Tuesday, March 20, 2012

PRU13: Daim ramal BN selamat tiga negeri sahaja

KUALA LUMPUR 20 Mac: Bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin meramalkan Umno BN hanya menang di Johor, Melaka dan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan selainnya dimenangi Pakatan Rakyat.

Daim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau yang diterbitkan hari ini, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Daim turut dipetik sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kini umpama “jeneral tanpa askar” dalam berdepan cabaran PRU.

“Perdana Menteri dan pemimpin utama lain sudah pun melakukan lebih dari cukup. Maka situasi semasa mereka umpama ‘jeneral tanpa askar’.

“Di manakah askar-askar BN? Pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian perlu lebih proaktif melibatkan diri dengan orang ramai,” kata Daim.

Daim turut meramalkan agak sukar untuk Umno BN mengekalkan Sabah dan Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu di kedua-dua negeri itu.

Mengenai Negeri Sembilan, Daim tidak menolak bahawa Pakatan Rakyat berpeluang cerah untuk menang di situ ekoran gabungan KEADILAN, PAS dan DAP hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam kerusi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, kata Daim, Umno juga terpaksa mencari calon sesuai untuk menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijangka bertanding kerusi Parlimen untuk dilantik sebagai menteri persekutuan.

Mengenai Perak yang dirampas Umno BN yang diketuai Najib sejak Februari 2009, Daim melihat agak sukar untuk Umno BN kekal di negeri itu.

Sementara Kelantan dan Pulau Pinang, Daim yakin Pakatan Rakyat akan terus memerintah di kedua-dua negeri itu.

Menjelang PRU 8 MAc 2008, Daim pernah meramalkan Umno BN akan kalah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, namun tiada siapa melihat dengan serius ramalan beliau.

Sehinggalah keputusan 8 Mac diumum yang yang menyaksikan Umno bukan sahaja kalah di negeri itu, kecuali Terengganu, malah buat pertamakali dalam sejarah BN hilang 2/3 kerusi Parlimen.

Program Semasa

Thursday, March 15, 2012

Pegawai kanan Felda ditugas 'gunting akhbar' di JPM

Setiausaha Koperasi Permodalan Felda (KPF) Abidin Abdul Rahman dilaporkan telah ‘disingkirkan’ ke Jabatan Perdana Menteri kerana didakwa membantah pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi koperasi itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

NONEAbidin yang juga adalah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, kata Mahfuz (kanan), hanya diberikan tugas menggunting keratan akhbar untuk perpustakaan di jabatan itu sejak 1 Mac lalu.

Menurut beliau, Abidin terpaksa menanggung akibatnya apabila menyuarakan kebimbangan ahli pada Disember lalu berhubung cadangan melantik Isa, yang merupakan pengerusi Felda untuk memimpin KPF. Langkah itu dianggap melanggar peraturan koperasi.

Mahfuz berkata Abidin memaklumkan bahawa beliau hanya akan menerima pelantikan Isa sebagai pengerusi KPF jika bekas menteri besar Negeri Sembilan itu adalah seorang ahli koperasi.

azlan"Dan untuk menjadi ahli, Isa (kanan) mestilah sama ada seorang peneroka Felda atau kakitangan operasinya," kata Mahfuz kepada Malaysiakini semalam.

Mahfuz juga mendakwa bahawa pada asalnya lembaga pengarah Felda mencadangkan supaya Abidin dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi oleh kerana Felda adalah sebuah badan berkanun manakala JPA adalah entiti kerajaan, maka, ia tidak menjadi kenyataan.

Beliau ke Jabatan Perdana Menteri, kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

NONE"Ini tindakan memalukan (oleh kerajaan) untuk mengaibkan pegawai kerajaan," kata Mahfuz.

Sebelum ini, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab (kiri) pula terpaksa mengambil cuti belajar selama sembilan bulan kerana membantah pelantikan Isa.

Adalah difahamkan juga kedua-dua pegawai kanan Felda itu juga membantah cadangan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Tuesday, March 13, 2012

Ringkasan Belanjawan PR 2012

1. Kesejahteraan Untuk Semua

Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.

Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai apabila mempunyai iltizam politik membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara serta dipandu oleh prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik. Kepelbagaian Malaysia merupakan kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira gender, etnik dan agama.

Hanya melalui belanjawan yang responsif kepada gender dan berdasarkan agenda memperkukuh rakyat biasa untuk hidup dengan penuh rasa hormat serta punyai segala peluang akan membolehkan mereka menggunakan segala potensi yang ada dengan penuh semangat. Mengakui tekanan inflasi terhadap rakyat Malaysia. Belanjawan Kesejahteraan 2012 berhasrat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua melalui dasar dan kerangka yang bertujuan meningkatkan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.

Pengenalan gaji minima, mengurangkan jumlah pekerja asing tidak terlatih, meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara besar-besaran akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Keutamaan adalah memberi perhatian khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, maka gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.

Mempertingkatkan keupayaan pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin tinggi. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan memberi kesan baik kepada perbelanjaan tempatan; sesuatu yang penting dalam persekitaran global yang semakin tidak stabil.
Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia untuk mengurangkan kos. Persaingan akan mengurangkan tekanan inflasi dan menjana lebih banyak pilihan kepada rakyat.

2. Negara Kaya, Rakyat Miskin?

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber. Tetapi bagaimana keuntungan dari sumber alam semulajadi yang banyak dapat diagihkan kepada rakyat Malaysia? Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang sepatutnya. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan manakala kumpulan pertengahan yang juga meliputi 40 peratus menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.

Secara keseluruhan 80 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan. Dari segi kelayakan, sesuatu yang memeranjatkan, 70 peratus penduduk hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi manakala dari segi pekerjaan lebih satu pertiga ketua keluarga dalam sektor tidak rasmi. Ia sesuatu yang tidak memeranjatkan dalam ketidaksamaan pendapatan di Malaysia adalah tinggi di mana kumpulan 40 peratus dibawah hanya menikmati pendapatan 15 peratus manakala kumpulan 20 peratus diatas menikmati pendapatan 49 peratus.

Gejala sebuah negara yang terperangkap dengan kelembapan ternyata wujud di Malaysia berikutan dasar yang telah ketinggalan zaman dan pengurusan ekonomi yang lemah hanya mengutamakan sekumpulan individu.
Pada masa ini, apa yang kita lihat,

i) ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat yang tidak mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.
ii) jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi dan pada yang sama wujud rungutan majikan mengenai kekurangan kemahiran dan bakat.
iii) perbelanjaan subsidi yang telah melambung naik 10 kali ganda.
iv) pelaburan tempatan dan asing adalah kurang menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar.
Perkara ini tidak membantu apabila pada masa yang sama ekonomi global yang memasuki satu lagi fasa gelora. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertubuhan adalah terhad. Eksport ke negara-negara barat bukan lagi sumber pertumbuhan untuk Asia. Kita perlu mencari sumber baru yang akan memberikan kelebihan.

Belanjawan Kesejahteraan 2012

Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, peluang dan harga diri untuk seluruh rakyat Malaysia berteraskan kerangka kewangan dan lingkungan yang mampan. Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha membangun rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ianya bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan akan tetapi demi memperkukuh keusahawanan, produktiviti dan kerja yang baik.

3. Perbelanjaan Berhemah

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM 220 billion untuk belanjawan 2012 namun akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% pada tahun 2011. Perbezaan itu bersamaan dengan RM 14 billion.
Pendapatan boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan disalurkan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan lebihan sekitar RM 1.2 billion sekiranya berjaya menaikkan harga Permit Import (AP).
Menumpukan usaha memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Ini pastinya berjaya meransang lebih dari 20% keuntungan buat rakyat bersamaan dengan jumlah yang sama dibelanjakan. Sebagai contoh Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:
Perkukuh pendidikan. Keseluruhan guru bakal menikmati elaun khas mengajar sejumlah RM 500 sebagaimana yang dijanjikan Buku Jingga.
Gaji minima yang memberi keuntungan buat 300 000 penjawat awam dan kenaikan keseluruhan skala gaji penjawat awam.
Formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan mendesak dividen yang besar jumlahnya dari Petronas. Sungguhpun harga petroleum kini lebih tinggi, dividen untuk 2012 hanya sekitar RM 26 billion, lebih rendah berbanding untuk tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.

4. Meningkatan Pendapatan

Pakatan Rakyat akan mengutamakan polisi yang inisiatifnya menumpukan untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja.
Gaji adalah rendah di Malaysia. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji rendah ini menyebabkan:
* Bekalan yang banyak untuk tenaga kerja asing tidak terlatih.
* Kekurangan tenaga kerja terlatih.
* Penghalang kepada syarikat swasta untuk meningkatkan produktiviti.
Mengakui bahawa gaji hanya boleh tumbuh secara mampan dengan peningkatan produktiviti, tetapi ia juga adalah satu realiti bahawa mekanisma penentuan gaji tidak berfungsi. Pakatan Rakyat mencadangkan iaitu:
- Gaji minima adalah gaji dasar yang dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji berperikemanusiaan dan akibat langsung daripada ini, pekerja-pekerja lain akan turut menikmati peningkatan gaji.
- RM 2 bilion akan diperuntukkan untuk sebuah Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru.
- RM 1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkat kepakaran tenaga kerja.
- 10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama, serta RM 200 juta akan diberikan dengan serta merta untuk memperbaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).

5. Menamatkan monopoli

Pakatan Rakyat akan membawa masuk suatu era baru dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) serta pelaburan.
- Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan dan bukan mereka yang mempunyai kenalan dalam kerajaan.
- Langkah-langkah sokongan bagi golongan bumiputera dan mereka yang kurang bernasib baik akan menumpukan perhatian untuk menambah daya saing golongan-golongan ini melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan.
- Suatu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil kepada kepentingan umum.
- Mengembalikan tahap profesionalisme dan kemuliaan perkhidmatan awam agar mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, dari individu ke peniaga kecil hinggalah ke pelabur besar.
- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan.
- Akta Persaingan 2010 akan diperluas ke semua sektor ekonomi, termasuk syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga.
- Monopoli-monopoli berikut (bukan menyeluruh) yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula pada tahun 2012:
➢ Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke atas import beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus;
➢ Telekom Malaysia (TM) akan diarah melepaskan genggaman ke atas pasaran "jarak terakhir" ("last mile") perkhidmatan internet jalur lebar dan fokus kepada perniagaan asas - data dan telefoni - lalu melahirkan pasaran "jarak terakhir" yang tegap dan berdaya saing. Ini akan mengurangkan kos dan menambahkan tahap penembusan internet jalur lebar;
➢ Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan;
➢ Kartel akhbar dan media akan dihapuskan;
➢ Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan;
➢ Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan;
➢ Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi.

6. Mempertahan Martabat di Waktu Susah

Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kegusaran di hati rakyat untuk hidup bermaruah tatkala menghadapi tuntutan kehidupan seharian sebelum dasar-dasar untuk meningkatkan pendapatan membuahkan hasil.
- Langkah-langkah berikut dicadangkan diambil:
➢ Bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas di Malaysia;
➢ Bayaran RM1,000 di tahun 2012 untuk warga suri rumah yang layak;
➢ Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegar kepada RM550 sebulan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menambah bayaran kebajikan terus sebanyak RM550 sebulan untuk memastikan penjajaran dengan bantuan kepada golongan miskin tegar; dan
➢ Elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak berkelulusan melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai. Pakatan Rakyat ingin melihat peningkatan kadar penyertaan buruh di kalangan wanita dari 46 peratus ke 55 peratus dalam masa lima tahun. Dasar-dasar lain untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, melalui latihan dan peningkatan kebolehlenturan waktu bekerja, akan dibincangkan.
Bergantung kepada peningkatan pendapatan rakyat, subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM 22 bilion. Dasar-dasar subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak untuk merasionalisasikan perbelanjaan kerajaan:
➢ subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan;
➢ subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk mendatangkan kebaikan terus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang memerlukan.

7. Mengurangkan Jurang Bandar-Luar Bandar

Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar.
Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran
Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.
RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk pertingkat tahap kebersihan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.

8. Meningkatkan Kualiti Kehidupan

Pakatan Rakyat akan memperjuangkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.
- Pasukan polis akan difokuskan semula kepada pencegahan jenayah dan meningkatkan keselamatan awam;
- Dasar "Bina dan Jual" ("Build then Sell") untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan diwujudkan, untuk menjaga keselamatan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan ke RM 1 bilion.
- Dasar Pengangkutan Nasional akan mengutamakan pengangkutan awam dengan mengetengahkan prinsip "gerakkan rakyat, bukan kereta". Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan.
- Mempertingkat penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, efisyen, dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah, dan kepada industri dengan meningkatkan produktiviti dan keberuntungan.

