PKR Johor terkejut dengan tindakan kerajaan negeri meminta
pertolongan kerajaan Singapura untuk menambah bekalan air terawat
sebanyak 6 juta gelen sehari sejak Sabtu lalu.
Sedangkan berdasarkan Perjanjian Air Malaysia-Singapura 1962,
kerajaan Malaysia melalui Johor perlu membekalkan 250 juta gelan air
mentah sehari ke republik itu setiap hari.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah berkata ia jelas menunjukkan
kelemahan sistem pengurusan air Johor dan loji rawatan air yang tidak
mencukupi untuk memproses air terawat serta menampung bekalan air
penduduk.
"Bukan sahaja rakyat Johor terpaksa membayar tarif air yang paling
tinggi di Malaysia iaitu RM1.31 setiap meter padu malah kami juga sering
menghadapi isu kekurangan air sehingga sebahagian rakyat di Selatan dan
Timur Johor telah mengalami catuan air pada tahun lepas," katanya.
Justeru katanya, PKR memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu dalam jangka masa panjang.
Antaranya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
bagi menubuhkan satu pusat khusus iaitu Pusat Pengurusan Bekalan Air dan
Pengawalan Sumber Air dengan segera.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu mencari sumber
alternatif seperti air bawah tanah dan memperketatkan penguatkuasaan
undang-undang sedia ada bagi mencegah pencerobohan dan pencemaran
kawasan tadahan air.
"Kerajaan Johor patut mengaku kelemahan sendiri dalam bidang
pengurusan air dan perlu mencontohi negara jiran Singapura, Belanda dan
Arab Saudi yang jauh lebih ke depan dan berilmu dalam bidang Pengurusan
Air dan Pencarian Sumber Air," katanya yang juga Adun Bukit Batu.
Selasa lalu, kerajaan Johor mengalu-alukan keputusan Singapura
menyalurkan bekalan air bersih tambahan sebanyak enam juta gelen sehari
selama sebulan kepada negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagaimanapun
bantuan itu tidak akan membuat kerajaan negeri berhenti dan berusaha
mencari sumber air baru dan alternatif lain.
Beliau dilapor berkata, kerajaan negeri juga melihat langkah
Singapura memberi bantuan itu adalah tindakan baik sebagai jiran kepada
Johor.
No comments:
Post a Comment