Wednesday, January 28, 2009

Tiga Adun akan sertai Pakatan Rakyat - MB Perak

dipetik dari Suara Keadilan online.com
Oleh: Dzulkarnain Taib

TIGA lagi ADUN Barisan Nasional dari Umno bakal mengikuti jejak langkah ADUN Bota, Nasarudin Hashim yang menyertai KeADILan Ahad lepas.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau berkata ketiga-tiga ADUN tersebut telah menemui beliau baru-baru untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi mereka selaku wakil rakyat di kawasan masing-masing termasuk kemungkinan keluar Umno.

“Mereka ada berjumpa saya dan kami mengamalkan sikap terbuka. Kami berbincang bagaimana pihak kerajaan negeri boleh membantu meringankan beban mereka selaku wakil rakyat. Mereka gembira dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat terutamanya berhubung usaha meningkatkan hasil pendapatan dan “Mereka juga mengadu kekecewaan mereka kepada saya kerana kebanyakan wakil rakyat Umno di Perak dilarang oleh parti mereka sendiri untuk bertanding Ketua Bahagian.

“Ada diantara mereka yang tidak mahu akur kepada arahan parti lalu bertanding dan kalah.

“Keadaan ini amat mengecewakan mereka kerana selaku wakil rakyat mereka pemimpin di peringkat kawasan tetapi tidak di peringkat Umno bahagian,” terang Nizar.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan Nasarudin untuk bersama-sama KeADILan di Perak dan menganggap tindakan beliau mampu mengukuh serta memantapkan Pakatan Rakyat Perak serta mengongcang BN di negeri itu pada masa yang sama.

Nizar juga menyanggah kenyataan beberapa pemimpin Umno yang melabelkan tindakan Nasarudin sebagai mengkhianati pengundi.

“Saya kagum dengan keberanian Nasarudin dan menganggap beliau seorang yang luhur budi bahasa dan pekertinya. Di dalam Dewan Undangan Negeri pun beliau sentiasa bertanya soalan dengan lemah lembut dan berlandaskan fakta bukannya merapu.

“Sudah tentu orang seperti beliau tidak boleh kekal lama dengan budaya dan naluri Umno yang menekan dan mengekang kebebasan bersuara ahli-ahli mereka.

Ditanya mengenai pelbagai tekanan yang bakal dihadapi ADUN yang berhasrat menyertai Pakatan Rakyat, Nizar menegaskan BN sepatutnya memberi kebebasan kepada wakil rakyatnya samada mahu terus kekal bersama BN atau menyertai parti pilihan mereka.

“Kalau wakil rakyat ini ditekan rakyat akan melihat Umno dan BN sebenarnya tidak mengamalkan demokrasi seperti mana yang mereka laungkan.

“Jangan tekan, ugut atau apa-apakan mereka, berikan mereka kebebasan dan hormati proses demokrasi yang sihat,” Nizar memberi amaran.

No comments: