Thursday, January 15, 2009

Yang di-Pertuan masuk pejabat kali pertama di kediaman SUK


SEREMBAN- Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mula memasuki pejabat sementara di kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi semalam buat pertama kali selepas dimahsyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Disember lalu.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Exco-exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan bagi menyambut ketibaan baginda.

Baginda turut meluangkan masa berbincang selama sejam bersama Menteri Besar, sebelum diperkenalkan kepada Exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan yang hadir.

Difahamkan, kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri dijadikan pejabat sementara baginda berikutan kerja-kerja baik pulih yang dilakukan di Istana Hinggap yang menempatkan pejabat asal untuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, majlis doa selamat, bacaan Yasin dan tahlil berlangsung di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti, Kuala Pilah, malam kelmarin sempena Hari Keputeraan sempena Hari Keputeraan ke-61 baginda.

Baginda tiba ke majlis itu dengan diiringi Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada jam 7.15 malam disambut oleh Menteri Besar sendiri.

Majlis berkenaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum bacaan Yasin diikuti doa selamat dan solat Isyak.

Turut kelihatan Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau; Datuk Muhamad Sharip Othman; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

No comments: