Monday, September 29, 2008

Parti Keadilan Rakyat adalah parti masa depan!

oleh Mustafa Kamal Abd Rahman

Felda Bukit Rokan Utara-"Parti Keadilan Rakyat adalah parti masa depan bagi rakyat Malaysia" kata Dato' Kamarul Baharin Abbas dalam ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Tampin semalam.

Jelas beliau lagi, jika PKR menjadi parti memerintah, hak-hak istimewa kaum Melayu tetap akan terjaga dan dilindungi kerana ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia walaupun parti ini merupakan parti pelbagai kaum. Kesemua kaum disatukan dalam satu landasan melalui perlembagaan parti yang tidak dipisahkan berdasarkan agama dan ras kaum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang memerangkap Pengerusi Perhubungan Negeri meletakkan harapan supaya Bahagian Tampin tidak ketinggalan dan terus bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan gerak kerja bagi kekuatan parti di Tampin keseluruhannya.

Atas faktor kekurangan jentera yang kuat di Tampin pada Pilihanraya Umum 2008 lalu, PKR Negeri Sembilan tidak dapat meletakkan calon untuk bertanding. Namun begitu, beliau yakin gerak kerja yang jitu bermula dari sekarang akan mengukuhkan kekuatan PKR di Tampin bagi menghadapi PRU akan datang.

Dato' Kamarul turut mengimbas kembali sejarah perjuangan parti sejak 10 tahun lalu. Jelas beliau, PKR bukanlah parti serpihan. Pada tahun 2004 lalu ramai yang beranggapan PKR akan berkubur seperti Parti Melayu Semangat 46. Namun begitu, melalui kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memacu kekuatan semula PKR. Ini telah terbukti melalui keputusan PRU 2008 apabila PKR menjadi parti pembangkang utama dengan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

Sokongan rakyat kepada PKR telah dibuktikan melalui PRU 2008 lalu. Beliau turut menyatakan PKR bakal menjadi memerintah dan peralihan kerajaan Persekutuan akan tetap berlaku. Tambah beliau, PKR akan memastikan keadilan kepada rakyat untuk membawa harapan baru.

MATB Tampin semalam turut dihadiri oleh Setiausaha Perhubungan Negeri, Sabaruddin Mohd Yassim sebagai pemerhati, Pengerusi Tetap Bahagian Rasah, Salimin Kamjan dan Ketua Bahagian Rasah, Haji Muhammad Kamel Yassin sebagai pemantau.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua AJK Bahagian yang diketuai oleh Kapten (B) Zolkapli Kassim, berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kekecohan dan berakhir jam 6.00 petang.

Gerakan pertimbang keluar BN


dipetik dari Malaysiakini.com
Sep 28, 08 10:19pm

Gerakan menimbang untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat, kata pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Dua lagi pilihan dalam pertimbangan parti itu termasuklah kekal bersama BN atau keluar dan menjadi sebuah parti bebas tanpa sebarang pakatan, katanya seperti dilaporkan laman web The Star.

Tambahnya, kemungkinan meninggalkan BN dan menyertai Pakatan tergantung pada situasi politik saat ini.

"Kita tidak menutup sebarang kemungkinan," Koh dipetik sebagai berkata selepas merasmikan konvensyen tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sentimen 60 peratus ahli-ahli mahukan Gerakan meninggalkan BN, bagaimanapun keputusan itu harus mengambil kira pelbagai faktor dan bukan sentimen semata-mata.

Mengulas 20 anggota Gerakan Wilayah Persekutuan termasuk bekas ketua penerangannya Gan Kok Keng dan bekas ketua bahagian Setiawangsa Li Tiam Chai yang menyertai PKR, Koh berkata beliau terperanjat dengan keputusan mendadak itu.

Minggu lepas, tambah tambahnya, Li masih tidak menunjukkan sebarang tanda tidak senang dengan Gerakan.

Di sidang media yang sama, Koh menawarkan diri untuk jawatan presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih, lapor Bernama.

"Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya, iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya.

Baru-baru ini Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan keluar BN selepas beberapa bulan berusaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri, yang juga pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Terus Sampaikan Bantuan Walaupun Diugut!!!

oleh Chegubard

Nampaknya Umno tidak pernah mahu berubah, malah makin parah kejahatanya ! Bermula sebulan lalu YB ADUN umno Chembong telah menghubungi pemilik rumah kedai tempat keADILan Rembau menyewa ruang Pusat Khidmat Rakyat. Beliau melahirkan rasa kurang senang kepada pemilik rumah kedai tersebut kerana menyewakan kepada keADILan. Malah ada orang Umno Rembau yang menawarkan kepada pemilik rumah kedai tersebut bayaran yang lebih tinggi dari apa yang kami bayar asalkan Pusat Khidmat Rakyat tersebut boleh ditutup.

Tidak tahan dengan perbagai aktiviti yang mendapat liputan akhbar harian tempatan ada ahli politik setempat juga telah menghubungi beberapa wartawan akbar tersebut untuk memberikan 'amaran lembut' agar jangan beri ruang sangat kepada kami.

Alhamdunillah bulan Ramadhan ini keADILan Rembau melalui Tabung Jejak Fakir berjaya mengumpulkan beberapa ribu wang derma dan zakat untuk kami agihkan kepada golongan asnaf dan yang memerlukan. Sememangnya di Rembau sendiri banyak golongan yang memerlukan. Tabung Jejak Fakir juga telah membantu bukan sahaja di Rembau tetapi hampir seluruh Negeri Sembilan malah sehingga ke golongan miskin di Utara Semenanjung, Gelang Patah, Johor dan bantuan juga teragih sampai ke Sarawak.

Ini mungkin sedikit merimaskan Umno Rembau. Rumah Anak Yatim yang kami salurkan sedikit bantuan dihubungi oleh ADUN Chembong bertanyakan 'Kenapa bekerjasama dan terima bantuan keADILan?'..... Beberapa teman wanita Umno yang turut membantu kami mengesan golongan miskin, anak yatim dan warga emas juga turut menerima padah apabila diberi amaran dan mula disisihkan oleh Umno.

Alangkah buruknya cara berpolitik sebegini...?

Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan terpaksa mengumumkan akan melantik Pegawai Khas di setiap Daerah untuk mengenal pasti golongan miskin. Ini juga pembaziran kenapa perlu di bazirkan wang rakyat untuk membayar gaji dan pencen lantikan pegawai yang tidak perlu. Masalahnya bukan mengesan tetapi agihan bantuan secara pilih bulu dan ketirisan dalam agihan.

Contohnya Abdullah Badawi, Perdana Menteri datang ke Negeri Sembilan sampaikan cek agihan zakat yang dikutip Majlis Agama Islam Negeri Sembilan kepada semua wakil rakyat BN sahaja. Dilaporkan media gambar ADUN KOTA, Rembau menerima replika cek sebesar pintu bernilai lebih RM100,000. Malangnya bagaimana dengan fakir miskin yang turut berada dalam DUN yang diwakili PAKATAN seperti Paroi, Ampangan ataupun Sikamat ? Hari ini sekali lagi SINAR HARIAN melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan berbuka puasa di Kota bersama 500 orang dan menyampaikan lagi wang zakat kepada ADUN KOTA dengan jumlah wang lebih RM166,000. Ini sudah melampau.... acara yang dipenuhi bendera Umno ambil wang zakat yang dibayar kepada kerajaan Negeri.

Pengarah Majlis Agama ataupun Mufti Negeri Sembilan perlu menjelaskan perkara ini, jika tidak che'GuBard menyeru supaya umat Islam di Negeri Sembilan memboikot dari membayar zakat di Negeri Sembilan. Wang zakat juga terguna untuk anjur program Umno...?

Pembayar zakat atas nama Kerajaan bukan Umno...yang bayar zakat juga ada bukan penyokong Umno.... Ada persoalan cheGuBard juga guna lambang parti.... jawapanya ialah cheGuBard terang terang kumpulkan wang sedekah, derma dan zakat dari teman - teman atas nama parti...malah ada penyumbang yang minta resit kami beri resit parti... tetapi di Majlis Agama mereka tidak berani beri resit Umno.

Walaupun apa ugutan dan tekanan yang diberikan InsyaAllah kami tidak akan gentar cuma sedikit kesian dengan teman dari Umno ada yang ikhlas bantu kesan golongan memerlukan yang tidak dibantu Umno (kerana tak glamor mungkin) telah diberikan tekanan.

Hari ini seawal jam 10 pagi, telah menjelajah sekitar DUN Chembong naik ke rumah golongan yang memerlukan ini. Ada yang menitiskan air mata kerana terharu dengan kehadiran kami...

Tuesday, September 23, 2008

Keadilan Rembau bersama Persatuan Ibunita Rembau serah sumbangan pada ibu-ibu tunggal Rembau




Parti Keadilan Rakyat Rembau bersama-sama dengan Persatuan Ibunita Rembau yang diketuai oleh Pn Hajah Hafsah telah menyampaikan sumbangan sempena Program Jejak Faqir.

Dalam Program ini, skuad khidmat masyarakat Rembau yang turut disertai oleh Ketua Bahagian Rembau, Sdr Badrul Hisham Shaharin dan jawatankuasa telah berjaya menyerahkan bantuan kepada 8 orang ibu tunggal di sekitar Kampung seberang Batu Hampar, Rembau.

Program bantuan ini dihantar terus ke rumah ibu-ibu tunggal disamping mendengar masalah-masalah yang mereka hadapi. Rata-ratanya telah menyatakan kekesalan kerana ADUN kawasan itu tidak turun melawat dan meminggirkan mereka.

Ada diantara mereka yang hidup sebatang kara dan bakal menyambut Aidilfitri tanpa sesiapa di sisi. Ada juga diantara mereka yang menhidap parkinson serta mengharapkan sumbangan orang ramai untuk meneruskan kehidupan

KENYATAAN MEDIA PARTI KEADILAN RAKYAT BAHAGIAN KUALA PILAH


TARIKH : 18HB. SEPTEMBER 2008


1. Merujuk kepada laporan Buletin Utama TV 3 Jam 8.00 malam bertarikh 16hb. September 2008 dan Berita Harian bertarikh 17hb. September 2008 berhubung dengan kenyataan YB Ahli Parlimen Kuala Pilah YB Hasan Malek yang berbunyi:-


i. Beliau didatangi oleh wakil pembangkang yang menawarkannya menyertai Pakatan Pembangkang dengan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.


ii. Timbalan Ketua UMNO Kuala Pilah itu telah didatangi duta kecil telah menghubungi dan bertemu beliau sehingga lima ke enam kali bagi memujuk beliau menyertai Pembangkang, dengan janji berkali ganda lebih baik berbanding apa yang beliau perolehi sekarang.


iii. Beliau menolak tawaran tersebut kerana beliau ada maruah dan kedudukan sebagai Ahli Parlimen bukan jawatan boleh dijual beli. Tawaran tersebut adalah tindakan terdesak dan tidak bermoral.


iv. Tindakan Pembangkang mendabik dada kononnya mahu jadi kerajaan kelas pertama menentang segala unsur rasuah.


Susulan daripada kenyataan beliau tersebut, duta kecil yang dimaksudkan beliau itu telah dipanggil untuk memberi keterangan oleh Badan Pencegah Rasuah di Seremban pada 17hb. September 2008, dan duta kecil yang dimaksudkan itu juga adalah merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Kuala Pilah.


2. BERIKUT ADALAH KENYATAAN RASMI PKR BAHAGIAN KUALA PILAH BERHUBUNG DENGAN KENYATAAN YB HASAN MALIK TERSEBUT :-
Atas kepercayaan kepada konsep kejujuran, keikhlasan dan ketelusan dalam agenda Perjuangan Rakyat, merasuah, menyogok serta menjanjikan pangkat kepada seseorang bukanlah amalan kami. Oleh yang demikian:-


i. Kami menafikan pernah melantik agen atau wakil atau duta kecil seperti yang didakwa dan juga menafikan pernah menawarkan YB Hasan Malek sejumlah wang dan kedudukan dalam Kerajaan kepada beliau, kenyataan itu adalah semata-mata pembohongan beliau yang cuba mencari polulariti murah dalam keadaan UMNO yang sangat lemah dan kucar kacir dan dalam kekuatan rakyat mendesak agar terbentuk sebuah kerajaan baru pimpinan Pakatan Rakyat.


ii. Parti Keadilan Rakyat Pusat, Perhubungan Negeri dan Bahagian tidak pernah melantik secara khusus apa yang dinamakan YB Hasan Malek sebagai Duta Kecil kepada sesiapa untuk memujuk beliau bagi menyertai PKR ataupun Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Baru, malah bagi melaksanakan agenda perubahan tersebut Pimpinan PKR telah menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia termasuklah YB Hasan Malek untuk bersama-sama membina Malaysia Baru yang menjamin kesejahteraan Rakyat tanpa mengira kaum.


iii. Sekiranya YB Hasan Malek mempunyai maruah dan mempunyai kedudukan sebagai Timbalan Menteri dalam Kerajaan seperti yang dibanggakannya, beliau pasti tidak akan membuat pembohongan melulu dan penganiayaan kepada duta kecil yang dimaksudkan tersebut. Malah beliau sendiri tidak bertanggungjawab keatas rakyat yang diwakilinya di Kuala Pilah kerana banyak perkara yang tidak mampu beliau suarakan di Parlimen, dakwaan tidak bermoral yang ditujukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu adalah terkena kepada beliau sendiri.


iv. PKR tidak mendabik dada dengan angkuh dan sombong, tetapi bersungguh-sungguh dengan perasaan insaf dan sedar untuk membentuk dan menjadi sebuah Kerajaan kelas pertama atau The Good Governance yang akan dihormati oleh semua pihak.


3. Kami menyimpulkan, kenyataan YB Hasan Malek itu sebagai “melahirkan rasa bimbang,cemas dan gelisah beliau bahkan seluruh Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional terhadap gelombang Peralihan Kuasa Kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat dan kenyataan beliau itu juga melambangkan kecelaruan fikiran yang berlaku dalam Parti tersebut.”


Terima kasih.


Hazman Hashim
Setiausaha
Parti Keadilan Rakyat Bahgian Kuala Pilah.

Thursday, September 18, 2008

Perubahan Kerajaan Kian Hampir!

Atas beberapa masalah teknikal dalam tempoh terdekat ini, blog ini agak ketinggalan untuk dikemaskini.

Perubahan menuju pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baru kian menghampiri waktunya walaupun media-media kawalan BN giat mempersendakan dan mencanangkan DSAI sebagai pembohong.

Kegusaran kian jelas terpampang melalui tindak-balas kerajaan BN yang telah menjalankan beberapa langkah yang tergesa-gesa. Dalam keadaan yang sebenarnya berpihak kepada Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia seharusnya tidak terlepas perhatian daripada isu pembentukan kerajaan PR. Isu-isu yang cuba dicetuskan oleh BN adalah sengaja untuk menghilangkan tumpuan rakyat kepada KEBENARAN usaha PR menjadi pemerintah baru bagi kerajaan Persekutuan Malaysia.

Monday, September 8, 2008

Mahkamah batal kemenangan Joseph Kurup

dipetik daripada Suara Keadilan Online.
Isnin, 8 September 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Nasional
Oleh Syafiq Sunny

KOTA KINABALU, 7 SEPTEMBER (SK) - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Joseph Kurup bagi kerusi P182 Persiangan.
Pada pilihanraya Mac lepas, Joseph yang juga Timbalan Menteri Kemajan Luar Bandar dan Wilayah, memenangi kerusi itu tanpa bertanding.

25 Julai lalu, Mahkamah Pilihanraya Sabah telah menolak bantahan awal oleh Joseph bagi membatalkan petisyen KeADILan terhadap keputusan pilihanraya bagi Parlimen berkenaan.
Calon KeADILan, Danny Anthony Andipai telah memfailkan petisyen KeADILan terhadap keputusan pilihanraya bagi Parlimen Pensiangan dan mahukan mahkamah membatalkan kemenangan calon BN, Joseph Kurup, 9 April lepas.

Joseph dinamakan sebagai responden pertama, manakala responden kedua ialah Pegawai Pengurus SPR, Bubudan OT Majalu.

Pada pilihanraya ke 12, Joseph diistiharkan menang tanpa bertanding selepas Anthony didakwa mengemukakan borang pencalonannya selepas waktu yang ditetapkan ketika penamaan calon 24 Februari lepas.

Ketika memberitahu Suara Keadilan Anthony berkata beliau telah menyerah borang pencalonan pada waktu yang ditetapkan, walaubagaimanapun Pegawai Pengurus SPR, Bududan sibuk menghabiskan masa untuk calon lain menyebabkan beliau tidak berpeluang mengemukan borang sehingga percalonan ditutup pada jam 9.55 pagi.

Parlimen Persingan mempunyai 19,712 sebelum pilihanraya lepas diwakili oleh Bernard S.Maraat yang menang dengan majoriti 608 menewaskan calon bebas, Matin Tomy@Tommy.