9. Mereformasi Landskap Politik

Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan prinsip dan pelaksanaan persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dimana negeri-negeri akan diberikan lebih banyak kuasa melalui perkongsian kuasa dan pengagihan sumber. Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan refomasi berikut:
• Memansuhkan semua perintah darurat dan menghapuskan semua undang-undang yang membabitkan tahanan tanpa perbicaran seperti yang terkandung di dalam Akta Pemansuhan Darurat yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat pada sesi Parlimen Mac 2011.
• Menstruktur semula Biro Pengaduan Awam menjadi sebuah institusi Ombudsman.
• Meletakkan beberapa institusi awam utama seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Perangkaan, Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan institusi Obudsman dibawah bidang kuasa Parlimen.
• Untuk memastikan kebebasan media dengan menghapuskan keperluan permit dengan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Selaras dengan itu akan ditubuhkan Majlis Media yang bebas dan kawalan sendiri.
• Memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971,oleh itu membebaskan pelajar-pelajar daripadan cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan kepimpinan universiti-universiti awam akan berdasarkan kepada merit.
• Memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat pada setiap peringkat kerajaan dengan dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan. Ini akan memastikan akses kepada maklumat yang menjadi kepentingan awam, terkecuali ialah perkara-perkara yang secara tulen berkait dengan keselamatan negara.
Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuh Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri sebagai diktator:
- RM 10 bilion dari belanjawan budi bicara Perdana Menteri akan disalur keluar kepada Kementerian-Kementerian berkenaan.
- Cadangan-cadangan perbelanjaan akan diteliti dengan rapi di peringkat jawatankuasa parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti.
- Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti implementasi dan hasil daripada perbelanjaan tersebut.

10. Anak Muda Mendepani Perubahan

- Bergantung kepada kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digantikan dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti. RM 747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini.
- Sejumlah RM 100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian.
- RM 50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan datang ini tidak akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Rakyat Malaysia, sebagai majikan dan pekerja, sebagai suri rumah, sebagai pengasuh dan mahasiswa, dan yang paling utama sebagai warga negara mesti memainkan peranan sama ada secara individu mahupun bersama, dalam menjayakan agenda yang berani ini demi menggerakkan Malaysia ke hadapan, menuju masa depan yang lebih cerah buat semua.

Thursday, February 23, 2012

Hubungan Israel: Khairy sasar serangan pada Mahathir

KUALA LUMPUR 23 Feb: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin cuba menyalahkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan hubungan dagang antara kerajaan Malaysia dan Israel.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengulas pengakuan Khairy bahawa kerajaan telah menjalinkan hubungan dengan Israel sejak 1996, kononny ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana menteri.

Menurut Shamsul, mustahil Khairy mampu menafikan hakikat bahawa Mahathir merupakan perdana menteri yang lebih berkuasa ketika itu, berbanding Anwar yang merupakan timbalan beliau.

“Dengan mengatakan hubungan dagang dengan Israel bermula pada tahun 1996, Khairy meletakkan Mahathir dalam keadaan ‘defensive’ kerana Mahathir merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.

“Khairy seolah-olah mensasarkan serangan kepada Tun Mahathir, yang selama ini cuba menonjolkan imej anti-Israel dan vokal dalam mempertahankan Palestin, tapi pada masa sama membuat hubungan dengan Israel,” kata Shamsul.

Shamsul berkata, jika benar dakwaan Khairy, beliau mempersoalkan mengapa hubungan dagang dengan Israel itu diteruskan, meskipun Anwar dipecat dari jawatannya dalam kerajaan pada 1998.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke 15 negara terbesar di dunia yang berurusan dengan rejim zionis dari segi hubungan dagangan.

“Sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf negara Israel, tidak sepatutnya wujud sebarang hubungan dengan syarikat mereka, seperti APCO yang mendapat bayaran RM77 juta setahun oleh kerajaan,” kata Shamsul.

Kapal kargo Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang

Mengulas isu yang sama, Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri berkata, setiap perubahan dasar membabitkan hubungan dengan Israel, semestinya diluluskan di dalam mesyuarat kabinet.

“Semua orang tahu bahawa Tun Mahathir yang mempengerusikan mesyuarat kabinet pada tahun itu (1996),” ujar Azmizam.

“Kerajaan Umno-BN selama ini mendakwa mereka anti-Israel, sebaliknya menuduh Datuk Seri Anwar pula sebagai agen Zionis,” katanya lagi.

Tanpa diplomatik, bagaimana wujud hubungan dagang Israel?

KUALA LUMPUR 23 Feb: NGO Jingga 13, membidas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa Malaysia tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai hipokrit, Penyelaras Jingga 13, Fariz Musa mempersoalkan bagaimana kapal berkenaan dibenar memasuki Malaysia, jika tiada sebarang hubungan diplomatik.

