Saturday, January 31, 2009

Ceramah Umum Pakatan Rakyat di Bagan Pinang


Program Ceramah Umum di perkarangan rumah Tuan Haji Hasanuddin di Bagan Pinang pada 29/1/2009 berjaya dianjurkan bersempena dengan "Kempen Jom Sertai PAS". Program ini telah dihadiri seramai 500 orang penduduk tempatan. Antara yang berucap dalam program ini ialah:

1. Tuan Haji Ramli Bin Ismail (Yang DiPertua PAS Kawasan Telok Kemang)
2. Sdra. Ibrahim Yusof (Ketua Penerangan Badan Perhubungan PKR NSDK)
3. YB Sdra. Mohd. Taufek Abdul Ghani (ADUN Paroi)
4. YB Dato' Kamarul Baharin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang/merangkap Pengerusi Badan Perhubungan PKR NSDK)
5. YBhg. Sdra. Zulkefly Mohamad Haji Omar (Pesuruhjaya PAS NSDK)
6. YBhg. Tuan Haji Mohamad Sabu (Naib Presiden PAS)

Dalam ucapannya YB Dato' Kamarul Baharin telah membawa pengetahuan para hadirin pada isu yang dihadapi oleh Warga ATM bukan sahaja di Telok Kemang malahan di seluruh negara. Beliau menyentuh pada usaha Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan nasib serta kebajikan Warga ATM namun apa yang malang adalah sikap segelintir Warga ATM yang masih tidak berani melakukan anjakan pemikiran dalam menuntut perubahan dalam organisasi ATM. "Sikap lebih takutkan arahan Komandan & Jeneral yang rasuah berbanding takutkan Allah dan mengkhianati kepercayaan rakyat amatlah dikesalkan". "Jika Tuan-Tuan tidak dapat mengetuai kebangkitan rakyat, ayuh selaraskanlah diri dan minda anda dengan aspirasi mereka. Rakyat masih menaruh penghormatan yang tinggi pada ATM". Beliau turut menyentuh isu politik semasa serta membayangkan bahawa akan berlaku perubahan besar politik tanahair dalam jangkamasa terdekat ini. "InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mengambilalih Kerajaan Negeri Sembilan & Putrajaya sedikit masa lagi", "dan apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih pentadbiran, kita akan melaksanakan tugas jauh lebih baik dari UMNO/BN".

Tuan Haji Mohamad Sabu dalam ucapan beliau telah menyentuh isu kemanusiaan di Gaza. Sikap kerajaan Malaysia yang menafikan hak pihak HAMAS dalam Persidangan NAM & OIC menggambarkan pendirian sebenar UMNO/BN yang berada di bawah telunjuk Amerika. Sesungguhnya Zionis tidak pernah takut pada semangat nasionalisme Arab, "Hidup Nassier", "Hidup Arafat" atau sebagainya. Tetapi Zionis pada hari ini bertemu buku dengan ruas apabila kebangkitan rakyat Palestin sekarang adalah berdasarkan kepada Islam dengan slogan "Allahhu Akhbar". Begitu juga halnya dengan situasi politik tanahair, "Hidup BN", "Hidup Pak Lah", "Malaysia Boleh", semua itu merupakan slogan yang akan menjadi gelak-ketawa Zionis sahaja. Alhamdulillah, perjuangan PAS & Parti keADILan Rakyat hari ini semakin diterima oleh rakyat.


Dalam program ini, satu majlis penyerahan borang keahlian menyertai PAS telah diadakan. Seramai 150 orang telah menyertai PAS dengan menubuhkan sebuah cawangan di Bandar Spring Hills, Port Dickson.

Di awal program, Sdra. Ibrahim Yusof telah menerangkan kepada hadirin tentang inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Pakatan Rakyat dalam memastikan sebarang bentuk pembangunan yang dirancang menguntungkan rakyat. Kita tengak sahaja begitu bercelarunya keadaan di Port Dickson pada hari ini. Sambil menyeru agar rakyat di Bagan Pinang menyertai rakan-rakan yang lain di kawasan Parlimen Telok Kemang dan mengambil kesempatan pada arus perubahan yang ada pada hari ini untuk menyokong usaha Kerajaan Pakatan Rakyat yang ternyata terbukti ikhlas dalam membela nasib rakyat. Beliau juga menyentuh pada perkembangan politik semasa serta kegagalan Kerajaan Negeri Sembilan dalam menyediakan 'blue print' pembangunan Daerah Port Dickson yang menguntungkan penduduk tempatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan percaya UMNO tidak lagi mampu menjadi parti yang boleh diharapkan bagi meneraju kepimpinan negara pada masa ini. Beliau berkata, ini berikutan perkembangan politik tanahair sejak Pilihanraya Umum ke-12 hinggalah kepada peristiwa penghijrahan ADUN Bota Dato' Nasaruddin Hashim dan terakhir cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen untuk membubarkan kesemua sayap parti di dalam UMNO lantaran politik wang. Masalah amalan rasuah politik umpamanya, sudah menjadi sebati dengan kepimpinan tertinggi UMNO dan kelihatan seperti mustahil untuk ditinggalkan oleh mereka. Sebahagian besar pemimpin UMNO juga dilihat meletakkan kepentingan diri jauh melebihi kepentingan rakyat dan negara bahkan melebihi kepentingan parti mereka sendiri. kedudukan UMNO yang tenat itu menjadikannya tidak lagi sesuai sebagai pentas perjuangan politik bagi anak-anak muda yang mempunyai idealisma dan semangat perjuangan yang tulus. Dengan penuh kesedaran mengajak pemimpin-pemimpin muda di dalam UMNO yang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat & negara, juga kepentingan Islam & Melayu untuk meneruskan perjuangan mereka dalam pentas politik PAS ataupun PKR.

Turut hadir dalam program ini ialah YB Sdra. M.Ravi (ADUN PD) serta aktivis masyarakat setempat.

Friday, January 30, 2009

PELANCARAN GERAKAN MANSUHKAN PPSMI (GMP)

Bersempena dengan program khas Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang akan berlangsung pada hari Sabtu 31 Januari 2009, pada jam 3.00 petang bertempat di Dataran Kompleks Membeli-Belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semua rakyat digesa hadir menyokong para tokoh bahasa dan pemimpin Pakatan Rakyat agar menyampaikan bantahan kepada kerajaan BN.

Perhimpunan ini bakal menyaksikan penglibatan tokoh-tokoh berwibawa yang mewakili institusi bahasa, akademik, profesional serta parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang dijangka hadir adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Shahrin Md Zain, Prof. Abdullah Hassan, Ainon Mohd., Hasni Abas, Suhaizan Kayat, parti PAS dengan Dr. Nasharuddin Md. Isa, Mohd. Sabu bersama Pemuda PAS diketuai Salehuddin Ayub, manakala PKR dengan peneraju utama Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua AMK Pusat) bersama jentera padu AMK khususnya dari Wilayah Persekutuan dan Selangor dan disokong oleh ahli MPT PKR Tian Chua dan lain-lain.

Penggerak utama bagi Parti KeADILan Rakyat, Angkatan Muda KeADILan (AMK) menyeru agar semua lapisan rakyat Malaysia agar turut sama berhimpun sebagai simbol teguh menyatakan bantahan terhadap dasar kerajaan yang ternyata gagal ini, dan juga protes pada semua permasalahan isu PPSMI yang telah lama berlarutan dan telah mengakibatkan pelbagai masalah melanda prestasi pembelajaran para pelajar sekolah dan lanskap akademik negara.

Sidang media besar-besaran dan penghebahan pelbagai inisiatif program dan gerakkerja lanjutan bersama para pendesak GMP dijangka akan dilakukan pada hari tersebut. Semua ini adalah dalam tuntutan ke arah Himpunan 100 ribu Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dijangka diadakan 7 Mac depan.


ROZAN AZEN MAT RASIP
KETUA AMK BATU
NAIB KETUA AMK W/P
012 657 7878

Wednesday, January 28, 2009

Tiga Adun akan sertai Pakatan Rakyat - MB Perak

dipetik dari Suara Keadilan online.com
Oleh: Dzulkarnain Taib

TIGA lagi ADUN Barisan Nasional dari Umno bakal mengikuti jejak langkah ADUN Bota, Nasarudin Hashim yang menyertai KeADILan Ahad lepas.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau berkata ketiga-tiga ADUN tersebut telah menemui beliau baru-baru untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi mereka selaku wakil rakyat di kawasan masing-masing termasuk kemungkinan keluar Umno.

“Mereka ada berjumpa saya dan kami mengamalkan sikap terbuka. Kami berbincang bagaimana pihak kerajaan negeri boleh membantu meringankan beban mereka selaku wakil rakyat. Mereka gembira dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat terutamanya berhubung usaha meningkatkan hasil pendapatan dan “Mereka juga mengadu kekecewaan mereka kepada saya kerana kebanyakan wakil rakyat Umno di Perak dilarang oleh parti mereka sendiri untuk bertanding Ketua Bahagian.

“Ada diantara mereka yang tidak mahu akur kepada arahan parti lalu bertanding dan kalah.

“Keadaan ini amat mengecewakan mereka kerana selaku wakil rakyat mereka pemimpin di peringkat kawasan tetapi tidak di peringkat Umno bahagian,” terang Nizar.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan Nasarudin untuk bersama-sama KeADILan di Perak dan menganggap tindakan beliau mampu mengukuh serta memantapkan Pakatan Rakyat Perak serta mengongcang BN di negeri itu pada masa yang sama.

Nizar juga menyanggah kenyataan beberapa pemimpin Umno yang melabelkan tindakan Nasarudin sebagai mengkhianati pengundi.

“Saya kagum dengan keberanian Nasarudin dan menganggap beliau seorang yang luhur budi bahasa dan pekertinya. Di dalam Dewan Undangan Negeri pun beliau sentiasa bertanya soalan dengan lemah lembut dan berlandaskan fakta bukannya merapu.

“Sudah tentu orang seperti beliau tidak boleh kekal lama dengan budaya dan naluri Umno yang menekan dan mengekang kebebasan bersuara ahli-ahli mereka.

Ditanya mengenai pelbagai tekanan yang bakal dihadapi ADUN yang berhasrat menyertai Pakatan Rakyat, Nizar menegaskan BN sepatutnya memberi kebebasan kepada wakil rakyatnya samada mahu terus kekal bersama BN atau menyertai parti pilihan mereka.

“Kalau wakil rakyat ini ditekan rakyat akan melihat Umno dan BN sebenarnya tidak mengamalkan demokrasi seperti mana yang mereka laungkan.

“Jangan tekan, ugut atau apa-apakan mereka, berikan mereka kebebasan dan hormati proses demokrasi yang sihat,” Nizar memberi amaran.

AMK Johor: Laporan polis penyelewengan FELDA

Satu laporan polis akan dibuat berikutan beberapa penyelewengan FELDA berdasar maklumat berikut :

Tarikh : 29 Januari 2009
Masa : 11.30am
Tempat : Balai Polis Central, Johor Bahru.

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor menyeru kepada semua pendokong/penyokong Pakatan Rakyat agar dapat menghadirkan diri ke balai polis tersebut bagi memberi sokongan moral.

Tuesday, January 27, 2009

UMNO SUDAHTERDESAK DAN PERJUANGAN MENYIMPANG


(DIKEMASKINI PADA 25/1/2009 - 1525H)
OLEH DATO' KAMARUL BAHARIN ABBAS

ADUN Bota, Perak YB Dato' Nasarudin Hashim telah mengisyhtiharkan keluar dari UMNO sekaligus menyertai KeADILan hari ini. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media yang dihantar Biro Penerangan KeADILan. Ini secara langsung memberi tamparan hebat kepada UMNO/Barisan Nasional khususnya di Perak apabila hanya mempunyai 27 kerusi berbanding Pakatan Rakyat yang menambahkan satu kerusi menjadikannya kini sejumlah 32 kerusi.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Telok Kemang berpendirian bahawa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu di Negeri Sembilan perlu menamatkan segera riwayat UMNO kerana parti itu telah menyebabkan tanah, bahasa, pendidikan, politik, sosial dan ekonomi orang Melayu semuanya sudah hampir tergadai. Sekarang ini pun terdapat bukti UMNO sedang berusaha untuk menghalau orang-orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur supaya mereka dapat menjadikannya Bukit Bintang ke2 dan tanah-tanah adat di Negeri Sembilan banyak yang sudah tergadai. Bagaimana pula dengan kes Isa Samad memberikan hak eksklusif pantai/laut di Telok Kemang kepada Jimmy Liau & taukeh-taukeh Singapura? Sambil menyeru Wakil-Wakil Rakyat UMNO/BN di Negeri Sembilan mencontohi langkah Dato' Nasarudin di Perak.

Kalau tanah di Iskandar Malaysia boleh sahaja dijual kepada warga Singapura dan Hong Kong, mengapa tanah di Ipoh tidak boleh diberi hak milik kepada warga sendiri? Adakah orang-orang Cina di kampung-kampung baru di Perak tidak memberikan habuan kepada pemimpin UMNO untuk hak milik tanah itu, maka mereka tidak berpuas hati, ini membuktikan bahawa isu-isu hak dan ketuanan ini sengaja dibangkitkan untuk kepentingan politik dan mengisi poket sahaja, bukannya untuk kepentingan bangsa dan negara.
--------------------
Laman Blog Tun Dr. Mahatir pula menyentuh UMNO yang ada pada hari ini sudah menyimpang jauh dari jalan yang lurus, dan perjuangan yang sebenar. Ahli-ahli UMNO pun tidak lagi pegang kepada matlamat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara termasuk setia dan patuh kepada pemimpin tanpa mengambilkira apa yang dilakukan olehnya.

Thursday, January 22, 2009

Sumbangan lembu adalah khidmat sosial syarikat koporat-MB Selangor

MENTERI BESAR SELANGOR, Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) yang mendakwa beliau menggunakan wang kerajaan negeri bagi membeli 46 ekor lembu korban sempena Aidiladha tahun lalu.

Menurut beliau, Abdul Khalid berkata lembu korban terbabit telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya ingin menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban untuk Bandar Tun Razak,” menurutnya lagi, “Sebaliknya, lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).”

Abdul Khalid mengulas kenyataan berkenaan sebagai respons kepada dakwaan yang dibuat Gerak Malaysia pagi semalam yang mendakwa beliau telah menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan rasuah dengan menyalurkan dana kerajaan negeri di luar sempadan Selangor.

Beliau berkata sebagai seorang yang berpengalaman dalam banyak syarikat korporat sebelum ini, beliau sangat memahami bagaimana mewujudkan tadbir urus yang baik.

“Peruntukan kerajaan negeri hanya boleh digunakan untuk kegunaan negeri sahaja,” tegasnya Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)

Beliau berkata Gerak Malaysia wajar membuat ‘homework’ agar ia tidak dilihat seperti digunakan pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik.

Abdul Khalid juga menyatakan kesediaannya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Sementara itu mengulas mengenai hal berkenaan, Ketua KeADILan Bandar Tun Razak, Azman Zainal Abidin berkata beliau melihat pelapor berkenaan seperti ketandusan isu.

Menurut beliau banyak isu besar lain yang sepatutnya dibuat oleh badan NGO berkenaan bukan sentiasa menunding ke arah negeri-negeri dan kerja yang dilakukan Pakatan Rakyat.

“Saya berharap agar Gerak Malaysia melaporkan rasuah-rasuah yang sudah diketahui umum. Dalam hal ini, bagi saya ianya tidak ada sebarang isu. Hanya satu sumbangan ikhlas untuk masyarakat dari sebuah syarikat koporat,” katanya ketika ditemui semalam.

Wednesday, January 21, 2009

KENYATAAN AKHBAR PENGERUSI PERHUBUNGAN NEGERI

Oleh:
YB DATO’ KAMARUL BAHARIN BIN ABBAS
Ahli Parlimen Telok Kemang
20/1/2009


Saya dan Parti keADILan Rakyat Negeri Sembilan bersetuju dengan kenyataaan YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Bin Hassan Menteri Besar Negeri Sembilan terhadap masalah syarikat elektronik di Negeri Sembilan yang membuang pekerja tempatan di dalam menghadapi masaalah ekonomi global.

Namun di dalam kita menghadapi apa-apa masalah dan musibah, semua pihak yang terlibat termasuk pihak berkuasa hendaklah duduk dan berbincang. Bak kata perpatah jangan umpama menarik rambut dalam tepung..

Di dalam persoalan ini kita mestilah memahami masalah yang dihadapi oleh pengilang dan dalam masa yang sama membela nasib pekerja tempatan. Di dalam kes-kes tertentu mungkin pihak pekerja tempatan terpaksa bekorban sedikit sementara keadaan ekonomi pulih seperti sediakala. Tetapi prinsip utama yang harus dipertahankan ialah keutamaan harus diberikan terhadap pekerja tempatan.

Dalam masa yang sama kerajaan harus memikirkan kaedah dan cara bantuan yang bersesuaian untuk membantu kesusahan yang dialami samada oleh pekerja atau pengilang.

keADILan mengesyorkan bahawa keputusan penarikan lesen adalah tindakan terakhir tidak akan membantu mengatasi masalah dan PKR tidak melihat keuntungan ekonomi atau sosial kepada rakyat dan negeri ini.

Oleh itu PKR merayu kesabaran pihak pekilang dan pekerja dalam menangani masalah ini. Sementara itu PKR menyatakan kekesalan terhadap pentadbiran sebelum ini yang tidak bersedia dan tidak fokus kepada masalah seperti ini sejak awal lagi.

Dan yang paling penting, jangan sampai kaedah penyelesaian dan tindakkan pihak berkuasa ini mengakibatkan terbantutnya usaha menarik pelabur-pelabur dari luar untuk melabur di negeri ini pada masa akan datang.

Tuesday, January 20, 2009

Pro-Aspirasi tewas di UM


Kumpulan pro-Aspirasi gagal mempertahankan penguasaannya di Universiti Malaya apabila tewas kepada kumpulan pro-Mahasiswa dan calon bebas dalam pilihanraya kampus semalam.

Kumpulan pro-establishment itu hanya mendapat 20 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala kumpulan pro-Mahasiswa memenangi 19 kerusi dan dua kerusi lagi dimenangi oleh calon bebas.

Kekalahan tipis kumpulan pro-Aspirasi itu diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris pada jam 3.30 pagi di Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM.

Dalam pilihanraya kampus lalu, pro-Mahasiswa memenangi 11 daripada 41 kerusi.

Dan dalam pilihanraya kampus semalam, kumpulan yang dianggap anti-establishment itu berjaya menambah lapan lagi kerusi.

Kumpulan tersebut menang lapan daripada sembilan kerusi umum dan 13 daripada 32 kerusi fakulti. Calon bebas memenangi dua kerusi fakulti.

Lapan calon pro-Mahasiswa yang menang kerusi umum ialah:

Mohamad Hafiz Ilyas.

Ahmad Syazwan Mohd Hassan.

Mohamad Ridzuan Mohammad.

Nurul Fitrah Mohd Ariffin Marican.

Chong Yah Huei.

Shah Rizul Ayuni Zulkiply.

Low Yu Jie.

Yap Zhehn Jun.

Manakala satu lagi kerusi umum dimenangi oleh calon pro-Aspirasi.

Menurut keputusan yang diumumkan semalam, Mohamad Hafiz mendapat 5,999 undi, Ahmad Syazwan (5,886), Mohamad RIdzuan (5,474), Nurul Fitrah (5,425), Chong (5,041), Shah Rizul Ayuni (5,000), Low (4,847 dan Yap mendapat 4,683 undi.

Bagi kerusi fakulti pula, calon pro-Mahasiswa menang dua kerusi Fakulti Pengajian Melayu (2), Akademi Pengajian Islam (2) dan masing-masing satu kerusi di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Pusat Kebudayaan.

Calon bebas pula memangi dua kerusi di Fakulti Undang-undang,

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi merosot kepada 69 peratus pada sesi pemilihan kali ini.

Pengerusi pro-Mahasiswa Norazali Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kemenangan kumpulannya itu.

Menurutnya, kemenangan tersebut tidak diijangkakan. Kali terakhir pro-Mahasiswa UM memenangi pilihanraya kampus ialah pada 2004.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Norazali menyifatkan kemenangan itu sebagai "angin perubahan" yang sedang melanda universiti itu.

"Kemenangan pro-Mahasiswa kali ini begitu simbolik. Barrack Obama masuk Rumah Putih pada 20 Januari, kita menang pada (pun) pada 20 Januari," kata Norazali.

Pro-Mahasiswa sesi ini mengitar semula tema dan slogan kempen Barrack Obama dalam kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat tahun lepas, Hope and Change dan Change, yes we can.

Norazali bagaimanapun mengakui, situasi pilihanraya kampus di UM lebih bebas berbanding universiti lain. Oleh itu, katanya, ianya membolehkan kempen dilakukan dengan lebih berkesan.

Monday, January 19, 2009

SYUKUR ATAS KEMENANGAN PAKATAN RAKYAT



Oleh YB Dato' Kamarul Baharin Abbas.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, Pakatan Rakyat berjaya menambah satu lagi kerusi di Dewan Rakyat, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 83 kerusi. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada para pengundi Kuala Terengganu kerana memilih calon PAS, YB Mohd Abdul Wahid Endut sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru. Tahniah dan syabas saya ucapkan buat Abdul Wahid serta seluruh jentera Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu.

Saya percaya Abdul Wahid Endut akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin, bukan sahaja kepada warga Kuala Terangganu, bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya. Kemenangan beliau menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan. Makanya hari ini kita menyaksikan di Kuala Terangganu, rakyat menuntut perubahan.

Warga Kuala Terengganu melalui Pilihanraya Kecil ini telah memilih seorang calon yang mereka yakini akan dapat bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat lainnya di Parlimen untuk merealisasikan agenda perubahan tersebut. Kemenangan ini juga seharusnya menjadi pemangkin serta pencetus keazaman di kalangan pendokong Pakatan Rakyat untuk terus bekerja dengan lebih kuat, bukan untuk kita, akan tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Moga Ketuanan Rakyat akhirnya menjadi kenyataan.

P'raya kecil KT cermin 'mood' politik negara


Cita-cita pembangkang untuk mengambil alih kuasa mendapat anjakan yang memberangsangkan ekoran kemenangan calonnya dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam, yang mengikut para pemerhati, turut menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS - salah sebuah anggota Pakatan Rakyat - dalam pilihanraya kecil tersebut, dilihat sebagai mencerminkan 'mood' politik negara sekarang.

Kemenangan itu juga - walaupun tidak menjejaskan kedudukan kerajaan BN - tetapi ia menunjukkan kerajaan gagal menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac 2008, sekaligus telah mencetuskan desakan supaya dilakukan perubahan dalam BN.

"Kemenangan itu menjadi bukti bahawa rakyat sememangnya dahagakan perubahan," kata Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pakatan Rakyat pimpinannya memenangi lima negeri dan lebih satu pertiga kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Kemenangan calon PAS dengan majoriti selesa 2,631 undi semalam adalah ekoran peralihan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang.

Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

Desak perubahan

Kekalahan BN di Kuala Terengganu semalam telah mencetuskan desakan dari bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya dilakukan perubahan segera dalam gabungan BN.

Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas naib presiden Umno itu menyifatkan BN "dimalukan" sekali lagi ekoran kekalahan semalam.

Katanya, walaupun BN kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu - yang juga terburuk dalam sejarah kerajaan - tetapi tidak nampak langsung sebarang perubahan asas dibuat untuk memperbaiki keadaan atau ia menunjukan BN tidak mengambil iktibar daripadanya.

Malah, beliau melihat BN sekarang seolah-olah terambing ambing seperti sebuah bahtera tanpa nakhoda.

Siva Murugan Pandian, seorang penganalisa politik dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, kemenangan pembangkang semalam telah memberi satu anjakan besar kepada Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Jika Datuk Seri Anwar dapat memastikan tidak berlaku keretakan dalam Pakatan Rakyat, maka pembangkang boleh mangambil alih kuasa dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sokongan pengundi Melayu

"Tetapi ia hanya boleh berlaku jika peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat berterusan," katanya.

Siva berkata, keputusan semalam juga merupakan satu petanda tidak baik terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang akan mengambil alih jawatan perdana menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pemilihan Umno Mac depan.

Abdullah tidak bertanding dalam pemilihan Umno ekoran desakan kuat dari akar umbi dan kalangan pemimpin tinggi Umno ekoran kekalahan teruk BN, khususnya Umno, dalam pilihanraya umum lalu.

Selepas kesemua 193 bahagian Umno selesai bermesyuarat November lalu, Najib menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden Umno.

Tengku Razaleigh yang mahu mencabarnya, gagal mendapat kuota pencalonan yang mencukupi - sebanyak 58 pencalonan. Beliau hanya mendapat pencalonan dari bahagiannya - Umno Gua Musang.

Manakala Bridget Welsh, pakar politik Asia Tenggara di Universiti Johns Hopkin pula berkata kekalahan BN di Kuala Terengganu akan mencetuskan persoalan mengenai peningkatan kedudukan Najib sebagai perdana menteri.

Reaksi Najib

Ini kerana Najib sendiri mengetuai jentera kempen BN di Kuala Terengganu dan kekalahan BN itu merupakan satu lagi kegagalan kerajaan dalam pilihanraya kecil selepas Permatang Pauh, yang menyaksikan Anwar kembali ke Parlimen.

Ketika mengulas kekalahan calon BN semalam, Najib berkata beliau tidak fikir ia akan memberi kesan kepada BN dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Najib berkata, beliau juga berkata tidak fikir bahawa pengundi tidak yakin kepadanya untuk mengambil alih kuasa dari perdana menteri sekarang.

Manakala Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre for Opinion Research, pula menyifatkan keputusan pilihanraya kecil semalam menunjukkan kerajaan BN kini berdepan dengan “jurang kredibiliti” dengan pengundi Melayu yang tidak ditangani oleh para pemimpinnya ekoran percakaran sesama sendiri yang berterusan dalam BN.

Pengundi muda dan pengundi di kawasan bandar khususnya tidak senang dengan masalah rasuah dan kroni yang berterusan, serta kegagalan Abdullah menunaikan janjinya untuk membawa perubahan, termasuk membersihkan pasukan polis dan badan kehakiman.

Ibrahim juga bersetuju bahawa gabungan pembangkang kini mendapat momentum yang amat diperlukan dan membuktikan parti komponennya dapat bekerjsama secara berkesan walaupun wujudkan dakwaan bahawa berlaku keretakan dalam hubungan sesama mereka.

Thursday, January 15, 2009

Yang di-Pertuan masuk pejabat kali pertama di kediaman SUK


SEREMBAN- Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mula memasuki pejabat sementara di kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi semalam buat pertama kali selepas dimahsyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Disember lalu.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Exco-exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan bagi menyambut ketibaan baginda.

Baginda turut meluangkan masa berbincang selama sejam bersama Menteri Besar, sebelum diperkenalkan kepada Exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan yang hadir.

Difahamkan, kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri dijadikan pejabat sementara baginda berikutan kerja-kerja baik pulih yang dilakukan di Istana Hinggap yang menempatkan pejabat asal untuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, majlis doa selamat, bacaan Yasin dan tahlil berlangsung di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti, Kuala Pilah, malam kelmarin sempena Hari Keputeraan sempena Hari Keputeraan ke-61 baginda.

Baginda tiba ke majlis itu dengan diiringi Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada jam 7.15 malam disambut oleh Menteri Besar sendiri.

Majlis berkenaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum bacaan Yasin diikuti doa selamat dan solat Isyak.

Turut kelihatan Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau; Datuk Muhamad Sharip Othman; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Wednesday, January 14, 2009

JANGAN JADIKAN SIDANG KHAS PARLIMEN SEKADAR RETORIK


The leadership is busy collecting wealth. While Israel is punishing the Palestinian people for choosing HAMAS, it is no different from UMNO punishing Malaysians for choosing the Pakatan Rakyat." - Anwar Ibrahim.

"Pemimpin yang ada sibuk mengumpul kekayaan negara. Israel menggasak rakyat Palestin kerana menyokong HAMAS, tiada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh UMNO yang menghukum rakyat Malaysia kerana menyokong Pakatan Rakyat." - Anwar Ibrahim.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Oleh YB Dato' Kamarul Baharin Abbas
Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza tidak seharusnya menjadi pentas retorik sahaja sebaliknya mestilah memutuskan pelan bertindak yang berkesan terhadap Israel dan penaungnya Amerika Syarikat. Kita berharap Perdana Menteri yang akan mengemukakan ucapan dan usul di Dewan Rakyat akan mengemukakan dasar luar yang yang lebih realistik dan praktikal dalam membantu wilayah Palestin yang ditakluki.