Friday, September 5, 2008

Mesyuarat Agung Penubuhan Bahagian Rembau

Setelah menunggu tiga tahun lebih, akhirnya pada 16 Jun 2008 Bahagian Rembau telah mendapat kelulusan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan Negeri Sembilan.

Pada Ahad ini, 7hb. September 2008 Bahagian Rembau akan mengadakan Mesyuarat Agung Penubuhan Bahagian (MAPB) jam 2.30 petang di Pusat Khidmat Rakyat, No. 390, Taman Seri Rembau, Rembau, Negeri Sembilan.

Perasmian MAPB Rembau ini akan disempurnakan oleh Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Dato' Kamarul Baharin Abbas. Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Sembilan turut dijemput hadir ke majlis perasmian ini.

MAPB Rembau ini juga akan berlangsung pemilihan untuk jawatankuasa bahagian. Semoga pemilihan tersebut akan berjalan dengan lancar tanpa ada berlaku sebarang kemungkinan yang bakal mengganggu perjalanan majlis.

Selepas MAPB, akan dijadualkan juga majlis penyampian bantuan fakir miskin dan agihan bubur lambuk serta berbuka puasa.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan berkenaan MATB & lain-lain acara berkaitan, sila hubungi:
Ketua Penaja Rembau, Radzali Ghani (013-341 8171)
atau
Norazizi Aziz (012-369 6474)

Dr Osman tampil pertahan laporan kes liwat Anwar

dipetik daripada Malaysiakini.com
Beh Lih Yi Sep 4, 08 12:21pm

Dr Mohd Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, muncul hari ini untuk mempertahankan hasil pemeriksaannya yang tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Mohd Saiful telah diliwat.Dr Osman telah mengambil cuti lebih sebulan lalu selepas kebocoran laporan perubatannya ke atas Saiful itu, pada 28 Julai lalu.

Doktor tersebut, yang ditemani peguamnya - M Puravelan dan Yusri Kamaruddin - mengadakan sidang akhbar di Majlis Peguam pada jam 12 tengahari ini.Beliau mengesahkan bahawa akuan berkanunnya, yang disiarkan oleh Malaysia Today memang ditandatanganinya.

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya akan sentiasa bercakap benar," kata Dr Osman yang kelihatan agak gementar.

Dalam akuan bersumpahnya, Dr Osman mempertahankan laporan perubatannya itu di mana beliau tidak menemui sebarang kesan liwat selepas memeriksa dubur Saiful.Saiful telah mendakwa dia telah diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu.

Anwar kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan tersebut beberapa minggu kemudiannya.Dr Osman berkata, beliau mengadakan sidang akhbar hari ini untuk membersihkan namanya.

Beliau yang membaca kenyataannya berkata, beliau mengambil cuti kerana beliau merasa tertekan ekoran siasatan polis terhadap pemeriksaan perubatannya ke atas Saiful.

Dr Osman juga berkata, beliau tidak tahu bagaimana laporan perubatannya ke atas Saiful diketahui umum.Ditanya sama ada beliau masih lagi berkhidmat dengan Pusrawi, Dr Osman berkata, beliau akan kembali bertugas secepat mungkin.Dr Osman juga menafikan dakwaan bahawa beliau bimbang terhadap keselamatan dirinya.

Di bawah adalah kenyataan akhbar Dr Osman yang dibacanya pagi tadi (terjemahan).

Saya adalah doktor yang mengesahkan akuan berkanun bertarikh 1 Ogos 2008.Saya telah membaca akuan berkanun yang telah disiarkan di laman web Malaysia Today. Saya mengesahkan bahawa ia adalah salinan asli akuan berkanun saya. Saya kini mengesahkan bahawa kandungan akuan berkanun itu adalah benar.Saya telah pergi bercuti. Saya merasa amat tertekan. Saya kini telah kembali ke Malaysia. Terdapat banyak kenyataan media di Malaysia yang dibuat oleh pelbagai individu.Sesetengah daripada kenyataan tersebut telah memberi gambaran buruk terhadap profesyen dan diri saya. Saya ingin memberi jaminan bahawa saya hanyalah menjalankan tugas saya sebagai seorang doktor. Saya tidak terbabit dalam politik. Saya sentiasa akan bercakap benar.Saya tidak pernah pada bila-bila masa pun melanggar etika profesional saya. Saya sentiasa mengamalkan kerahsian antara doktor dan pesakit.

Majlis Berbuka Puasa & Ceramah Di Ampangan

Majlis Berbuka Puasa dan Ceramah akan diadakan malam esok di Surau Hitam, Gedung Lalang, Ampangan, Seremban.

Majlis ini dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan. Menurut Setiausaha Kerja Badan Perhubungan PAS negeri, Saudara Suhairi, penceramah yang dijadualkan hadir ialah Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Saudara Zulkifly Omar, Pesuruhjaya PAS Melaka dan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Dato' Kamarul Baharin Abbas.

Untuk makluman dan pertanyaan berkenaan majlis ini, anda boleh hubungi Saudara Suhairi di talian 019-299 8345.

Fakta Majlis:
Majlis Berbuka Puasa & Ceramah.
Tarikh: 6hb. September 2008/ 6 Ramadhan (Sabtu)
Masa: 6.45 petang.
Tempat: Surau Hitam, Gedung Lalang, Ampangan.
Susun Acara:
  • 6.45 pm: Tazkirah.
  • 7.16 pm: Waktu berbuka.
  • 8.30pm: Solat Isyak & Terawih.
  • 9.30pm: Ceramah.

Thursday, September 4, 2008

PKR jangka lebih 40 MP lompat parti

dipetik daripada Malaysiakini.com
Sep 3, 08 7:19pm

"Tiba 16 September ini, kita akan tunjukkan siapakah yang sebenarnya bermimpi atau bercakap besar."

Dengan penuh yakin, Ketua PKR Sarawak, Dominique Ng memberitahu sidang akhbar di Kuching bahawa Pakatan Rakyat kini menjangka lebih 40 ahli parlimen akan melompat dari Barisan Nasional (BN).

Beliau membuat kenyataan tersebut di tengah-tengah laporan bahawa pemimpin tertinggi PKR bertemu dengan pemimpin sebuah parti komponen BN di Kota Kinabalu pagi ini yang berikrar untuk menyokong rancangan pembangkang itu.

Ng berkata, di samping ahli-ahli parlimen individu, beliau menjangka bilangan wakil rakyat BN yang mencukupi akan menyertai Pakatan untuk memboleh pembangkang mendapatkan jumlah yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan pada tarikh 16 September ini.

Tuesday, September 2, 2008

Naib Ketua Umno Seremban dituduh rasuah

Dipetik daripada Malaysiakini.com
Sep 2, 08 2:27pm


Naib Ketua Umno Bahagian Seremban dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua tuduhan rasuah.
Mohd Nor Awang, 47, seorang ahli perniagaan, dituduh secara rasuah memberi suapan RM200 kepada Ketua Cawangan Umno Taman Zaiton Indah, Sikamat, Rezwat Shahril Zainal Ariffin.
Wang itu sebagai dorongan supaya Rezwat Shahril semasa dalam mesyuarat agung Umno cawangan itu 3 Ogos lalu, mencalonkan Mohd Nor sebagai calon ketua Umno bahagian Seremban bagi pemilihan untuk bagi sesi 2008-2011.
Menurut laporan Bernama, Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu dalam kereta NBK 16 di tempat letak kereta di belakang Restoran Negeri, Taman Catleya, Senawang pada kira-kira jam 12.20 tengah hari 1 Ogos lalu.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah memberi suapan RM500 kepada orang yang sama (Rezwat Shahril Zainal Ariffin) untuk tujuan sama.
Kesalahan itu dilakukannya didalam kereta NBK 16 di tempat letak kereta di belakang Centre Point di sini pada kira-kira 4.30 petang pada 2 Ogos lalu.
Mohd Nor didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau yang diwakili peguam Abdul Halim Lokman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Hakim Allaudeen Ismail menetapkan 28 dan 29 Januari 2009 sebagai tarikh perbicaraan. Mohd Nor dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Tetap Pegang Tarikh 16 September-Azmin Ali

Dipetik daripada Suara Keadilan Online.
Selasa, 2 September 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Nasional

KUALA LUMPUR, 2 SEPTEMBER (SK) - Naib Presiden KeADILan Azmin Ali menegaskan bahawa bahawa Pakatan Rakyat akan tetap berpegang kepada tarikh 16 September bagi menubuhkan kerajaan Malaysia yang baru.

Menurutnya, setakat ini Pakatan rakyat masih dalam proses perbincangan dengan beberapa orang ahli Parlimen yang hendak berhijrah dan kemajuannya cukup positif.