“Bagaimana urus niaga dan dagangan besar melalui syarikat perkapalan milik Israel sewenangnya menjalankan eksport dan import tanpa interaksi dua negara,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kenyataan Mukhriz bahawa kapal Israel berlabuh di Malaysia untuk tujuan perdagangan dengan syarat anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang mendarat, Fariz berkata itu bukan isu utama.

“Isunya ialah wujud hubungan dagang Malaysia-Israel,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau mendesak Muhkriz mendedahkan polisi kerajaan yang membenarkan syarikat Israel berdagang ke Malaysia.

“Kuasa menentukan kehadiran kapal-kapal serta urusan perdagangan dan perniagaan dengan Israel itu adalah di bawah Kerajaan Umno-BN.

Kerajaan Israel memegang 98 peratus saham dalam Zim Integrated Shipping Ltd

“Kerajaan Umno-BN adalah menentu samada membenar atau tidak membenarkan kapal-kapal itu ke semua pelabuhan termasuk di Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Kenyataan Mukhriz juga katanya bertentangan dengan pengurusan Westports, Pelabuhan Klang yang menyatakan kehadiran kapal berkenaan hanya untuk ‘singgah’ ke pelabuhan itu.

“Satu kenyataan melucukan kerana JINGGA 13 mempunyai dokumen yang disahkan Kastam DiRaja Malaysia, di mana wujud aktiviti mengeksport kayu balak menggunakan kapal-kapal Israel pada 16 Februari.

“Kami menyaksi bagaimana kontena -kontena ZIM turun dan dinaikkan ke kapal-kapal milik Zim Integrated Shipping Ltd.

“Malah lebih menyedihkan, ia berlayar terus dari Haifa, Israel ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Wednesday, February 22, 2012

Kubu Umno di Felda Palong 6 mula retak

Usaha PKR cuba menembusi skim Felda Palong di Negeri Sembilan sejak enam bulan lalu mula membuahkan hasil.

NONEJika jumlah hadirin yang menghadiri ceramah ketua umum PKR Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalannya Azmin Ali dan ketua sayap Wanita Zuraida Kamaruddin dijadikan ukuran, nyata sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat.

PKR dikatakan berjaya menambat hati peneroka terutamanya dengan memperjuangkan kepentingan mereka dan membela golongan itu berhubung tindakan undang-undang yang difailkan terhadap Felda.

Malam tadi, giliran PKR presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi menggempur kubu Umno itu. Bertempat di Felda Palong 6, satu antara 6 yang membentuk kelompok dalam skim Felda tersebut, beliau berucap kepada ratusan hadirin.

NONEWan Azizah juga menyaksikan penubuhan cawangan PKR di Felda Palong 7 dan 8, serta menerima borang keahlian dari 50 orang.

Antara yang tidak dijangkakan adalah sambutan hangat yang diterima dari jawatankuasa masjid Felda Palong 5 - yang ahlinya sebelum ini terdiri daripada penyokong Umno - mereka turut menyertai majlis doa kesyukuran khas sempena pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat pada 9 Jan lalu.

Salah urus

Wan Azizah pada ucapannya, sekali lagi menegaskan bahawa ketidakadilan dan serangan bertali arus dilakukan oleh Umno terhadap Anwar.

"Terdapat lebih penting isu yang dibelenggui Malaysia, seperti salah urus wang negara dan skandal mencecah jutaan ringgit yang membabitkan Perbadanan Fidlot Negara dan salah guna dana zakat...

NONE"Namun Umno adalah lebih cenderung mencela Anwar setiap malam.

“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli seperti minyak mentah. Kita perlu meningkatkan taraf hidup rakyat dan tahap pendidikan mereka," katanya.

Felda Palong terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Palong dan kini diwakili oleh ahli politik Umno, Datuk Aziz Samsuddin.

Kerusi DUN itu terletak dalam parlimen Jempol yang dipegang oleh Lilah Yasin.

Dua tahun lalu, apabila Anwar melawat Felda Palong 10, kira-kira 70 orang - termasuk jawatankuasa penganjur - hadir untuk mendengar beliau berucap.

NONENamun pada November lalu, tidak kurang 2,000 orang hadir di Felda Palong 6 untuk mengikuti ceramah oleh Ketua Pembangkang itu. Pada majlis itu, 412 peneroka menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PKR.

Felda Palong 6 kini mempunyai bilangan terbesar ahli PKR dalam kerusi DUN Palong.