Rakyat Malaysia berharap Parlimen tidak menjadi medan 'lip service' atau kata-kata manis serta retorik kosong sahaja. Pakatan Rakyat juga berharap Perdana Menteri membuktikan keikhlasan tanpa sebarang rasa takut kepada gertakkan kuasa-kuasa besar seperti Amerika. Kerajaan Malaysia mesti mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas termasuk memanggil Duta Amerika di negara ini dan lebih dari itu, Parlimen juga hendaklah memutuskan tindakan ekonomi yang lebih tegas terhadap Amerika terutamanya.

Pakatan Rakyat juga berharap keputusan rakyat untuk memulaukan barangan Amerika dapat diangkat menjadi pendirian rasmi negara seperti kempen "Buy British Last" (barangan British pilihan terakhir) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri dahulu.

Malangnya pada masa ini, kita masih melihat jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan membeli minyak dari syarikat-syarikat Amerika seperti Caltex. Kerajaan hendaklah mengarahkan jabatan-jabatan dan agensi-agensinya memulaukan apa sahaja barangan dan perkhidmatan Amerika selagi ada pilihan lain. Kempen memulaukan barangan Amerika juga hendaklah diangkat oleh Parlimen menjadi kempen peringkat negara.

Parlimen juga hendaklah memutuskan supaya negara melaksanakan cadangan Tun Dr Mahathir supaya memulaukan Dolar Amerika dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa. Paling penting, Parlimen juga hendaklah memutuskan supaya Malaysia tidak memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika yang dianggap oleh banyak pihak sebagai laluan yang lebih mudah penjajahan ekonomi negara kuasa angkuh itu.

Pakatan Rakyat juga berharap Parlimen Malaysia akan menubuhkan pasukan pelobi di peringkat antarabangsa yang dianggotai oleh semua anggota Barisan Nasional & Pakatan Rakyat yang berpengaruh untuk melobi negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) mengadakan sidang khas Parlimen di negara masing-masing untuk menyokong pejuang rakyat Palestin bagi memutuskan tindakan yang tegas terhadap Israel dan Amerika.

Pembelian Camry tidak jejas projek kebajikan di Selangor


Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat memandang serius isu pembelian kereta Toyota Camry untuk kegunaan exco serta pegawai kanan kerajaan negeri Selangor yang didakwanya telah diputarbelitkan oleh sesetengah pihak.

Merujuk kenyataan Datuk Dr Mohd Khir Toyo dalam beberapa akhbar baru-baru ini, setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan ia mencerminkan keperibadian ketua pembangkang di Selangor itu serta kepimpinan Umno yang menurutnya, masih berfikiran cetek.

"Keputusan Pembelian Kereta Toyota Camry dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu dan bukan tahun lalu kerana belum ada peruntukan ketika itu," katanya dalam satua kenyataan hari ini.

Nik Azmi (foto) berkata, keputusan kerajaan Selangor membeli Toyota Camry sebenarnya dibuat berdasarkan sebut harga yang dihantar syarikat kenderaan dan bukannya menerusi tender terbuka kerana harganya telah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

"Pembelian kereta Toyota Camry ini sebenarnya tidak menjejaskan langsung projek-projek kebajikan "merakyatkan ekonomi Selangor" yang telah dirancang kerana kerajaan negeri sudah mempunyai bajet untuk kesemua program berkenaan," katanya.

Nik Azmi berkata, segala kecaman yang dikeluarkan oleh ketua pembangkang langsung tidak berasas, memandangkan kerajaan Pakatan Rakyat - yang baru sahaja menerajui kerajaan negeri - telah berjaya melakukan pelbagai program bagi "merakyatkan ekonomi Selangor" dengan cukup memberangsangkan.

"Lebih jelik lagi apabila beliau sewaktu memegang jawatan menteri besar sebelum ini telah meluluskan pembelian kereta Mercedes S350L menggunakan peruntukan KDEB selaku pengerusinya yang berharga RM917,214 semata-mata untuk kegunaan peribadi.

"Adakah beliau lupa akan kos besar yang ditanggung kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri akibat masalah pengurusan waktu itu?

"Adakah beliau lupa berapa banyak keuntungan dikaut pihak pemaju swasta dalam projek-projek usahasama sedangkan Kerajaan Negeri dibelakangkan," tegas Nik Azmi.

Beliau juga berkata, rakyat Malaysia juga sudah mulai sedar dan faham dengan mainan politik murahan BN.

"Ketua pembangkang seharusnya membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan agar segala komen itu dilihat lebih membina daripada menfitnah dan tidak terkena ke mukanya sendiri," tegas Nik Azmi.

Sunday, January 11, 2009

Anwar: Kita akan rampas Sarawak!

dipetik daripada Malaysiakini.com
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keyakinannya bahawa gabungan pembangkang - Pakatan Rakyat - akan menubuhkan kerajaan di Sarawak ekoran rasa tidak puashati rakyatnya terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Beliau memberitahu lebih 5,000 hadirin di majlis makan 'Rakan PKR' di Kuching semalam bahawa parti pembangkang akan bekerjasama untuk menumbangkan BN pimpinan ketua menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan menjaga dan melindungi hak dan tanah mereka.

Menurutnya, jika Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan, ia akan menggubal undang-undang dalam tempoh enam bulan untuk mengembalikan semula apa yang menjadi hak rakyat seperti tanah.

Katanya, BN mendakwa sebelum pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 bahawa pembangkang tidak akan dapat memahami bagaimana hendak mentadbir kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, ia ternyata silap apabila pakatan pembangkang berjaya menguasa empat buah negeri, serta mengekalkan Kelantan.

MENARA TELEKOMUNIKASI HARAM: SAMPAI BILA ISU INI AKAN BERLARUTAN?




Isu pembinaan menara telekomunikasi secara haram dan tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan seolah-olah tiada berpenghujungnya. Di sekitar Negeri Sembilan sahaja, dalam masa tidak sampai seminggu, akhbar-akhbar tempatan telah melaporkan tidak kurang dari 3 siri bantahan penduduk setempat berhubung dengan isu ini.

Hari ini penduduk sekitar Bandar Baru Lukut telah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah pembinaan menara telekomunikasi milik syarikat U-Mobile di atas sebuah bangunan di pekan ini. Demonstrasi ini dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Lukut yang turut dihadiri YB Saudara Ean Yong (ADUN Lukut) dan mendapat sokongan YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang).

Ketika ditemui selepas demonstrasi berlangsung, YB Saudara Ean Yong menyifatkan sikap syarikat telekomunikasi tersebut sebagai degil dengan membuat pemasangan menara itu sebelum mendapat kelulusan dari pihak MPPD.. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini jelas menunjukkan sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan syarikat terbabit.

YB Dato’ Kamarul Baharin pula menyifatkan isu ini telah menjadi isu nasional kerana ianya berlaku hampir di semua bandar dalam negara ini. Namun kejadian sebegini semakin berkurangan di 5 buah negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kerana negeri-negeri terbabit telahpun menggariskan satu dasar yang jelas mengenainya. Justeru sebagai Ahli Parlimen, beliau akan berusaha untuk membawa perkara ini kepada Kementerian Tenaga, Air & Komunikasi agar dasar yang jelas serta seragam untuk seluruh negara dapat diputuskan segera.

