Friday, February 27, 2009

MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA DSAI


Peta laluan ke Restoran Dragon Court

"MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA DSAI"
Tarikh: 1hb MAC 2009 / Ahad.
Masa: 8.00 malam.
Tempat: RESTORAN DRAGON COURT, OAKLAND SEREMBAN 2, SEREMBAN.
Hotline: 012-628 2929 (Edwin Lim Khoon Seng)

Wednesday, February 25, 2009

Penduduk Bandar Tun Razak berhimpun sokong MB S'gor


Wakil surau dan masjid di Bandar Tun Razak yang menerima 46 ekor lembu korban daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini mengadakan perhimpunan aman menyatakan sokongan terhadap beliau yang didakwa telah menyalahgunakan dana kerajaan Selangor untuk tujuan tersebut.

Kira-kira 60 orang menyertai perhimpunan tersebut di hadapan Pejabat Khidmat Komuniti ahli Parlimen Bandar Tun Razak, kira-kira jam 3 petang tadi.

Abdul Khalid adalah ahli Parlimen kawasan tersebut.

Mereka membawa sepanduk berbunyi "BN dikejar roh 46 ekor lembu" dan "Prinsip kami dari rakyat untuk rakyat" sambil melaungkan "Hidup Tan Sri Khalid" beberapa kali.

Manakala kain rentangnya antaranya berbunyi, "Sedekah lembu adalah jariah bukan rasuah" dan "YB Tan Sri Khalid Ibrahim terima kasih kerana memberikan kami lembu untuk korban Aidiladha"

Perhimpunan aman selama sepuluh minit itu turut diawasi oleh kira-kira 20 anggota polis.

Penduduk kecewa

Sebelum ini, Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (Gerak) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Khalid menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban untuk mengedarnya kepada penduduk di situ sewaktu Hari Raya Korban Disember lalu.

Sementara itu, Pengerusi Surau Firdaus, Ghazally Salim, melahirkan rasa kecewa kerana pemberian lembu tersebut dipersoalkan dan dipolitikkan.

"Kami kecewa mengapa amalan baik Tan Sri Khalid Ibrahim ini dipersalahkan dan dituduh mengamalkan rasuah?

"Padahal ini adalah sumbangan terus oleh PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Amalan sebegini sepatutnya digalakkan bukan dipersoalkan," tegas Ghazally dalam sidang media tersebut yang turut dihadiri kira-kira 15 wakil surau dan masjid di parlimen tersebut.

Ghazally mendakwa ramai penduduk di parlimen tersebut adalah anak jati negeri Selangor sebelum Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan.

Adakan solat hajat

"Adakah kerana Bandar Tun Razak telah dijadikan Wilayah Persekutuan, maka kami tidak lagi berhak berkongsi sedikit kekayaan dan manfaat dari Selangor?

"Sebahagian besar daripada kami masih anak Selangor!" tegas Ghazally.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli politik dari BN, Pakatan Rakyat, Gerak, SPRM dan rakayat Malaysia agar tidak mempolitikkan soal agama.

"Kalau kita tidak mampu untuk bersedekah, janganlah disekat orang lain daripada bersedekah," kata Ghazally.

Menurutnya, penduduk di situ juga akan mengadakan solat hajat dalam masa terdekat untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan menteri besar Selangor itu.

Tuesday, February 24, 2009

Adun Batang Ai meninggal dunia


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Ai, Datuk Dublin Unting, 53, meninggal dunia pada kira-kira jam 1.25 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Beliau juga merupakan naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menteri muda pertanian dan sukan Sarawak.

Beliau berada dalam keadaan koma sejak diserang angin ahmar Mei tahun lalu sejurus selepas memberi satu temubual radio di Kuching dan selepas itu menjalani pembedahan selama tiga jam untuk membuang darah beku dalam otaknya.

DUN Batang Air terletak di kawasan pedalaman di wilayah selatan Sarawak, berdekatan dengan sempadan barat Kalimantan. Ia terletak kira-kira 200km di timur ibu negeri Sarawak, Kuching.

Unting berkhidmat sebagai menteri muda dalam kabinet kerajaan negeri Sarawak bagi penggal kedua.

Memandangkan pilihanraya negeri Sarawak hanya akan diadakan pada 2011, maka Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 bagi DUN Batang Ai itu.

Mengikut undang-undang pilihanraya, SPR boleh membiarkan kerusi itu kosong sekiranya pilihanraya negeri perlu diadakan dalam tempoh 18 bulan.

Bagaimanapun, dalam kes Batang Ai, tempohnya melebihi dua tahun sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir.

Dalam pilihanraya negeri 2006, Unting menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap). Batang Ai merupakan kawasan majoriti pengundi Iban.

Unting menang dengan majoriti 806 undi, apabila mendapat 3,295 undi manakala Bawin mendapat 2,489 undi.

Bawin telah menyertai PKR dan dilantik sebagai naib pengerusi parti tersebut.

Jika pilihanraya kecil diadakan, ia merupakan ujian pertama bagi Pakatan Rakyat di Sarawak sejak pilihanraya umum pada Mac 2008.

Tidak seperti negeri-negeri lain, Sarawak tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya umum.

Pilihanraya negeri Sarawak diadakan pada Mei 2006 di mana parti pembangkang DAP berjaya memenangi beberapa kerusi dalam kawasan kubu kuat BN, yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari PBB.

Monday, February 23, 2009

DOKUMEN RAHSIA KERAJAAN SELANGOR DIKLASIFIKASIKAN SEMULA..


Dalam perkembangan berkaitan ugutan SPRM terhadap Menteri Besar Selangor semalam serta taktik terdesak BN untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat, Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Selangor semalam untuk mengklasifikasikan semula (memansuhkan kerahsiaan) dokumen berdarjah RAHSIA BESAR yang berkaitan dengan apa juga projek serta penyelewengan yang telah dilakukan oleh MB Selangor terdahulu, Khir Toyo.
-
Keputusan ini diambil sejajar dengan kehendak integriti serta membuktikan ketelusan & sebagai langkah untuk mendedahkan segala bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh Khir Toyo selama ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bersidang pada awal bulan Mac hadapan.
-
Dengan pemansuhan kerahsiaan dokumen berdarjah RAHSIA BESAR yang berkaitan dengan salahlaku Khir Toyo selama ini pastinya akan membuktikan bahawa Pakatan Rakyat lebih baik daripada BN yang telah memerintah negeri ini selama 51 tahun.

Oleh: Ahli Parlimen Telok Kemang

KHIR TOYO SIBUK DENGAN KES ELEZEBETH WONG


Khir Toyo dibidas oleh suami kepada seorang pemimpin Wanita UMNO akibat tidak mengambil tindakan ke atas kes skandal yang melibatkan bekas isteri beliau, Norhayati Oon beberapa tahun lepas. Suami Norhayati, Mohd Suffian Abdul Aziz menyifatkan Khir Toyo mengamalkan sikap “cakap tidak serupa bikin” apabila mendesak Elizabeth Wong melepaskan jawatan EXCO Kerajaan Selangor & Wakil Rakyat susulan terbongkarnya foto beliau.

Khir Toyo tidak membuat sebarang tindakan terhadap aduannya walaupun telah dibuktikan melalui rakaman suara, mesej SMS, video dan foto yang diserahkan. Wajarkah Khir Toyo meminta YB Elizabeth meletakkan jawatan sedangkan semasa beliau menjadi Menteri Besar, kenapa beliau abaikan kes Norhayati?

Walaupun kontroversi beliau semenjak 2007, jawatan Norhayati sebagai Senator disambung bagi penggal kedua pada Oktober tahun lepas. Norhayati yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Klang berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai EXCO Wanita UMNO.

Berikut adalah cabutan Laporan Polis yang dibuat oleh Suffian di Balai Polis Shah Alam bertarikh 8 Oktober 2006: "Terkandung di dalam telefon bimbit berkenaan (milik isterinya) ada beberapa gambar-gambar yang tersimpan yang menunjukkan gambar-gambar Dato’ Dr Rahman berpelukan dengan isteri saya di dalam bilik-bilik hotel iaitu di Hotel Riverview, Kota Bharu, Kelantan semasa Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir & dalam bilik tidur di Hotel Eastin, Kuala Lumpur."

Friday, February 20, 2009

Laporan Polis ke Atas Musa Hassan dan Gani Patail

Hebahan Media

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu laporan polis ke atas Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan di Balai Polis Damansara Utama berhubung penglibatan mereka di dalam memalsukan bukti kes lebam mata 1998.

Tempat: Balai Polis Damansara Utama
Jam: 11.30 pagi
Tarikh: 20hb Februari 2009


PEJABAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Thursday, February 19, 2009

MB dan semua exco Perak digantung hadiri sidang DUN


Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang hari ini.

Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.

Sebelum itu, Dr Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Enam exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Dipanggil beri keterangan

Turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin Chew Daily.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Datuk Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Sivakumar masih menjadi Speaker DUN Perak kerana kerajaan baru BN belum lagi mengadakan sidang dewan untuk menggantikan beliau dengan calon dari BN.

Dengan menggantung tujuh daripada 28 ahli dewan undangan negeri (Adun) BN, maka jumlah wakil rakyat kini kembali memihak kepada Pakatan Rakyat.

Jika dewan bersidang sekarang, BN akan hanya mempunyai 24 Adun di pihaknya - termasuk tiga calon bebas - manakala Pakatan mempunyai 28 Adun.

Di segi teknikalnya, kerajaan negeri BN masih boleh terus memintah Perak, tetapi ia tidak boleh mengadakan sidang dewan kerana bimbang Pakatan akan mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya.

Kesemua tujuh Adun BN itu diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Speaker: Ada kes prima facie

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry dan enam exco berkenaan.

"Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

"Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri," kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Khabar angin tentang Hee

Di samping itu, Perak juga dilanda khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Foong telah meletak jawatan.

Sebelum ini, beliau bertindak keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP ketika dihubungi menafikan perkara itu.

20 Kes Rasuah Khir Toyo



1. Meluluskan projek pembina jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5 km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings. Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta. Subkontraktor yang menjalan semua projek berkenaan, Cabaran Wangsa, di miliki Pua Kim An, 27 tahun, tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang memberi keuntungan minimum RM20 juta.

2. Meluluskan tanah 400 ekar di Shah Alam, pada 20 Disember 2000 kepada empat syarikat berbeza (Layar Kekal/ Tirai Gemilang, Samasys, Usahasewa Sdn Bhd), tetapi seorang nama pengarahnya (Samsuri Rahmat) hadir dalam semua syarikat tersebut, iaitu seolah-olah Khir meluluskan tanah berpontensi tinggi itu kepada seorang sahaja. Nilai tanah di kawasan berkenaan boleh mencapai RM1 juta untuk satu ekar. Samsuri boleh untung minimum RM300 juta dari tanah tersebut.


3. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20 Nov. 2000 dan 4 Julai 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan yang mendapat 100 ekar setiap orang, Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

4. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun (Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah, Azril Yusri).Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum Exco meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

5. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu.Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

6. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat, 50%. Khir berbohong di Dun Selangor pada 31 Oktober 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

7. Khir memberi sumbangan peribadinya, berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi di kawasannya, di Sungai Panjang pada 25 Disember 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau, melalui akhbar Malay Mail pada 15 Januari 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn Bhd sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. tinjauan menunjukkan bukan ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

8. Pada 17-18 April 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd, seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.

9.Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km, bernilai RM82,385,182.. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal, yang tidak boleh melebihi RM40 juta. Dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

10. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua Umno Tanjong Karang, JAKS Sdn Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa untung JAKS?

11. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat, seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua Kim Seng, bekas tuan rumah yang pernah disewa Khir di Sekinchan. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km)merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.

12. Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk selesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.

13. Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat dipadam jika timbul kontroversi kelak), agar menyerahkan projek yang membawa keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.

14. Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek kerajaan negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Majulia Sdn. Bhd. Ini bercanggah dengan surat akujanji yang ditandatanganinya di depan Sultan Selangor.

15. Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn Bhd melalui perjanjian konsesi pada 27 September 2001. Untung lumayan dapat dipungut secara mudah kerana tugas Nobel Nexus hanya menghantar notis saman dan 30% kutipan menjadi miliknya.

16. Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat Exco ke 25/2001 pada 26 September 2001, tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan. Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan tempoh Khir menjadi MB baru setahun iaitu tidak sampai lima tahun seperti sepatutnya. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan Ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana kereta rasminya Merc S320L, no. plat BGF7337 ditawar untuk dijual kepadanya, Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytihar kepentingannya.

17. Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat exco dikutip semula selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat Exco yang dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh Exco lain. Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota Exco sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya diserahkan selepas setiap Exco duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, “Exco Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlenggang.”

18. Meluluskan hampir 11 ekar tanah di Bandar Baru Bangi, yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn Bhd. Masyarakat setempat membuat bantahan kerana setakat ini banyak kawasan hijau dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan. Bestarama boleh untung segera lebih RM14 juta. Menariknya, pemegang syer Bestarama juga pemegang syer Noble Nexus. Kedua-dua wanita itu hanya penama bagi suku-sakat Khir.

19. Menggunakan ratusan ribu ringgit wang kerajaan negeri untuk membeli iklan dua muka penuh berwarna dalam Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada 1 Feb, 16 Mac 2002, bagi menjawab serangan Lutfi Othman yang mendakwa Khir mengagihkan tanah (yang luas dan mahal), pelbagai projek besar, balak, buat kroni dan suku-sakatnya.

20. Mengeksploit mesyuarat Majlis Tindakan ekonomi Selangor (MTES), untuk meluluskan segala tanah & projek kepada sesiapa yang disukainya tanpa kehadiran Exco lain. Mesyuarat Exco esoknya (pada setiap Rabu) hanya mengesahkan saja. MTES, menurut bekas penasihat undang-undang negeri, adalah tidak sah dari segi legal kerana ia merampas kuasa mesyuarat Exco.

Monday, February 16, 2009

Calon PAS di Bkt Gantang, PKR di Bkt Selambau

Pakatan Rakyat akan meletakkan calon mengikut parti yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu di kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS bertanding di Parlimen Bukit Gantang dan calon PKR di kerusi DUN Bukit Selambau, lapor Bernama.

"Cuma nama calon akan diumumkan kelak, senarai nama mengikut parti bertanding sudah ada, menunggu masa yang sesuai sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan bengkel memperkasakan Pakatan di ibunegara hari ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya V Arumugam dari PKR meletakkan jawatan Ahad lalu manakala pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan ekoran kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, dari PAS Isnin lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi itu akan diadakan serentak pada 7 April ini. Penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac depan.

Arumugam, yang bertanding atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, memenangi kerusi DUN Bukit Selambau atas tiket bebas, dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Arumugam kemudian menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Allahyarham Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas Mohganan P.Manikam dengan majoriti 1,566 undi di kerusi Bukit Gantang.

BN pilih anak tempatan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) telah memutuskan untuk memilih anak tempatan dari Umno untuk bertanding di Bukit Gantang.

Calon yang akan dipilih adalah dari kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat, katanya selepas mempengerusi mesyuarat tertutup BN Perak
di ibu pejabat Umno Perak di Ipoh hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib berkata syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

"Mesti anak tempatan...kita ada senarai panjang dan pendek. Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihanraya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut," katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008.

Kelmarin, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kelmarin turut meminta BN belajar daripada kesilapan pada pilihanraya umum lalu serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN meletak bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon manakala dalam pilihanraya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Selain kalah di parlimen itu pada pilihan raya umum 2008, BN hanya mempertahan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu iaitu DUN Trong manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering dirampas oleh PKR.

Friday, February 13, 2009

7 April p'raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau


Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.

Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung.

Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.

"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.

Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".

Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena mengenai dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.

Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.

Wednesday, February 11, 2009

SIAPA AGAKNYA PILIHAN ORANG-ORANG BUKIT?

