabah dan Sarawak, Pendidikan Orang Asal, Pendidikan Khas dan Pendidikan Vokasional.
Konvensyen ini merupakan lanjutan Perbincangan Meja Bulat Pendidikan Malaysia anjuran Pejabat Exco Pendidikan Selangor pada 8 September lalu dengan 200 peserta dari pelbagai golongan profesional, NGO, pendidik, mahasiswa dan pendakwah turut hadir memberi pandangan.
No comments:
Post a Comment