Sejurus berakhirnya program demontrasi ini, YB Ahli Parlimen telah didatangi oleh seorang penduduk setempat yang mengadukan hal gangguan bunyi bising dari sebuah bangunan yang menjalankan kegiatan sarang burung layang-layang. Lebih dari 3 tahun masalah kacauganggu ini telah dihadapi oleh penduduk sekitar Taman Aman di Pekan Lukut.. Jawatankuasa Penduduk telahpun menghantar nota bantahan kepada pihak MPPD serta turut telah meminta campurtangan pihak parti MCA Lukut namun sehingga kini kegiatan tersebut bukannya semakin berkurangan tetapi menjadi semakin besar dan berterusan mengganggu kesejehteraan penduduk setempat.

www.telokkemang.blogspot.com/

Friday, January 9, 2009

Sah, Dr Hassan ketuai bantahan PPSMI


dipetik daripada Malaysiakini.com
Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad secara rasmi memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Gabungan Mansuhkan PPSMI - yang mengancam mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih - bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Jawankuasa Pelaksana program berkenaan, Hasni Abas berkata, Dr Hassan akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa induk gabungan itu.

Menurutnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau - yang mengetuai sembilan lagi wakil NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang yang bergabung dalam GMP - dengan bekas ketua pengarah DBP itu di Yayasan Karyawan di Damansara tengahari tadi.

Isnin lalu, Dr Hassan dilaporkan menyatakan kesediaanya untuk memimpin gabungan itu bagi membantah pelaksanaan PPSMI.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata, mesyuaratnya dengan Dr Hassan juga memutuskan untuk melantik sembilan tokoh politik dan bahasa berprofil tinggi bagi mengganggotai jawatankuasa induk itu.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua pengarahDBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.

Ditanya tentang tugas pertama Dr Hassan, Hasni berkata: "Panggil mesyuarat jawatankuasa induk."

Perarakan keranda

Jawatankuasa induk yang dibentuk itu merupakan badan utama pembuat keputusan dalam GMP; manakala jawatankuasa pelaksana bertindak menggerakkannnya di peringkat bawah.

Hasni yang juga pengerusi Kesatuan Pekerja DBP berkata, jumlah ahli jawatankuasa induk mungkin ditambah daripada masa ke semasa, mengikut keperluannya.

Beliau sebagai pengarah jawatankuasa pelaksana, secara automatik bertindak sebagai setiausaha GMP.

Selain itu, jawatankuasa pelaksana GMP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja lanjut bagi menjayakan perhimpuna besar yang dijadual Mac depan.

Selain perhimpunan ala-Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil ) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu "perarakan keranda" Februari ini berhubung isu PPSMI oleh sebuah lagi badan bahasa, Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - akan menjadi sebuah lagi tindakan, selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.



Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.

Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong hari ini memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.

Thursday, January 8, 2009

DEMO Rakyat NS Sokong Palestin 9 Jan Senawang

DEMONSTRASI Rakyat Negeri Sembilan Menyokong Perjuangan Rakyat Palestin
JUMAAT 9 Januari 2009
Di Perkarangan Masjid Bandar Baru Senawang , N.Sembilan
Selepas Solat Jumaat
Semua Dijemput Hadir

Anjuran : Koordinator Sukarelawan Selamatkan Al Quds dan Gabungan NGO
Hubungi 019-2998345(azizi keadilan Rembau 0123696474)

Wednesday, January 7, 2009

Mahkamah kekalkan pembebasan Azmin

dipetik dari Malaysiakini.com
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaraya terhadap penghakiman yang membebaskan ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali daripada tuduhan memberi keterangan palsu.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaraya terhadap penghakiman yang membebaskan ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali daripada tuduhan memberi keterangan palsu.

Sebaliknya, ia mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2007 yang membebaskan Azmin daripada tuduhan tersebut.

Azmin, yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, dihukum 18 bulan penjara selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir selepas mendapatinya bersalah membuat satu kenyataan palsu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes salahguna kuasa terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Mac 1999.

Mengikut perlembagaan, seseorang Adun atau ahli Parlimen boleh terbatalkan kelayakannya sekiranya mereka dihukum denda lebih daripada RM2,000 oleh mahkamah atau dipenjarakan lebih dari setahun.

Azmin, yang merupakan setiausaha sulit Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri, pada mulanya dibebas dan dilepaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Hamdan Indah pada 13 Julai 1999.

Bagaimanpaun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Patail telah memerintahkan Azmin supaya membela diri.

Ekoran rayuan yang dikemukakan terhadap keputusan tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Kadir dalam keputusannya pada 1 November 2007, bersetuju dengan keputusan Hamdan membebaskan Azmin.

Tuesday, January 6, 2009

KT: 3 serah borang pencalonan


Tiga calon telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan.

Mereka menyerahkan calon pencalonan di pusat penamaan calon di Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud.

Seperti yang dijangka, calon calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menyerahkan borang pencalonan masing-masing. Seorang lagi ialah calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Wan Ahmad Farid tiba sebaik sahaja pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi. Beliau diikuti oleh Mohd Abdul Wahid Endut pada kira-kira jam 9.10 pagi.

Manakala Azharudin, seorang ahli perniagaan, pula menyerahkan borang pencalonan pada saat-saat akhir pada jam 9.58 pagi. Tempoh penamaan calon berakhir jam 10 pagi.



Beliau tiba awal di pusat penamaan calon tetapi menghadapi beberapa masalah dengan borang pencalonannya, yang perlu diperbetulkan.



Naib presiden parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Harun Mohamad - yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk turut bertanding - memutuskan tidak tidak berbuat demikian.



Beliau masuk ke pusat penamaan calon pada kira-kira jam 9.20f pagi tetapi keluar semula dan mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.


Proses pencalonan bermula jam 9 pagi dan borang pencalonan diterima sehingga jam 10 pagi, diikuti sejam lagi tempoh bantahan.
Selepas itu, pegawai pengurus pilihanraya akan mengumumkan senarai calon-calon yang layak bertanding, biasanya pada jam 12 tengahari.


Selepas itu, parti-parti yang bertanding akan memulakan kempen masinhg-masing.


Pengundian akan diadakan selepas 11 hari berkempen. Pilihanraya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail dari BN pada 28 November lalu.


Seramai 80,229 pemilih layak mengundi dalam pilihanraya kecil ini.

SPR: Antara Kuasa dan Inisiatif

oleh YB Dato' Kamarul Baharin Abbas
Saya berasa lucu apabila bekas Pengerusi Suruhan jaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri A Rashid A Rahman, pada 30 Disember lalu, mengugut hendak menyaman ahli-ahli Parlimen pembangkang yang didakwa memfitnah dan memalukan dirinya. Dalam keghairahan Rashid menggertak ‘musuh-musuhnya’ itu beliau tanpa disedari mempamerkan kejahilannya sendiri. Dan ini amat menjengkelkan kerana beliau kelihatan bangga kerana telah bersama SPR selama 25 tahun. Ini dengan sendirinya memaparkan satu kegagalan; khususnya dalam memahami objektif dan kandungan undang-undang pilihan raya. Sebagai seorang penjawat awam, lebih-lebih lagi SPR yang merupakan ‘pengadil’ kepada parti-parti politik – Rashid sepatutnya lebih terbuka dan bersedia menerima kritikan, termasuk yang agak keras.

Saya fikir parti-parti politik, baik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak akan saja-saja mengarut dan mencari fasal atau publisiti murahan kerana itu semua akan memberi kesan negatif kepada populariti mereka. sebab itu saya tidak faham dengan gelagat Rashid, meskipun itu bukanlah kali pertama beliau berkelakuan begitu. Gertakan Rashid hendak membengkapkan Ahli-Ahli Parlimen – supaya mereka hilang kerusi di bawah Perkara 48(1)(b) Perlembagaan Persekutuan - tidak masuk akal. Ini kerana amaun ganti rugi dan sebagainya ialah kerja hakim: Rashid tidak boleh menentukannya. Itu pun kalau beliau menang dan mereka gagal membayarnya. Sekarang ini kita belum tahu sama ada beliau ada kes yang baik atau tidak. Silap-silap mungkin Rashid sendiri yang tewas dan terpaksa membayar kos guaman Ahli-Ahli Parlimen itu! Satu lagi cara di mana seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e) ialah sabitan jenayah yang memang di luar kuasa Pengerusi SPR.

Saya tidak pasti yang Rashid boleh menang kalau dia menyaman atas alasan ahli-ahli Parlimen itu memfitnahnya. Ini kerana sebagai seorang yang mengendalikan pilihan raya sudah pasti ada hal-hal yang menimbulkan syak dan keraguan kepada integriti dan kebebasan beliau. Apalagi dalam keadaan dia begitu banyak membuat kenyataan dan tindakan yang aneh termasuk membatalkan penggunaan dakwat hitam tiga hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke 12 pada 8 Mac lalu.

Alasan Perlembagaan yang disebut Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak begitu meyakinkan. Selepas itu kerajaan mengakui bahawa ia tidak mempunyai bukti kukuh untuk membatalkan penggunaan dakwat yang dibeli dengan harga RM2.2 juta itu. Kita juga masih menunggu apa jadi dengan siasatan polis ke atas kes menyimbah cat ke rumah Rashid selepas itu. Ini semua sekadar beberapa perkara yang menyebabkan semua yang mahu melihat pilihan raya yang bebas dan adil di negara ini kecewa dengan gelagat Rashid. Bukan sahaja parti-parti pembangkang. Walau apa pun selepas pilihan raya BN sendiri pun mempersoalkan keputusan membatalkan penggunaan dakwar itu. Aneh.

Kadang-kadang saya terfikir apakah gelagat Rashid itu satu lagi siri lawak olehnya; pertunjukan akhir sebelum beliau meninggalkan pentas? Dalam sejarah negara beliaulah satu-satunya orang yang menjadi sebab kepada Perlembagaan dipinda: untuk mengizinkan beliau terus jadi Pengerusi SPR. Dan itulah pindaan Perlembagaan terakhir kerana selepas itu tidak ada parti yang memiliki majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Rashid turut menyatakan yang beliau mahu berbincang dengan kerajaan tentang perlunya SPR mempunyai autonomi dan kebebasan. Ini juga lucu kerana ia mengesahkan dakwaan pihak pembangkang. Dengan sendirinya Rashid telah menempelak dakwaan BN. Apa pun apa yang Rashid katakan itu sebenarnya tidak perlu kerana Perlembagaan sudah menyediakan prasarana yang cukup. Perlembagaan, melalui Perkara 113(1) dan (2) menjelaskan apakah fungsi-fungsi SPR. Ia juga secara umum membayangkan apakah kuasa-kuasa yang patut dan wajar dimiliki oleh suruhanjaya.

Adalah tidak mungkin untuk menyenaraikan kesemuanya. Peruntukan itu juga membayangkan apakah inisiatif yang perlu SPR buat. Mendengar apa yang dikatakannya jelas Rashid memang tidak faham kedudukan dan peranannya.

BERMULANYA SESI PERSEKOLAHAN YANG MEMBINGUNGKAN IBUBAPA

KENYATAAN MEDIA
AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG


YB Dato’ Kamarul Baharin Bin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan garis panduan berhubung isu yuran tambahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditangguhkan pembayarannya daripada awal sesi sehingga pertengahan sesi persekolahan yang bermula hari ini.

YB Ahli Parlimen berkata, walaupun pihaknya menyambut baik langkah kerajaan itu untuk meringankan beban kewangan ibu bapa, namun ia perlu diperincikan agar difahami oleh semua pihak. Garis panduan itu juga dapat membantu pengurusan sekolah menangani masalah kekurangan dana bagi penganjuran aktiviti seperti sukan dan kokurikulum sepanjang sessi persekolahan Januari hingga Jun.

Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang menerima banyak laporan serta rungutan dari ibubapa yang mempersoalkan tentang masalah peningkatan ongkos persekolahan anak-anak mereka. Ada ibubapa yang tidak berpuas hati kerana bayaran yuran antara sekolah yang berbeza-beza. Lebih memeningkan adalah, guru-guru sendiri turut tidak dapat memberikan maklumat yang tepat kepada ibubapa mengenai isu yuran sekolah ini kerana mereka juga mungkin sebenarnya tidak memahami kedudukan yang sebenarnya.

Beginilah keadaan rakyat marhaen ketika awal sesi persekolahan anak-anak mereka. Keadaan ekonomi yang semakin merudum mutakhir ini sudah tentu menyukarkan lagi kehidupan sebahagian besar rakyat Malaysia. Tidak sepertimana janji-janji indah YAB Perdana Menteri yang pernah menyatakan bahawa kerajaan akan memberikan yuran PERCUMA kepada semua para pelajar sekolah di Malaysia. Pakatan Rakyat masih menanti perlaksanaan janji-janji manis YAB Perdana Menteri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Ahli Parlimen turut menjelaskan, kita tidak mahu keputusan ini akan menjejaskan aktiviti sekolah, membantutkan pelbagai acara dan 'melesukan' sekolah pada awal-awal sesi persekolahan. Justeru Kementerian Pelajaran haruslah jujur dalam melaksanakan tanggungjawabnya pada rakyat Malaysia keseluruhannya dan Warga Telok Kemang khasnya yang setia membayar cukai kepada negara.


5/1/2009
www.telokkemang.blogspot..com/

Monday, January 5, 2009

MB dinafi pengaruh pelantikan Yang Dipertuan Besar NS


dipetik daripada Malaysiakini.com
Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman menafikan desas-desus kononnya ada pihak, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan cuba mempengaruhi pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Sebaliknya, kata beliau, pelantikan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir (foto) sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru Isnin lalu, diputuskan secara sebulat suara tanpa lobi-melobi oleh mana-mana pihak.

Bercakap dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di kediamannya di Rembau, Muhamad Sharip menafikan menteri besar cuba mempengaruhi keempat-empat Datuk Undang Luak negeri itu dalam membuat keputusan mereka berhubung pelantikan itu.

"Dalam Enakmen Kerajaan Negeri Sembilan, kuasa mutlak untuk melantik Yang Dipertuan Besar terletak hanya kepada Undang Yang Empat sahaja, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Jelebu, Datuk Undang Luak Rembau dan Datuk Undang Luak Johol, dengan dipengerusikan oleh Datuk Undang Luak Sungai Ujong.

"Untuk makluman semua, keputusan mesyuarat atau kerapatan kami adalah 100 peratus atau sebulat suara," katanya bagi menjelaskan salah laporan terutama oleh penulis-penulis blog berhubung pelantikan Tuanku Muhriz.

Tuanku Muhriz, 60, menggantikan bapa saudaranya, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86, yang mangkat Sabtu lalu, setelah menjadi Yang Dipertuan Besar selama 41 tahun.

"Saya cukup menghargai dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana beliau tidak mempengaruhi atau campur tangan dengan urusan pemilihan ini sebagai mana desas-desus yang kita dengar. Saya menafikan desas-desus ini. Beliau bersikap amat profesional dalam hal ini," kata Muhamad Sharip.

Datuk Undang Luak Rembau itu juga ditanya apakah faktor-faktor yang diambil kira oleh Datuk Undang Yang Empat sebulat suara melantik Tuanku Muhriz, kerabat Diraja yang tidak dikenali ramai yang sebelum ini bergelar Tunku Besar Seri Menanti.

Muhamad Sharip hanya menjawab: "Itu memang hak mutlak Datuk Undang yang Empat untuk menentukan yang mana faktor-faktor itu terpulanglah kepada mereka sahaja dan pada pemikiran mereka pada masa itu".

Spekulasi mengenai pemilihan Yang Dipertuan Besar yang baru sebelum ini banyak memihak kepada putera sulung Almarhum Ja'afar, Tunku Naquiyuddin, iaitu Tunku Laxamana Negeri Sembilan yang berprofil tinggi di kalangan masyarakat Malaysia.

Mengenai perasaannya kerana terlibat secara peribadi dalam peristiwa bersejarah untuk memilih Yang Dipertuan Besar atau lebih dikenali sebagai Yam Tuan yang baru, Muhamad Sharip berkata perkara itu tidak termimpi olehnya.

"Kita hidup ini, mungkin dia (Yam Tuan) pergi dulu, mungkin kita pergi dulu. Kebetulan Almarhum Tuanku Ja'afar yang pergi dulu daripada kita dan kita terpaksa menjalankan amanah ini," katanya.

Beliau menyifatkan tanggungjawab memilih Yam Tuan yang baru buat pertama kali dalam lebih 40 tahun itu sebagai sebagai "cukup-cukup berat".

"Ia cukup-cukup berat kerana kalau di negeri-negeri lain, pelantikan itu dari ayah turun ke anak, tetapi tidak di Negeri Sembilan. Kita unik".

Muhamad Sharip berkata bukanlah mudah untuk Datuk-Datuk Undang itu membuat keputusan kerana mereka harus mengambil kira segala aspek dan banyak sudut.

Beliau juga bangga kerana kerahsiaan mengenai keputusan pelantikan Tuanku Muhriz sebagai Yam Tuan yang baru dapat kekalkan tanpa ada kebocoran sehingga pemasyhuran rasmi dibuat sejurus sebelum acara pemakaman jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar diadakan selepas solat Asar Isnin lalu.

Katanya keputusan Datuk Undang Yang Empat itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu malah kepada Tuanku Muhriz sendiri atau tiga lagi kerabat Diraja yang layak dipertimbangkan sebagai pengganti.

Ketiga-tiga mereka terdiri daripada putera Almarhum Tuanku Ja'afar iaitu Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran dan Tunku Putera Nadzaruddin.

Mengenai Almarhum Tuanku Ja'afar, Datuk Undang Luak Rembau berkata: "Kami sebenarnya rapat dengan Almarhum dan kasih sayang padanya. Bagi kami kemangkatannya adalah satu kehilangan besar kepada rakyat Negeri Sembilan dan kepada kami Undang Yang Empat kerana seperti umum mengetahui, Almarhum bukanlah calang-calang orangnya".

Beliau berkata Almarhum Tuanku Ja'afar merupakan seorang raja yang baik, adil, berfikiran tajam, penyabar dan selalu membuat sesuatu keputusan secara bermusyawarah.

Muhamad Sharip juga bersetuju bahawa terdapat minat di kalangan rakyat khususnya di luar Negeri Sembilan untuk mengetahui secara lebih meluas tentang Adat Pepatih yang digunapakai di Negeri Sembilan, terutama ekoran pemilihan Yam Tuan yang baru.

Katanya, beliau sendiri mengambil inisiatif ke arah ini dan sebuah buku mengenai Adat Pepatih dan perkara-perkara berkaitan dengannya akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Buku itu yang bertajuk "Legasi Ketuanan Rembau" akan diedarkan ke sekolah-sekolah di samping dijual pasaran buku dan khusus ditumpukan kepada generasi muda.

"Sebagai contoh, tidak ramai orang terutama di luar Negeri Sembilan tahu bahawa Datuk Undang Yang Empat adalah co-Ruler atau Pemerintah Bersama dan Ahli Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yam Tuan."

Friday, January 2, 2009

Pemulaan baru untuk SPRM: KeADILan lapor 60 Mukasurat Rasuah

Satu dokumen setebal 60 mukasurat yang mengandungi pelbagai laporan rasuah lama dan baru telah diserahkan sempena dengan pemulan baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula beroperasi 1 Januari.

Laporan berkenaan diserahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) KeADILan Badrul Hisham Shaharin pagi ini di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini.

Menurut Badrul dokumen berkenaan diserahkan adalah bagi menguji peranan SPRM yang telah ditubuhkan tanpa sebarang pindaan di parlimen ini mampu melakukan tugas dengan baik.

“Ini adalah laporan pertama kepada SPRM. Sekiranya SPRM gagal bertindak terhadapnya (dokumen yang diserahkan) maka rakyat akan terus kecewa kerana wang yang dibayar melalui cukai terbazir untuk memenuhi retorik politik perang rasuah yang hanya menangkap ikan bilis atau pendakwaan berdasarkan politik,” katanya di luar Ibu Pejabat SPRM.

Dalam dokumen berkenaan turut mengandungi laporan rasuah bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz yang pernah dibuat beberapa tahun dulu.

“Dokumen ini turut mengandungi laporan rasuah yang Rahim dan Rafidah serta laporan yang yang pernah Badan Pencegahan Rasuah (BPR) sahkan tertuduh bersalah, namun tidak ada satu pendakwaan dibuat keatas individu berkenaan,” katanya

Selain kes Rahim dan Rafidah yang kedua-duanya dalam perebutan jawatan didalam Umno, dokumen berkenaan turut mengandungi laporan skandal korupsi mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohd, keluarga serta kroninya didalam Perwaja dan Perlantikan Hakim dalam Skandal VK Lingam.

Skandal korupsi Perdana Menteri Abdullah Badawi, keluarga dan kroni dalam beberapa organisasi, antaranya, Scomi, ECM Libra, korupsi antarabangsa Oil For Foor serta agihan kontrak makanan tentera dan Mas turut diserta dalam laporan berkenaan.

Laporan skandal korupsi bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak serta kroninya yang terlibat dalam kes pembelian kapal selam, europyer dan jet serta pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu turut diserahkan dalam dokumen berkenaan.

Kata Badrul lagi, BPR hanya membuat siasatan terpilih, malah menurut beliau, kuasa pendakwaan bukan ditangan BPR sebaliknya proses berkenaan hanya boleh dilakukan oleh Peguam Negara.

“Kuasa pendakwaan bukan ditangan BPR, kuasa pendakwaan di yangan Peguam Negara yang boleh dipengaruhi oleh orang atasan dan kepentingan politik,” kata Badrul kepada Suara Keadilan.