Selepas kekecohan yang berlaku di Perak, kini ramai yang akan terarah kepada Pilihanraya Kecil di 2 bukit iaitu Parlimen Bukit Gantang, Perak & DUN Bukit Selambau, Kedah. Kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini adalah milik Pakatan Rakyat. Walau keputusan untuk Pilihanraya Kecil masih belum diumumkan lagi oleh SPR, namun kepastian telah wujud di mana Pilihanraya Kecil tersebut akan dijalankan ekoran daripada kematian Ahlil Parlimen Roslan Shaharum & perletakan jawatan sebagai Wakil Rakyat & EXCO secara ‘gentlemen’ oleh V.Amurugam.
-
Pilihanraya Kecil ini pasti yang paling sengit antara Pilihanraya Kecil sebelum ini iaitu selepas Permatang Pauh & Kuala Terengganu. BN yang baru sahaja 'berjaya' memperdayakan rakyat negeri Perak dengan merampas pentadbiran negeri, pasti akan tampil dengan strategi & kaedah baru. Pastinya mereka akan banggakan kejayaan merampas Perak & menonjol imej merekalah yang pandai memerintah & membuat rakyat kaya & senang-lenang dengan projek pembangunan & kenaikkan harga barang.
-
Biarkanlah BN dengan strategi mereka. Apa yang penting ialah bagaimana Pakatan Rakyat menghadapi Pilihanraya Kecil ini. Sekali pandang, PR mempunyai peluang & 'advantage' yang besar untuk menang. Kemelut di Perak di mana majoriti rakyat memilih PR masih tidak berubah walau bilangan ADUN mereka berkurangan. Rakyat pasti marahkan BN kerana menipu & merampas kerajaan negeri yang mereka pilih secara sah. Dan di dalam kemelut di mana Perak mempunyai 2 jentera pentadbiran negeri, akan menambah kebencian rakyat terhadap BN yang melaung-laungkan mereka pandai memerintah tetapi tidak tahu mengikut undang-undang.
-
Walaupun BN mendakwa idea melompat parti adalah idea PR, namun ketika isu melompat 16 September dulu, BN begitu lantang mengutuk, mencaci, mencerca idea tersebut & bukan PR yang mempraktikkannya tetapi BN sendiri. Rakyat menilai ini sebagai pembohongan yang besar kepada mereka. Begitu juga senario di Kedah. Kekosongan kerusi DUN kerana perletakkan jawatan sebagai wakil rakyat oleh V.Amurugam kerana ‘tekanan’ BN supaya melompat parti seakan tidak memberi peluang langsung kepada BN untuk memenangi kerusi tersebut.
-
Dakwaan-dakwaan seperti sogokan wang, ugutan & perbuatan jenayah (pecahkan cermin kereta) terhadap V.Amurugam menambahkan lagi keperitan BN untuk berkempen di Kedah. Rakyat pasti menolak awal-awal BN yang rasuah, tidak mengikut undang-undang, pembohong, membelakangi rakyat demi kekuasaan mereka. Apa pun pasti pertembungan 2 gabungan parti besar ini (BN & PR) di 2 bukit ini akan memberi isyarat samada pemimpin rasuah & pembohong yang dipilih atau pemimpin yang ingin membawa perubahan yang dipilih. Sama-sama kita tunggu.

Oleh: Ahli Parlimen Telok Kemang

K'jaan Pakatan Perak berjaya selesai isu-isu tertunggak...


Sepanjang 10 bulan mentadbir Perak, kerajaan negeri telah dapat menyelesaikan dalam masa yang singkat, isu-isu yang sudah lama tertunggak, kata Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Katanya, antara isu-isu yang dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak ialah ialah:

Sebagai menteri besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin membatalkan kesemua aktiviti membalak dan perladangan di kawasan Orang Asli di sekitar Gopeng yang menjejaskan lebih 2,000 penduduk Orang Asli.

YB Sivanesan mengumumkan pemulangan kira-kira 400 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat tersebut, yang telah diperuntukan untuk aktiviti pembalakan oleh kerajaan sebelumnya di Mukim Teja dekat Gopeng.

Kerajaan negeri telah mengumumkan pemulangan kira-kira 500 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat Orang Asli Kampung Chang Sungai Gepai di Bidor, yang telah diperuntukkan sebagai tapak Taman Botani, oleh kerajaan sebelumnya.

Sebuah pasukan khas mengenai hak tanah Orang Asli ditubuhkan untuk mengiktiraf secara rasmi semua tanah adat Orang Asli di Perak. Pasukan itu mempunyai dua peringkat. Peringkat kedua dikendalikan secara eksklusif oleh masyarakat Orang Asli sendiri dan dewan mesyuarat di bangunan SUK disediakan untuk kegunaan Orang Asli.

Kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas Orang Asli bagi negeri Perak yang ditugas untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi Orang Asli di negeri tersebut.

Mengadakan siri perbincangan dengan rakyat dan NGO mengenai aktiviti pembangunan di Ipoh. Sebagai contohnya, pandangan awam diminta berhubung cadangan pembangunan Pasar Yau Tet Shin.

Penduduk Melayu dan Cina di kampung baru dan kampung tersusun diberi hakmilik kekal secara berperingkat.

Ambiga berkata, Majlis Peguam gembira melihat hasil-hasil yang positif yang dicapai dalam tempoh masa yang singkat untuk menangani isu-isu terbabit.

"Kita berharap kepentingan yang sama akan diberikan terhadap perkara-perkara berkenaan dan terus dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini..

"Malah, kita menggesa kerajaan negeri supaya bersikap pro-aktif berhubung isu-isu yang membabitkan Orang Asli, masyarakat yang terpinggir dan kurang bernasib baik," katanya.

Tuesday, February 10, 2009

PERTAHANKAN RUKUNEGARA

RUKUNEGARA
1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.
3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN.
4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG.
5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN.

Prinsip Rukunegara ini adalah asas pegangan seluruh rakyat yang mengaku diri mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak ada mana-mana warganegara yang harus mempertikai atau ingkar dengan prinsip ini. Melanggar prinsip ini bermakna menyanggah kehidupan kenegaraan yang merupakan asas ke arah keharmonian keamanan dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Kekecohan yang berlaku akhir-akhir ini adalah fenomena daripada penyangghan kepada prinsip Rukunegara tersebut. Seluruh tumpuan rakyat terarah ke negeri Perak Darul Ridzuan akibat kekecohan yang berlaku selepas penubuhan kerajaan "haram" yang lahir daripada proses 'kudeta' atau rampasan kuasa yang bertentangan dengan prinsip ketiga Rukunegara.

Untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit nilainya. Para penggubal pelaksana dan mereka yang terlibat dengan perundangan adalah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membelai Keluhuran Perlembagaan ini. Hanya dengan terpeliharanya Keluhuran Perlembagaan barulah prinsip kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara dapat dipelihara.

Kesetiaan kepada Negara yang Raja menjadi tonggaknya adalah usaha mempertahankan nilai-nilai yang termaktub di dalam sistem kenegaraan. Antara lain dalam sistem itu adalah proses demokrasi yang telah diterima pakai oleh rakyat keseluruhan. Mereka yang menentang demokrasi atau lebih dashyat lagi cuba menubuhkan kerajaan haram adalah mereka yang TIDAK SETIA kepada negara dan MERENDAH-RENDAHKAN martabat Raja atau isntitusi kesultanan. Ia adalah umpama setitik nila yang merosakkan susu sebelanga. Titik hitam ini memberi imej yang cukup buruk terhadap negara pada pandangan dunia luar. Lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh mereka yang menggelarkan diri mereka BAKAL PERDANA MENTERI Malaysia.

Contoh apakah yang hendak mereka tunjukkan kepada rakyat negara ini apabila mereka mengajar rakyat untuk memcemar kesetiaan kepada raja dan negara? Teladan apakah yang hendak mereka terjemahkan apabila ia mengajar rakyat menggungkapkan "sumpah si Jebat"-Raja Adil Raja Disembah Raja Zalim raja disanggah! Mamak Bendahara telah salah menasihat raja sehingga negeri ditimpa petaka. Bukankah keroh di hilir kerana keroh di hulu? Rakyat tidak akan bertindak kerana prinsip kesopanan dan kesusilaan masih terpahat di jiwa mereka. Tetapi kisah Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun telah memaktubkan piagam rakyat dan raja.

Pencacai-pencacai Umno jangan celupar mulut mengatakan penyokong Pakatan Rakyat menyembah bicara derhaka kerana yang mengajar rakyat menderhaka kepada raja adalah bekas Presiden Umno! Lantaran itu, tidak ada seorang pun yang bersuara tatkala Almarhum Tuanku Jaafar yang ketika itu menjadi Yamtuan disaman oleh sebuah bank sedikit masa dulu tetapi kini sibuk membakar semangat perkauman dengan mengapi-apikan kenyataan Karpal Singh ingin menyaman Kebawah Duli Sultan Perak.

Keluhuran Perlembagaan adalah hasil daripada Kedaulatan Undang-undang dan Kedaulatan Raja-raja adalah manifestasi daripada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang tersebut. Itulah sebabnya orang tua-tua menasihatkan supaya kebencian orang jangan dicari, kesayangan orang jangan diambil dan jangan menjolok sarang tebuan. Pakatan Rakyat telah menyatakan bahawa suara rakyat suara keramat. Oleh itu, janganlah dicari-cari kebencian rakyat kerana rakyat telah muak dengan permainan kapitan-kapitan Umno dan Barisan Nasional. Belum pun reda pemilihan mereka di bahagian, di mana mereka berebut kerusi untuk mempertahankan kuasa dan dengan kuasa ini mereka boleh membolot kekayaan sedangkan rakyat tetap hidup menderita. Rakyat tahu mereka menari di atas kesengsaraan rakyat. Rakyat faham mereka menubuhkan kerajaan haram untuk menambah wang haram bagi kepentingan mereka.

Mereka mengheret raja-raja dalam pelbagai cara supaya mereka mencapai tujuan jahat mereka. Mereka menjadikan Michevelli sebagai guru. Kini sekali lagi, Umno menjatuhkan martabat raja dan mengajar rakyat mengungkap sumpah si Jebat. Dalam kelembutan rakyat yang penuh Kesusilaan dan Kesopanan, Hang Najib "menyelam teras terendam".

Justeru itu, orang-orang Umno dan BN mestilah belajar memahami Rukunegara sebelum berbicara tentang sembah derhaka.Merekalah yang membunuh imuniti Raja-raja. Merekalah yang menggunting dalam lipatan. Merekalah api di dalam sekam. Oleh itu, jika mereka hendak berpencak, berpencaklah di gelanggang terbuka. Bubarkan dewan dan biarkan rakyat membuat pilhan mereka. Jangan berselindung di sebalik bayang Raja-raja kerana rakyat lebih mengenal yang mana manikam yang mana permata!

BIRO PENERANGAN PKR NEGERI SEMBILAN

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG: MISI MENAWAN NEGERI SEMBILAN


AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG MENGULAS MENGENAI MISI
PAKATAN RAKYAT UNTUK MENAWAN NEGERI SEMBILAN

Telah menjadi buah mulut di seluruh Negeri Sembilan bahawa perubahan politik pasti akan melanda negeri ini. Samada cepat atau lewat. Peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat tetap akan berlaku.

Rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhan dapat melihat perubahan-perubahan ketara yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat semenjak memenangi hampir ½ daripada jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri Sembilan serta menguasai 3 daripada 8 kawasan Parlimen di negeri ini. Rakyat Negeri Sembilan yang dahagakan perubahan politik, ekonomi & sosial telah melihat betapa gigihnya Pakatan Rakyat menjalankan tugas walaupun dinafikan peruntukan oleh kerajaan BN yang memerintah.

Memang diakui bahawa PKR, PAS & DAP merupakan parti-parti politik yang berlainan ideologi tetapi mempunyai idealisme perjuangan dan melahirkan satu fahaman yang menghormati mendaulatkan suara rakyat serta menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan. Oleh yang demikian di Negeri Sembilan telah wujud satu bentuk pemikiran baru setelah rakyat di negeri ini melihat perkembangan politik UMNO/BN.

Laporan akhbar telah menunjukkan rakyat di negeri ini meluahkan kebencian pada sistem pemilihan pemimpin UMNO yang buruk & mendukacitakan. Lantaran berlakunya rasuah politik wang, politik naungan, politik cantas-mencantas & lain-lain gejala negatif dalam UMNO bukan hanya di Negeri Sembilan bahkan berlaku di seluruh negara.

Rakyat di Negeri Sembilan turut melihat dengan penuh minat betapa jijiknya kes ‘Rampasan Kuasa’ oleh UMNO seperti yang berlaku di Perak. Tidak terkecuali pihak UMNO/BN Negeri Sembilan ini telah tersilap langkah apabila mengalih pandangan rakyat yang melihat kegagalan mereka mengurus tadbir negeri ini kepada cuba menanamkan fokus kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Parti KeADILan Rakyat Negeri Sembilan, YB Dato’ Kamarul Baharin Bin Abbas berkata, kehadiran PKR serta rakan-rakan Pakatan Rakyat di dalam DUN Negeri Sembilan telah mencetuskan pemikiran baru. Usaha-usaha untuk mencari buah fikiran cerdik pandai, tokoh-tokoh agama, Datuk-Datuk Adat & golongan profesional digilap & diusahakan.

Di saat pemimpin UMNO di negeri ini yang sangat sibuk dengan urusan jualbeli untuk pemilihan parti sehingga melupakan penderitaan yang dialami oleh rakyat, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan akan tampil membentangkan kepada rakyat di negeri ini inisiatif untuk membantu mereka. Dengan itu akan lahirlah nanti satu bentuk pemerintahan yang bukan sahaja bersesuaian dengan kehendak rakyat bahkan selaras dengan konsep politik baru seperti yang dikehendaki oleh rakyat.

Kami dalam Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan akan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat & menyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat mampu membela nasib & masa depan mereka serta membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih terbuka & bewibawa. Keutamaan kami dalam Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan adalah pembetulan pada kepincangan-kepincangan masyarakat akibat salah urus tadbir yang dilakukan oleh UMNO/BN semenjak 50 tahun memerintah.

YB Dato’ Kamarul mengulas demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bersama Rakyat di Telok Kemang berkata, di Negeri Sembilan apa yang dikehendaki oleh rakyat adalah pembelaan ekonomi khususnya di saat rakyat mereka menempuhi kos sara hidup yang tinggi, peluang-peluang ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan untuk rakyat bagi menampung keperluan hidup mereka, jaminan sosial dalam soal keselamatan yang merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan, kebajikan, pekerjaan, keamanan, soal pendidikan & masa depan generasi muda, pembelaan terhadap institusi agama & penyuburan nilai murni dalam masyarakat.

Rakyat sudah bosan dengan sikap pemimpin politik UMNO di negeri ini yang mengutamakan soal pemilihan parti berbanding dengan melihat nasib rakyat. Justeru Pakatan Rakyat akan memperjuangkan pembelaan terhadap agama Islam, adat & institusinya kursusnya kelangsungan Adat Perpatih di negeri ini. Selain dari itu, rakyat juga melihat hak-hak asasi mereka dalam soal tanah adat serta projek perumahan yang terbengkalai telah diperjudikan oleh UMNO/BN.

Beliau turut menyifatkan khabar angin yang sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai terdapatnya desas-desus beberapa orang Wakil Rakyat Pakatan Rakyat di negeri ini akan meninggalkan parti dan menyertai BN sebagai idea bangkrap. InsyaAllah, kesemua 4 orang Wakil Rakyat dari PKR, 10 dari DAP & seorang dari PAS serta ketiga-tiga orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di negeri ini telah menyatakan iltizam untuk meneruskan perjuangan dalam Pakatan Rakyat & tidak sekali-kali pernah timbul soal ‘berminat’ untuk menyertai BN.

Komitmen Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan sangat tinggi & kesemua mereka telahpun menyatakan ikrar untuk terus berjuang dalam Pakatan Rakyat. Matlamat utama PKR bersama-sama Pakatan Rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke13 yang akan datang ialah untuk mengambilalih tampuk pemerintahan Negeri Sembilan ini daripada tangan UMNO/BN secara tertib & aman serta mendapat sokongan majoriti rakyat. InsyaAllah.


Fakta kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri Sembilan:
BARISAN NASIONAL-PAKATAN RAKYAT
Jumlah 21-15

Fakta kedudukan kerusi di Dewan Rakyat Malaysia di Negeri Sembilan:
BARISAN NASIONAL-PAKATAN RAKYAT
Jumlah 5-3

KRISIS DEMOKRASI DI PERAK PERLU DITANGANI SECARA DEMOKRATIK

9 Februari 2009

KENYATAAN AKHBAR

KRISIS DEMOKRASI DI PERAK PERLU DITANGANI SECARA DEMOKRATIK

Saya melihat krisis yang berlaku di negeri Perak merupakan 'Krisis Demokrasi' yang perlu ditangani secara Demokratik. Laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO dan parti komponen BN terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YAB Datuk Seri Nizar dan YB Karpal Singh hanya mampu memesongkan rakyat daripada isu sebenarnya iaitu " Samada Peralihan Kuasa di Perak yg dilakukan oleh BN adalah Demokratik".

Saya dengan penuh rendah diri mengambil sikap bertanggungjawab bahawa rakyat perlu diberi penjelasan terhadap isu sebenar. Kegagalan pimpinan politik memberi penjelasan yang sebenarnya merupakan satu penginayaan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang menjadi mangsa apabila cita-cita demokrasi mereka telah 'dihijack' oleh pimpinan politik yang tak bertanggungjawab. Rakyat tidak berdosa dihukum dengan gas pemedih mata, penahanan di bawah ISA dan tuduhan menderhaka yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka sekiranya ruang demokratik diberikan.

Pimpinan Negara, terutama yang muda perlu menunjukkan satu contoh yang lebih bertanggungjawab dengan mneyelesaikan krisis tersebut dengan wadah yang mengambarkan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun. Rakyat sudah bijak. Yang diperlukan ialah wadah dan ruang yang demokratik bagi rakyat membuat penilaian tanpa sogokkan maklumat yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian itu, saya mencabar Pimpinan Pemuda UMNO dan BN untuk berdebat secara terbuka untuk rakyat menilai. Saya yakin Debat Terbuka merupakan wadah demokratik bagi meyelesaikan 'Krisis Demokrasi' yang sedang di alami di Perak. Saya yakin sekiranya Demokrasi yang kita dambakan, maka pendekatan yang Demokratik perlu digunakan.

Yang benar,

Yusmadi Yusoff
Ahli Parlimen Balik Pulau
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang

Friday, February 6, 2009

Kecoh besar bantah MB baru Perak


Suasana kecoh lebih sejam depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar angkara bantahan ribuan penyokong Pakatan Rakyat terhadap menteri besar baru Perak memaksa polis melepaskan gas pemedih berkali-kali.

Sebahagian daripada 3,000 penunjuk perasaan itu membaling objek ke arah kenderaan-kenderaan rasmi pemimpin BN yang menuju ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah Datuk Dr Zambry Abd Kadir.

Mereka juga berbaring di atas jalan, cuba menghalang kenderaan-kenderaan berkenaan.

Perhimpunan yang turut disertai penyokong wanita itu diadakan sejurus selepas solat Jumaat itu kira-kira 2.15 petang tadi dengan merempuh halangan polis di pintu depan luar kawasan masjid.

Mereka cuba berarak ke istana itu tetapi segera dihalang polis dengan melepaskan gas pemedih mata bagi kali pertama sehingga memaksa kumpulan penunjuk perasaan itu berundur ke kawasan masjid.

Suasana tidak menentu antara penyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin itu dengan polis memaksa pihak berwajib melepaskan lagi gas-gas pemedih mata sehingga kawasan itu diliputi asap tebal.

Kawasan perkarangan masjid dan kediaman-kediaman berdekatan tempat ibadat itu turut terkena sasaran tembakan gas pemedih mata.

Bagaimanapun tindakan polis itu gagal melemahkan semangat penyokong Pakatan Rakyat sehingga memaksa dua pemimpin PAS, termasuk pembantu Mohamad Nizar, menyeru mereka bersurai.

Kedua-duanya menyeru para penyokong Pakatan pada jam 3.30 petang dan setengah jam kemudian, termasuk dari atas kenderaan polis bagi meredakan baki 2,000 mereka yang kecewa dengan tindakan BN menumbangkan kerajaan campuran di Perak.

Beberapa ratus orang terus tinggal berdekatan masjid menunggu kenderaan-kenderaan rasmi itu melalui jalan tersebut selepas acara angkat sumpah yang selesai kira-kira 4.30 petang.

Mereka mengboo setiap kali kenderaan itu melepasi depan masjid sebagai lambang kemarahan luar biasa susulan drama mencemaskan peralihan kuasa di Perak kepada BN melalui lompat parti.

Thursday, February 5, 2009

Perhimpunan Selamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak Hari ini

Sebaran Media
5 Februari 2009

Perhimpunan 100 ribu rakyat akan diadakan hari ini (5 Feb) pada jam 7 malam di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua Menteri Besar Negeri Pakatan Rakyat, bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak dan menuntut agar hak rakyat dikembalikan.

Berikut adalah mesej khas dari Datuk Seri Anwar Ibrahim buat semua penyokong Pakatan Rakyat:

“Pertahankan Kuasa Rakyat - Saya bersama Menteri Besar dan Pakatan Rakyat esok Khamis 7:30 malam di Ipoh. Saya yakin, Insyallah rakyat yang menentukan.”

Semua penyokong Pakatan Rakyat dan aktivis diminta hadir untuk memberi sokongan.

BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT

Wednesday, February 4, 2009

Pakatan timbang adakan pilihanraya mengejut di Perak


Menteri Besar Perak, Datuk Mohd Nizar Jamaluddin mengakui bahawa Pakatan Rakyat sedang menimbangkan kemungkinan membubarkan dewan undangan negeri bagi membolehkan satu pilihanraya mengejut diadakan.

"Kita dalam proses memikirkannya. (Anda akan tahu) bila tiba masanya," katanya ketika menjawab soalan media.

Mohd Nizar memberitahu pemberita demikian malam tadi selepas mempengerusikan satu mesyuarat di kediamannya yang dihadiri oleh sebahagian besar ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan serta pemimpin utama dari PAS, DAP dan PKR.

Kelmarin, dua Adun Pakatan - Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) dan Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) - keluar parti, menyebabkan kerusi Pakatan kini tinggal 30 daripada 59 kerusi di dewan undangan negeri Perak.

Barisan Nasional (BN) hanya perlukan dua Adun berkenaan dan seorang lagi wakil rakyat menyertai gabungan itu bagi membolehkannya mengambil kuasa daripada Pakatan yang mentadbir Perak sejak 10 bulan lalu.

Walaupun kerajaan negeri mungkin mengadakan pilihanraya mengejut untuk mengelak wakil rakyatnya melompat parti menyertai BN, langkah Pakatan seterusnya untuk menyelesaikan situasi yang genting itu ialah mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak mengiktiraf surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman.

'Hee masih bersama kita'

Exco kanan kerajaan negeri Perak, Ngeh Khoo Ham, yang turut hadir di sidang akhbar tersebut berkata, Pakatan berhasrat untuk mendesak SPR mengadakan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi terbabit yang "dikosongkan" oleh Jamaluddin dan Osman.

Beliau yang juga pengerusi DAP Perak berkata, pihaknya akan memfailkan semakan kehakiman dan memohon perintah mahkamah untuk mendesak SPR melaksanakan tugasnya.

Mengenai kedudukan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang tidak gembira dengan kepimpinan Pakatan, terutamanya DAP, Mohd Nizar berkata perselisihan pendapat membang perkara biasa dalam pakatan tersebut.

Monday, February 2, 2009

Speaker DUN Perak serah surat pada SPR

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak mengenai kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang.

Beliau menemui pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak, Adli Abdullah jam 8 pagi ini.

Semalam, Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Jamaluddin bagaimanapun menafikan beliau telah meletak jawatan dan masih kekal sebagai ahli dewan undangan negeri.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri turut mencabar kesahihan surat tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Mohamad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak pagi ini.

Pertemuan tersebut berlangsung selama 25 minit di Istana Kinta pada jam 10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan bercakap dengan pemberita berhubung pertemuan tersebut.

Difahamkan Jamaluddin dan Osman akan mengadakan sidang akhbar hari ini.

Kenyataan Media PPN Perak.

–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–
Ipoh, 31 Januari 2009

Kami ingin memaklumkan dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat; YB Jamaluddin Mat Radzi dan YB Osman Bin Jailu tidak dapat dihubungi sejak empat hari yang lalu, bukan sahaja oleh parti tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.

Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10hb Februari 2009.

Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh UMNO dan BN sebagai satu ugutan politik.

Kami percaya ada usaha dari Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua Exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Dato’ Seri Najib termasuk menggugurkan kes rasuah mereka.

Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan muslihat UMNO-BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu.

HAJI OSMAN ABDUL RAHMAN
Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak

Dua Adun KeADILan nafi letak jawatan

Harakahdaily
Mon | Feb 02, 09 | 9:04:29 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Hrkh) - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menafikan melepaskan kerusi masing-masing semalam, mahu mencabar kesahihan kenyataan Speaker.

Kira-kira dua jam selepas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar, Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan rakan sejawatannya dari Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu berkata, surat letak jawatan yang dimaksudkan beliau itu sebenarnya telah ditandatangani 8 Mac lalu.

"Surat tanpa tarikh itu ditandatangani oleh tujuh Adun KeADILan kerana kerajaan negeri bimbang kami akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya surat ini telah diguna pakai untuk mengumumkan kononnya kami meletak jawatan. Ini satu pembohongan dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," Jamaluddin berkata demikian ketika dihubungi agensi berita beberapa jam selepas Speaker mengumumkan mereka meletakkan jawatan.

Kedua-duanya mendakwa masih Adun KeADILan dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti dan mengenai dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa mereka hilang sejak Isnin lalu, Jamaluddin berkata, beliau sebenarnya mengambil cuti sakit sejak Rabu.

"Surat cuti sakit ada di pejabat saya, jadi saya bukan hilang," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya di mana beliau berada semasa dikatakan "hilang", Jamaluddin enggan mengulasnya.

Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN, Dato' M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd. Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu, Dato' Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota di Dewan Undangan Negeri termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR pada Ahad lalu manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi. - azm _

Sunday, February 1, 2009

Teka-teki lompat parti di Negeri Sembilan?


Jika benar akan berlaku usaha melompat parti dalam masa terdekat di Negeri Sembilan, hanya tiga wakil rakyat Umno yang berpotensi menyertai Pakatan Rakyat, dakwa ketua bahagian Seremban.

Datuk Ishak Ismail berkata calon-calon itu kemungkinannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsul Kahar Md Deli, Datuk Aziz Shamsuddin (Palong) dan Mustafa Salim (Lenggeng).

Dua daripada mereka, Aziz dan Mustafa, bagaimanapun menafikan mereka akan menyertai pembangkang.

Dihubungi hari ini, Ishak berkata desas-desus itu disampaikan orang kepadanya.

"Tetapi daripada bacaan saya, Aziz yang paling berpotensi akan menyertai PKR," katanya.

Aziz, ketika dihubungi petang ini berkata, beliau tidak ingin campur urusan PKR.

"Soal PKR ini saya cukup menyampah, saya tidak mahu," katanya.

Mustafa pula berkata, "walau apa terjadi" beliau tidak akan meninggalkan Umno.

"Saya menolak sekeras-kerasnya spekulasi saya akan menyertai PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala Shamsul Kahar yang juga exco pelajaran dan pendidikan tinggi kerajaan negeri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi tersebut.

Ketua Wanita Umno bahagian Jempol, Noraini Idris berkata, orang mengaitkan nama Shamsul Kahar dan Aziz kerana kedua-dua mereka kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.

"Orang sengaja nak buruk-burukkan nama mereka. Saya tidak dengar khabar mereka nak masuk parti lain," katanya.

Ishak juga berkata, ketiga-tiga mereka dianggap mempunyai masalah kerana tewas dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.

Aziz kalah di Jempol kepada penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Lilah Yassin.

Shamsul Kahar pula tewas jawatan timbalan ketua bahagian itu kepada Mohd Salim Shariff, manakala Mustaffa sedang menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi, ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salawati Abdullah berkata, beliau mendengar berita PKR memujuk bekas ketua-ketua cawangan Umno untuk memujuk wakil rakyat mereka supaya menyertai parti pembangkang tersebut..

"Ini berlaku di kawasan Seremban dan luar Seremban tetapi saya tidak tahu sama ada benar atau tidak.

"Saya baru dengar dari kawan-kawan di sini," katanya.

Bekas setiausaha Umno bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Hermain Shah pula berkata, cakap Ishak tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemimpin itu "mahu memecahbelahkan Umno negeri".

Difahamkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu program PKR di Tampin, bulan depan.

Seorang pemimpin PKR negeri Badrul Hisham Shahrin berkata, Anwar akan mengumumkan tiga atau empat wakil rakyat Umno yang akan menyertai parti itu "dalam masa terdekat".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan wakil-wakil rakyat terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan beberapa Adun BN akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan - keputusan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan BN itu.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS (lihat jadual).

Desas-desus isu lompat parti - antara kedua-dua hala BN dan Pakatan Rakyat - muncul kembali susulan penyertaan Adun Bota, Perak Datuk Nasharuddin Hashim bersama PKR hujung minggu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus beberapa Adunnya akan menyertai pembangkang.