“Kita sedia maklum baru-baru ini ada memorandum Akujanji yang kononnya Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan terus mendukung kepimpinan Abdullah Badawi, tetapi tidak semua yang menandatangani perjanjian tersebut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Beliau berkata sedemikian ketika di temui semasa menyampaikan bubur lambur di masjid Al-Ansar, Keramat, semalam.

Menurut Azmin lagi, Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak mengakui bahawa tidak semua ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menandatangani memorandum tersebut kononnya mereka telah dihubungi melalui telefon.

“Tidak apalah, itu alasan mereka. Tetapi pokoknya perbincangan dengan Anwar Ibrahim berjalan lancar dan setakat ini tidak ada pertukaran tarikh tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat sedang menunggu waktu yang terbaik untuk mengumumkannya dan akan mengumumkan sekiranya tiba waktunya nanti.

” Kita sedia maklum bahawa ugutan terhadap mereka (ahli Parlimen BN) masih berterusan, malah ucapan Abdullah Badawi dalam belanjawan baru-baru ini seperti pemimpin kuku besi. Maknanya beliau(Abdullah) sudah tahu bahawa ada kesedaran di kalangan ahli Parlimen BN yang yakin dengan agenda Pakatan Rakyat yang jelas bertanggungjawab,” ujarnya.

Azmin menjelaskan setiap ahli Parlimen mewakili pengundi masing-masing dan bagi pengundi-pengundi ini mereka sudah lemas dengan suasana ekonomi negara yang lembab, kepimpinan tertinggi negara yang tidak ada hala tuju .

Ini membuktikan mereka telah yakin bahawa Pakatan Rakyat adalah wadah yang terbaik untuk membela nasib rakyat.

Kerajaan Baru 16 September

Kepastian akan kewujudan sebuah kerajaan baru bersama harapan baru kini kian menerbitkan sinarnya. Sudah pastinya Kerajaan Barisan Nasional sentiasa menafikan dengan memainkan isu ini sebagai sandiwara politik DSAI. Hakikatnya, kegoncangan rangka politik kerajaan memerintah telah dirasakan keseluruhan sturuktur dalamannya yang kini hanya menanti saat untuk rebah!

Sejarah lampau harus diteladani oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada Umno. Keangkuhan empayar Bani Umayyah mentadbir negara dengan zalim diakhiri dengan peralihan kuasa Bani Abbasiyyah. Tidak sampai satu abad pun Bani Umayyah memerintah.

Diselami lagi sejarah terdahulu, ketika kemasukan tentera Islam Madinah ke kota Makkah dengan mudahnya tanpa ditentang oleh kafir Quraisy Makkkah kerana mereka telah mengetahui kebenaran syiar iman yang dibawa oleh Rasullah s.a.w dan menyakini kekuatan kerajaan Islam Madinah pimpinan Rasullah s.a.w mampu membawa keamanan dan perubahan kepada masyarakat.

Perulangan saat itu kini akan kembali berlaku di negara kita. Suatu peralihan kuasa rakyat dengan pimpinan yang adil akan membuka lembaran baru kepada politik, ekonomi dan sosial Malaysia.

Bukan mimpi atau sandiwara politik..tetapi sebuah kepastian menuju kemakmuran negara dan rakyatnya.

Monday, September 1, 2008

Rasuah: ADUN N9 Ditahan BPR!

dipetik daripada KLpos.com
1 Sep 2008 1:25AM

SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan(BN-Umno) ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang kontraktor di sebuah restoran di Mantin, Seremban, petang ini.

Menurut sumber, ADUN berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai BPR ketika menerima suapan tersebut kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Adalah difahamkan, ketika kejadian itu, ADUN berkenaan cuba melarikan diri tetapi terjatuh sebelum berjaya ditahan oleh anggota BPR yang bertindak pantas mengejarnya.

Ahli politik berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat BPR Negeri di Jalan Dato Kelana Maamor, Seremban, bagi membantu siasatan.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. / Bernama

Perutusan Setiausaha Perhubungan Negeri

Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera,

Jutaan terima kasih kepada setiapa anggota jentera pilihanraya Negeri Sembilan. Mohon maaf atas apa jua kekurangan dan kesilapan, semoga tuhan sahaja akan membalas segala usaha dan penat lelah saudara saudari.

Terima kasih.

Sabaruddin Mohd Yassim,
Setiausaha Perhubungan,
Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan.