Monday, September 29, 2008

Parti Keadilan Rakyat adalah parti masa depan!

oleh Mustafa Kamal Abd Rahman

Felda Bukit Rokan Utara-"Parti Keadilan Rakyat adalah parti masa depan bagi rakyat Malaysia" kata Dato' Kamarul Baharin Abbas dalam ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Tampin semalam.

Jelas beliau lagi, jika PKR menjadi parti memerintah, hak-hak istimewa kaum Melayu tetap akan terjaga dan dilindungi kerana ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia walaupun parti ini merupakan parti pelbagai kaum. Kesemua kaum disatukan dalam satu landasan melalui perlembagaan parti yang tidak dipisahkan berdasarkan agama dan ras kaum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang memerangkap Pengerusi Perhubungan Negeri meletakkan harapan supaya Bahagian Tampin tidak ketinggalan dan terus bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan gerak kerja bagi kekuatan parti di Tampin keseluruhannya.

Atas faktor kekurangan jentera yang kuat di Tampin pada Pilihanraya Umum 2008 lalu, PKR Negeri Sembilan tidak dapat meletakkan calon untuk bertanding. Namun begitu, beliau yakin gerak kerja yang jitu bermula dari sekarang akan mengukuhkan kekuatan PKR di Tampin bagi menghadapi PRU akan datang.

Dato' Kamarul turut mengimbas kembali sejarah perjuangan parti sejak 10 tahun lalu. Jelas beliau, PKR bukanlah parti serpihan. Pada tahun 2004 lalu ramai yang beranggapan PKR akan berkubur seperti Parti Melayu Semangat 46. Namun begitu, melalui kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memacu kekuatan semula PKR. Ini telah terbukti melalui keputusan PRU 2008 apabila PKR menjadi parti pembangkang utama dengan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

Sokongan rakyat kepada PKR telah dibuktikan melalui PRU 2008 lalu. Beliau turut menyatakan PKR bakal menjadi memerintah dan peralihan kerajaan Persekutuan akan tetap berlaku. Tambah beliau, PKR akan memastikan keadilan kepada rakyat untuk membawa harapan baru.

MATB Tampin semalam turut dihadiri oleh Setiausaha Perhubungan Negeri, Sabaruddin Mohd Yassim sebagai pemerhati, Pengerusi Tetap Bahagian Rasah, Salimin Kamjan dan Ketua Bahagian Rasah, Haji Muhammad Kamel Yassin sebagai pemantau.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua AJK Bahagian yang diketuai oleh Kapten (B) Zolkapli Kassim, berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kekecohan dan berakhir jam 6.00 petang.

No comments: