Monday, August 27, 2012

Rumah Terbuka Aidilfitri PR NS-2 Sept 2012


6 kebaikan turun harga kereta, BN cuma bermuka-muka


Saya merujuk kepada laporan The Star bertarikh 21 Ogos 2012 bertajuk “Car Prices In Malaysia To Drop Gradually?”.
Laporan itu memetik sumber dalaman yang rapat dengan kerajaan berhubung cadangan rombakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) untuk mengurangkan harga kereta.
Saya mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia jelas mengesahkan pendirian KEADILAN selama ini bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat-peringkat adalah sesuatu yang mampu dilakukan.

Ia juga membuktikan bahawa kajian KEADILAN mengenai kesan buruk harga kereta yang tinggi turut dipersetujui oleh pakar-pakar dan pegawai kerajaan.
Pun begitu, ia membayangkan sikap bermuka-muka dan hipokrasi pimpinan Umno/Barisan Nasional yang secara berterusan mengkritik cadangan KEADILAN tersebut atas alasan ia akan memufliskan negara.
Pemimpin seperti Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yaakob telah membuat kenyataan rasmi menolak cadangan mengurangkan harga kereta seperti yang dibawa KEADILAN.
Oleh kerana adanya pertembungan maklumat yang disampaikan oleh pimpinan Umno/Barisan Nasional setakat ini, saya menyeru supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mustapha Mohamad yang bertanggungjawab merombak Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) supaya berterus terang kepada rakyat apakah sebenarnya dasar kerajaan Umno BN berhubung penurunan harga kereta?
Sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan KEADILAN untuk mengurangkan cukai eksais secara berperingkat dan menurunkan harga kereta, beliau wajar memanggil kepimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan pelaksanaan dasar ini kerana penurunan harga kereta adalah satu-satunya isu nasional yang mendapat konsensus di kedua-dua belah pihak (Pakatan Rakyat dan BN).
Saya juga menyeru supaya Saudara Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor Yaakob menarik balik kenyataan mereka sebelum ini mengkritik cadangan KEADILAN.

Malah, saya mengalu-alukan Saudara Khairy untuk turut serta bersama-sama mempromosikan kempen #turunkanhargakereta dengan menaiki kereta rasmi Cheapmobile ke tempat-tempat strategik di sekitar Kuala Lumpur dan mengedarkan pelekat kereta kempen.
Saya masih yakin bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat adalah langkah pertama untuk menyelesaikan pelbagai masalah berhubung ekonomi rakyat, pengangkutan, keselamatan dan pencemaran alam sekitar.
KEADILAN percaya dengan harga kereta yang murah:
-   Beban hutang isi rumah rakyat akan diringankan dan wang lebihan boleh digunakan untuk pelaburan lain yang lebih penting seperti rumah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain;
-    Liberalisasi pasaran kenderaan di Malaysia memaksa kerajaan meningkatkan kapasiti dan mutu pengangkutan awam di negara ini bagi mengimbangi risiko kesesakan jalan raya;

-   Harga kereta yang lebih murah memungkinkan dasar tempoh umur kereta (car scrap policy) dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang telah mencecah 10 juta;
-    Harga kereta yang lebih murah membolehkan rakyat memiliki kereta yang lebih berkualiti dan selamat, seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya;
-    Kereta yang lebih berkualiti dan berteknologi hijau mampu dimiliki rakyat dan mengurangkan pencemaran alam sekitar; dan
-   Lebih banyak kereta berteknologi hijau dan lebih berkualiti akan mengurangkan penggunaan petrol dan seterusnya mengurangkan beban subsidi bahan api negara.
Oleh kerana dasar harga kereta yang lebih rendah ini mempunyai kesan yang besar kepada negara seperti yang dijelaskan di atas, KEADILAN akan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk membawa kempen ini ke bawah tanpa mempedulikan tindakan Umno BN yang seterusnya kerana saya yakin Umno BN tidak ikhlas untuk menurunkan harga kereta.

Pakatan jamin bela hak Melayu dan kaum lain – Anwar


BAGAN SERAI 27 Ogos: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas, hak keistimewaan orang Melayu dan lain-lain kaum akan terjamin jika Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya membentuk Kerajaan Pusat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, antara tawaran Pakatan jika menang pilihan raya termasuk menurunkan harga minyak dan kereta serta membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, rakyat tidak bodoh untuk terus percaya dakwaan Umno BN bahawa negara akan bankrap jika ditadbir Pakatan.
“Rakyat tak bodoh…(Menurut Umno BN) negara akan bankrap (sedangkan) kita bagi fakta,” katanya merujuk tawaran berkenaan ketika berucap pada Ceramah Perdana Demi Rakyat di sini, malam tadi di hadapan kira-kira 4,000 hadirin.
Anwar berkata, semua golongan akan mendapat keuntungan daripada tawaran tersebut, terutama rakyat miskin dan kebanyakannya Melayu.
Beliau turut menyangkal tohmahan sesetengah pihak mengatakan nasib orang Melayu tidak akan terbela di bawah pentadbiran Pakatan.
Menurutnya, KEADILAN, PAS dan DAP bersetuju memberi jaminan untuk terus membela Melayu dan pada masa sama hak kaum lain sebagai warganegara yang sah.
“(Ini kerana) Malaysia tidak akan selamat kalau orang Melayu (sebagai kaum majoriti) tersisih dan tidak kuat,” kata Anwar lagi.
Jelasnya, orang Melayu tidak mendapat pembelaan sebenar di bawah pemerintahan Umno BN yang hanya mengkayakan keluarga dan kroni.
Beliau memberi contoh skandal RM250 juta National Feedlot Corportaion (NFC) melibatkan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan terbaru, kontrak membekal bahan api selama enam bulan untuk pesawat MAS yang diberi kepada Petron, milik Mirzan Mahathir.
“Ahli-ahli Umno yang bawah dapat apa? Itupun ahli masih lagi (melaungkan) ‘Hidup Melayu’,” kata Anwar sinis.
29 Jun lalu, Petron dan MAS menandatangani perjanjian bagi membeli dan membekal bahan api untuk pesawat Airbus A380 selama enam bulan berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Selain Anwar, turut berucap adalah Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty; Ketua Biro Latihan , Mustaffa Kamil Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, V Sivakumar.
Anwar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Beh Heng Kin dan Alphonse Arulandu di atas sumbangan mereka kepada Pakatan Rakyat.

Tuesday, August 14, 2012

Exco: SPAN, Upen setuju struktur semula bekalan air

dipetik dari Malaysiakini.com


  • Zulaikha Zulkifli
  • 2:02PM Ogos 14 2012
 

Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen) mempersetujui rancangan Selangor untuk menstruktur semula bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai hasil daripada program Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Petaling Jaya hari ini.

"Upen, SPAN dan orang ramai semuanya bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula hasil daripada dialog ini," katanya.

Selain itu, Xavier berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk membuka semula loji rawatan air di Bukit Jelutong sebagai salah satu tindakan mengatasi masalah air di Selangor.

Loji berkenaan akan dibuka semula dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas program dialog yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu.


Dalam perkembangan sama, Xavier berkata, kerajaan negeri tidak menolak seratus peratus projek pembinaan loji Langat 2 memandangkan sebahagian daripada pembinaannya telahpun dimulakan.

''Banyak kekeliruan yang ada bagi Langat 2. Kita perlu kaji dulu. Tidak menolak sebab terowong telah dibina.

"Tetapi apa yang penting ialah kita perlu penstrukturan terlebih dahulu. Kemudian baru kita bincang bagaimana untuk Langat 2," katanya lagi. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua yang turut hadir ke dialog hari ini berkata suruhanjaya itu bersetuju dengan penstrukturan semula bekalan air Selangor, namun mengharapkan agar projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetap diteruskan.
 
Beliau yang ditemui pemberita selepas dialog tersebut, berkata loji rawatan Langat 2 itu penting bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2015. 

"Langat 2 perlu diteruskan. Jika tidak, pada 2015 air akan berkurang. Kita perlu lakukan sesuatu. Industri berharap agar kita dapat bekerja bersama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan negara," katanya. 

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memuktamadkan pengambilalihan syarikat terbabit selewat-lewatnya pada September.

Langkah itu demi mempercepatkan proses penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu, kata Khalid.


KEADILAN sokong kempen protes pindaan Akta Keterangan


KUALA LUMPUR 14 Ogos: Pindaan kepada Sekysen 114A Akta Keterangan 1950 menerima banyak tentangan pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sendiri.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, pindaan ini akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak dituduh, bukannya kepada pihak yang menuduh, dan ia jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan.
Katanya, secara khusus, pengguna laman sosial seperti facebook, twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain.
“Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut – jika rangkaian wifi rumah anda dicuri, di bawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan.
“Dan jika ada sesiapa yang mencipta akaun facebook, twitter atau emel mengguna nama anda, pindaan ini akan menganggap anda pemilik sebenar akaun tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ekoran itu, KEADILAN menggesa kerajaan untuk menarik balik pindaan 114A Akta Keterangan 1950 dalam sesi Parlimen akan datang.
KEADILAN turut menggesa setiap anggotanya untuk turut serta dalam protes ini dengan menukar “avatar” atau gambar facebook, twitter, dan lain-lain ke logo #STOP114A, dan bagi yang mempunyai laman web untuk memasukkan kod “pop-up” #STOP114A yang disediakan. Maklumat lanjut di sini.
“Semoga keadilan bagi semua pengguna internet terjamin demi seluruh rakyat Malaysia,” kata Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak.
Dalam pada itu, beberapa pengendali laman web terkemuka menyatakan sokongan mereka ke atas kempen “Stop 114A” ini.
Pengunjung ke laman berkenaan akan menemui imej berwarna hitam dengan maklumat kempen oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengenai seksyen 114A Akta Keterangan.
Imej ini mula dipaparkan bermula tengah malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CIJ, Masjaliza Hamza berkata, kempen Hari Tegah Siar Internet itu kini disokong oleh laman web terkemuka, ahli politik dan juga warga maya.
Kempen ini juga katanya mendapat perhatian global apabila disebarkan melalui tulisan di twitter oleh laman antarabangsa seperti WikiLeaks.
Kempen itu juga disertai portal berita Free Malaysia Today, Keadilan Daily,Harakah Daily, Roketkini, Media Selangorku, Digital News Asia, The Nut Graph dan Merdeka Review.
Turut menyokong Majlis Peguam, Suaram, Pertubuhan Pertolongan Wanita, Aliran, Kajian Politik untuk Perubahan, Research for Social Advancement, Relevant Facts, Sparkling Analysis (Refsa), Sinar Project, SEACeM, Tindak Malaysia, Islamic Renaissance Front (IRF), Lawyers for Liberty, Perak Women for Women, Empower, Women’s Centre for Change, All Women’s Action Society (Awam) dan Sisters in Islam.

BN cemas rakyat Sabah sokong Pakatan


(Oleh Aisha Geoffrey)
BEAUFORT 14 Ogos: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, BN cemas terhadap perubahan politik di Sabah terutama selepas kemasukan beliau dan beberapa pimpinan parti itu ke dalam Pakatan Rakyat (Pakatan).
Katanya, rakyat sekarang semakin bijak untuk menilai sama ada manisfesto yang diutarakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘gula-gula’ politik atau sebaliknya.
“Rakyat sekarang bukan seperti zaman 60-an atau 80-an dulu, mereka sudah sedar dan bijak,” kata peneraju Pakatan Perubahan Sabah (PPS) itu ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan kononnya kedatangan Anwar di Sabah hanya untuk menabur ‘gula-gula’ kepada rakyat di sana.
“Anwar bukan pemimpin kampung yang hanya tahu menabur janji, beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri yang tahu bagaimana untuk memerintah sebuah negara, beliau tahu formula untuk merealisasikan manifesto Pakatan Rakyat,” jelasnya.
Lajim turut menyifatkan laporan tersebut sebagai gimik BN yang sebenarnya semakin tidak senang duduk dengan perubahan angin politik di negeri itu.
“Rakyat di Sabah sekarang sudah berkobar-kobar untuk menukar kerajaan, dan kami PPS akan terus menyumbang kepada kekuatan Pakatan yang sedia ada,” yakin beliau.
Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort dan menubuhkan PPS yang menyokong Pakatan.
Pada 30 Julai lalu, Lajim digugur dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala keahliannya dalam Umno akan ditentukan kemudian.
Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menyokong Pakatan.
Ini menjadikan gerakan menukar kerajaan negeri digerakkan dua komuniti terbesar di Sabah iaitu Melayu-Islam melalui PPS dan Kadazan-Dusun-Murut melalui APS.

Tiga lagi Ahli Parlimen BN akan keluar parti – Lajim


(Oleh Masdar Wahid)
BEAUFORT 14 Ogos: Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menghadapi situasi lebih getir selepas sambutan Aidilfitri berikutan tiga lagi wakil rakyatnya akan meninggalkan parti itu.
Ahli Parlimen BN Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin menegaskan, mereka akan berbuat demikian secara berperingkat-peringkat dalam beberapa bulan lagi.
“Ini (keluar parti) bukan spekulasi atau desas-desus tetapi sesuatu yang benar. Bagaimanapun kita tidak akan dedahkan secara terperinci identiti mereka.
“Mereka akan umum keluar parti dan sokong Pakatan secara berperingkat-peringkat selepas sambutan Aidilfitri sehingga Parlimen dibubar,” katanya kepada Keadilan Daily.
Kata Lajim, seramai 18 daripada 35 Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Umno Beaufort turut menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan.
“Beberapa lagi Ketua Cawangan Umno Sabah, bekas wakil rakyat dan pemimpin yang pernah menjadi menteri juga akan keluar parti .
“Pengumuman itu akan dilakukan pada masa sesuai,” katanya.
Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort dan menubuhkan PPS yang menyokong Pakatan.
Pada 30 Julai lalu, Lajim digugur dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala keahliannya dalam Umno akan ditentukan kemudian.
Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menyokong Pakatan.
Ini menjadikan gerakan menukar kerajaan negeri digerakkan dua komuniti terbesar di Sabah iaitu Melayu-Islam melalui PPS dan Kadazan-Dusun-Murut melalui APS.

Monday, August 13, 2012

Konsep kafir Harbi-Zimmi, satu penjelasan- Dr Muhammad Nur


Sesungguhnya, di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, kita dikejutkan dengan pandangan seorang Tok Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.
Tuan Guru Haji Abdullah Samah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.
KEADILAN berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.
Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami  mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.
Sebenarnya, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari抋h dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi?,
Sheikh Rashid Ghanoushi  (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.
Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.
Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul 揗uwatinun La Zimmiyyun?(Kewarganegaraan Bukan Zimmi).
Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini.
Shaikh Taha Jabir al-lwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.  Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan – kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta抦in ?
memang dicipta oleh para ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.
Lebih menarik lagi, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun). Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun).
Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.  Hasilnya,  semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.
Adalah jelas, cara UMNO menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa抦ah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa.
Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka.  Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.
Adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus Negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, UMNO terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung.
Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang. Apakah agenda tersembunyi UMNO dengan sengaja menimbulkan polemik ini?
KEADILAN berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah UMNO telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan.
Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus Negara selepas PRU ke 13 nanti,  kerana telah kehilangan arah,  hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan. Wallahu抋lam.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan, PKR
11 Ogos 2012

Tak yakin dengan Najib punca Senator BN Sabah sertai Pakatan


KOTA MARUDU: Senator Datuk Maijol Mahap tidak yakin terhadap kewibawaan Suruhanjaya Diraja  (RCI) yang diumum Datuk Seri Najib Razak, pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Bercakap di perhimpunan Angkatan Perubahan Sabah (APS) di Kota Marudu, beliau berkata, rakyat Sabah menunggu bertahun-tahun lamanya tetapi masalah pendatang tanpa izin tidak pernah selesai.
Justeru, katanya, bekas Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu mengisytihar keluar BN kerana  tiada sebab untuk beliau yakin dengan pengumuman pada saat-saat akhir yang dibuat Perdana Menteri itu.
Pada 11 Ogos lalu, Najib mengumumkan pembentukan RCI berhubung pendatang tanpa izin di Sabah dan akan dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Steve Shim dan dianggotai empat lagi panel.
Dalam majlis itu, Maijol menyatakan beliau meninggalkan BN adalah kerana hilang keyakinan bahawa BN benar-benar bersungguh-sungguh mahu membela nasib penduduk Sabah.
“Saya tidak ingin dimaki oleh generasi akan datang kerana tidak berjuang,” katanya yang turut mengumumkan untuk meninggalkan semua jawatannya dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan .
Turut hadir, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden, Tian Chua; dan pengasas APS, Datuk Seri Wilfred Bumburing.
Dalam pada itu, Bumburing dalam ucapannya berkata, Najib hanya mengumumkan pembentukan RCI apabila protes untuk meninggalkan BN mencapai tahap tertinggi.
“BN kata Sabah adalah fixed deposit (simpanan tetap). Saya nak tanya, fixed deposit daripada siapa? Orang Sabah atau pendatang tanpa izin?” katanya lagi.

Wednesday, August 8, 2012

Majlis Iftar MPN Negeri Sembilan



Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Negeri Sembilan telah mengadakan Majlis Iftar atau Berbuka Puasa pada 7 Ogos 2012 /18 Ramadhan 1433 Hijrah. Majlis ini telah dihadiri oleh seluruh pimpinan utama negeri dan sayap.






Salam Aidilfitri 1433H oleh Pengerusi KEADILAN NS


Dalam tempoh 2 minggu lagi kita akan menyambut Aidilfitri, namun masa berbaki 2 minggu dalam Ramadhan harus kita lebih mempertingkatkan amal ibadah di bulan yang mulia ini. Ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dalam Ramadhan wajar direbut oleh seluruh ummat Islam.

Perjuangan kebenaran dan keadilan seharusnya lebih diperkukuh sepanjang kita menjalani ibadah puasa Ramadhan. Kita doakan bersama agar keluarnya kita daripada Ramadhan dengan semangat kefahaman agama yang lebih jitu dan kukuh.

Carilah malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Mudah-mudahan amal ibadah kita di bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT dan dimurahkan rezeki buat kita semua dengan panduan & hidayahNya. Banyakkan kerja-kerja amal & kebajikan membantu sahabat-handai, jiran-tetangga, saudara-mara, orang miskin, anak yatim dan golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadhan ini dan diteruskan dalam bulan-bulan yang lain.

Wassalam.

Kamarul Baharin Abbas
MP Telok Kemang
Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan





Pakatan Pulau Pinang tabur kebajikan, BN semarak sentimen kaum, agama


BN telah menimbulkan perasaan benci dan permusuhan di kalangan rakyat Pulau Pinang dengan permainan politik perkauman ekstremis yang menyemarakkan sentimen perkauman dan agama.
BN menuduh PR anti-Islam walaupun peruntukan hal ehwal Islam ditambah berlipat ganda berbanding dengan kerajaan dahulu dan juga bahawa PR anti-bukan Islam bila hanya di bawah kuasa BN, kuil Hindu atau tokong Cina dirobohkan.
Kini disusuli dengan fitnah terhadap dasar kerajaan negeri dan juga serangan peribadi ke atas pemimpin PR dan juga ahli keluarga mereka.
Bukan sahaja Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli keluarganya termasuk anak 15 tahun difitnah malah keselamatan peribadi Ketua Menteri juga terancam tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Terbaru muncul pula serangan peribadi Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow terhadap Ketua Menteri, Ahli-ahli EXCO Chow Kon Yeow, Wong Hon Wai, Phee Boon Poh, Danny Law dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Ng Wei Aik dituduh mempunyai kepentingan peribadi kerana mempertahankan keputusan kerajaan negeri membina hospital di Jalan Zainal Abidin.
Kita mencabar Teng menunjukkan bukti dan beliau tidak boleh bertindak macam budak-budak yang baling batu sembunyi tangan,
Fitnah sebegini adalah satu perbuatan jahat,tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana pemimpin PR tidak ada kepentingan peribadi dalam hospital tersebut dan meluluskannya semata-mata mahu mengembangkan industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang.
Dalam isu ini Teng juga membuat fitnah lain bahawa:-
- Lesen hospital swasta penuh telah diluluskan kepada pemohon di Jalan Zainal Abidin sebenarnya hanya surat tanpa halangan diterima pada 12.7.2012 dan bukanlah lesen.
- Bangunan 30 tingkat diluluskan sebaliknya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak pernah meluluskannya
- Kerajaan BN memperuntukkan tapak Jalan Zainal Abidin seluas 0.4 hektar untuk perumahan padahal tidak ada suatu pengumuman dalam suratkhabar oleh kerajaan BN sebelum ini. Sebaliknya kerajaan PR memperuntukkan tanah lebih luas sebanyak 4.2 hektar di Jalan S.P. Chelliah iaitu hampir 10 kali ganda lebih besar untuk perumahan mampu milik.
Sebelum ini Teng membuat fitnah bahawa kerajaan negeri akan membantah pengswastaan Pelabuhan Pulau Pinang tetapi projek masih ingin diteruskan.
Teng juga berjanji lesen penjaja dimansuhkan tetapi hakikatnya BN tak pernah kurangkan satu sen semasa berkuasa berbanding dengan pengurangan 50% lesen penjaja di bawah PR.
Malah pemansuhan lesen penjaja tidak pun dilaksanakan baik dalam negeri di bawah pemerintahan BN mahupun oleh kerajaan persekutuan. Mengapa pula Teng  tidak pula mencadangkan cukai individu dihapuskan sama sekali.
Yang lebih memalukan adalah kenyataan bahawa kerajaan negeri boleh membatalkan projek bukit yang diluluskan kerajaan negeri dan beliau bersedia melihat Pulau Pinang jadi bankrap semata-mata untuk memelihara bukit dan alam sekitar.
Adakah BN mahu paksa PR bankrapkan negeri Pulau Pinang sekiranya BN tidak berupaya menang balik Pulau Pinang dengan fitnah, politik ekstremis kaum dan agama?

Sehingga kini Teng bersikap mengelak,membisu dan enggan menjawab skendal keuntungan besar 2 pemimpin tertinggi UMNO  Pulau Pinang sebanyak RM5 juta hasil penjualan 10 ekar tanah milikan 31 tuanpunya Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau.
Biasanya komisen tanah broker adalah 2% tetapi telah jadi 57% dalam kes ini.
Keuntungan RM 5 juta dalam 3 bulan setengah mempertikaikan kesungguhan BN membela rakyat bila pemimpin UMNO lebih berminat untung besar atas jadi broker penjualan tanah orang kampung Melayu.
*** Kenyataan Akhbar Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato Mansor Othman Di Komtar, George Town Pada 7.8.2012.

Cetus ketegangan kaum, Pakatan tolak filem Tanda Putera

dipetik daripada Keadilan Daily


(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 8 Ogos: Pakatan Rakyat (Pakatan) sebulat suara menolak filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan pada 13 September ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penolakan itu disebabkan filem tersebut bakal menyemarakkan api perkauman di negara ini.
“Filem ini tiada usaha untuk menyatukan rakyat (berbilang bangsa),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya semalam.
Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah; Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Justeru Mustafa mendesak kerajaan menayangkan keseluruhan filem itu kepada Pakatan Rakyat untuk dikaji sebelum ditayangkan kepada umum.
Filem ini bakal mencetuskan kontroversi kerana memaparkan tragedi 13 Mei 1969.
Tanda Putera memfokuskan tentang kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Difahamkan, filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu turut memuatkan adegan pemimpin popular DAP, Lim Kit Siang kencing di bawah tiang bendera Selangor pada ketika itu.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan Kit Siang dan berkata, beliau berada di luar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Anthony menyatakan Umno BN menggunakan skrip lama untuk memburuk-burukkan DAP bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu.
“Mereka berharap tindakan tersebut akan memberi kesan undi kepada PAS dan KEADILAN kerana pengundi Melayu akan beralih kepada mereka,” katanya.
Menurut beliau, bagi mengatasi tohmahan tidak berasas itu, Pakatan akan terus menfokuskan agenda rakyat yang dipersetujui bersama.
“Apa yang kita harapkan nanti, rakyat akan tertumpu kepada agenda yang kita akan bawa untuk kebaikan seluruh rakyat,” katanya.

Negeri Pakatan sebulat suara guna ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’


KUALA LUMPUR 8 Ogos: Kesemua empat negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menggunakan tema yang sama iaitu ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 pada tahun ini.
Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sepakat menggunakan tema tersebut secara bersama dan tidak lagi menggunakan tema pilihan bagi negeri masing-masing sebagaimana yang diputuskan sebelum ini.

Menurut beliau, keputusan Pakatan menggunakan tema tersebut kerana menentang tema ’55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini, Pakatan mendesak Kerajaan Persekutuan menukar tema berkenaan kerana dijadikan kempen Umno BN
Mustafa berkata, pemilihan tema oleh Pakatan lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco petang tadi berkata, Kerajaan Selangor memutuskan untuk menggunakan tema rasmi Pakatan Rakyat itu.

Kempen ‘Saya Pilih Mengundi’ mesej k’jaan ajak rakyat undi BN


(Oleh Aisya Geoffrey)
Kempen iklan ‘Saya Pilih Mengundi’ menampilkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan artis tempatan melambangkan begitu terdesaknya Umno BN meraih undi rakyat pada pilihan raya umum nanti, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin.

“Iklan itu walau tidak secara langsung berkempen untuk BN, tapi mesejnya jelas, dengan warna biru BN, menggunakan pula Mahathir dan blogger Umno sebagai jurucakap, mengajak rakyat untuk mengundi BN,” katanya ketika dihubungi.
“Ini menandakan BN makin terdesak, sampai terpaksa buat iklan yang menelan jutaan ringgit untuk berkempen.  Persoalannya dari mana datang duit untuk buat iklan itu?” tegas beliau.
Bermula bulan lepas, iklan tersebut muncul dalam semua akhbar arus perdana, serta pada waktu perdana di semua saluran televisyen utama.
Sim turut mempersoal individu atau organisasi yang bertanggungjawab dalam pembikinan iklan tersebut.
“Sampai sekarang tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas pembikinan iklan itu, termasuk Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sendiri,” katanya.
“Jika benar kerajaan yang bertanggungjawab membuat iklan tersebut, mereka juga boleh dikira telah melanggar undang-undang kerana berkempen sebelum pilihan raya diumumkan,” jelas Sim.
“Justeru saya menyeru artis dan atlet yang terlibat agar jangan jadi alat Umno untuk berkempen, anda adalah artis Malaysia, bukan artis Umno,” katanya.
Selain iklan di televisyen, kempen turut berjalan di laman peminta facebook ‘Saya Pilih Malaysia’ oleh Media Umno Malaysia yang jelas menunjukkan kempen itu ada kaitan dengan kerajaan.
Bagaimanapun, kempen iklan itu berakhir dengan ‘Saya Pilih Malaysia’.

Lagi pemimpin Sabah keluar BN, sertai APS


(Oleh Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 8 Ogos: Sokongan rakyat Sabah terhadap Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Seri Wilfred Bumburing terus menggegarkan politik negeri itu apabila ramai lagi pemimpin BN mengikut jejaknya menyokong Pakatan Rakyat.
Terbaru, John Hussein meletak semua jawatan sebagai ahli Parti Bersatu Sabah (PBS-BN) dan ketua kampung bagi kawasan Kiulu dalam Parlimen Tuaran.
Menurut beliau, notis 30 hari diserah kepada partinya dan kerajaan negeri sejak 1 Ogos lalu.
John turut meletak jawatan Ketua PBS Cawangan Kampung Simpangan Lama dan Naib Pengerusi PBS Bahagian Kiulu dan kini menyertai APS.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Wilfred bahawa sistem penyampaian BN gagal memenuhi matlamat yang dikehendaki rakyat.
“Sebagai contoh, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu mengambil masa yang sangat lama untuk dilaksanakan dan kini pembinaannya terus terhenti tanpa penjelasan munabasabah,” kata John dalam satu kenyataan.
Beliau akan bekerjasama dengan dua bekas pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Tuaran, Lesaya Lopog Sorudim dan Daukim Gilu untuk membentuk dan menggerakkan APS Bahagian Kiulu.
Sebelum ini, Naib Presiden Upko yang juga Senator Datuk Maijol Mahap; Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi, Denis Gimpah dan Petrus Guriting turut mengisytihar keluar BN bersama Wilfred pada 29 Julai lalu.
Wilfred merupakan Ahli Parlimen Tuaran, bekas Timbalan Presiden Upko, Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka dan bekas Pengerusi BN Tuaran.
APS adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memfokus pengundi Bumiputera Bukan Islam Sabah bagi menyokong Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.
Wilfred memulakan jelajahnya sejak 1 Ogos lalu dengan menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Parlimen Keningau yang diwakili Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
Pairin mewakili kedua-dua kawasan itu sejak 1976 hingga kini dengan beliau ketika ini turut menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Anwar ahli politik pertama Malaysia terokai Google Hangout


(Oleh Aisha Geoffrey)
borak anwarKUALA LUMPUR 8 Ogos: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi ahli politik Malaysia yang pertama menjadi tuan rumah kepada Google Hangout selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melalui program ‘Borak Bersama Anwar’.
Program yang berkonsepkan chat secara langsung di YouTube itu ditetapkan pada 17 Ogos, jam 10.30 malam.
Menurut Penyelaras Program Pejabat Ketua Umum itu, Najwan Halimi, program tersebut merupakan sesi untuk Anwar berborak secara santai melalui media sosial, dalam usaha mendekati rakyat terutama anak muda.
“Tercetusnyanya idea ini juga kerana kepayahan Anwar untuk mendapat akses kepada media arus perdana, jadi kita ambil jalan alternatif agar beliau dapat berinteraksi bersama golongan muda,” jelasnya.
“Google Hangout ini merupakan program yang membolehkan Anwar bersama 9 lagi panel beinteraksi melalui Youtube dan disaksikan penonton seluruh dunia,” kata Najwan ketika dihubungi.
Orang ramai digalakkan untuk menghantar soalan video mereka melalui YouTube dan berkongsi pautan pada facebook atau laman acara Google Plus.
Soalan dan nota yang dihantar akan diteliti untuk menentukan topik pada malam itu. Individu yang mengutarakan soalan menarik juga akan dijemput menjadi panel dan bersiaran secara langsung bersama Anwar pada malam itu.
Mereka yang berminat boleh menghantar soalan melalui laman acara Google Plus ‘Borak bersama Anwar’; laman Youtube ‘anwarhangout’ atau facebook ‘Borak Bersama Anwar’.

DAP: Dokumen tunjuk Noh Omar terlibat projek udang

dipetik daripada Malaysiakini.com


  • Ahmad Fadli KC
  • 12:04PM Ogos 8 2012
 
DAP mendedahkan dokumen yang didakwa membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar terlibat dalam satu perusahaan kolam ternakan udang di Tanjung Karang, Selangor.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini menunjukkan satu salinan akuan sumpah bertarikh 11 Januari 2011 dan satu dokumen permohonan kaveat bertarikh sama ke atas tanah yang disewa syarikat itu daripada Noh Omar.

NONE"Saya ada dokumen Syarikat Pristine Agrofood yang dalam akuan sumpahnya menyatakan syarikatnya ada usaha sama dengan Noh bin Omar.

"Surat kaveat yang saya ada, syarikat ini (juga) bersetuju mengusahakan tanah itu bersama Noh Omar.

"Ini (adalah) usaha sama. Beliau tak nafikan akuan sumpah ini," kata Ng selepas mengetuai satu demonstrasi di hadapan tapak projek tersebut pagi ini.
NONEMenurut Ng, kaveat berkenaan bertujuan untuk menghalang Noh daripada menjual tanah berkenaan selama perjanjian itu berkuatkuasa.

Ng mendakwa surat akuan sumpah yang menyebut "syarikat telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar...." membuktikan Noh Omar terlibat dalam projek itu lebih daripada sebagai pemilik tanah yang menyewakan tanahnya.

"Syarikat tersebut telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar [nombor kad pengenalan dan alamat disertakan] dengan jaminan harga sekurang-kurangnya RM25,200 sahaja setahun. Sesalinan perjanjian usahasama bertarikh 5 Januari 2011 dilampirkan di sini," surat itu dipetik.
NONEKatanya, "usahasama" yang disebut dalam dokumen itu menimbulkan "keraguan yang munasabah" dan definisi istilah itu juga sangat luas.

"Jadi kita mahu pihak berkuasa siasat. Sama ada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Beliau memberi contoh, seorang menteri perumahan boleh membeli rumah tetapi menteri berkenaan tidak boleh terlibat dalam mana-mana syarikat perumahan.

Justeru, prinsip yang sama katanya diguna pakai dalam kes projek udang yang membabitkan Noh Omar.

NONE"Noh Omar boleh makan udang termasuk otak udangnya tetapi dia tak boleh ternak udang. Ini salah guna kuasa.

"Orang yg kononnya nak jadi menteri besar Selangor ini wajib tampil ke depan dan jawab (dakwaan ini)," kata Ng lagi.
Pengarah syarikat Pristine Agrofood, Chu Bak Teck ketika dihubungi hari ini menegaskan sekali lagi bahawa Noh Omar hanyalah tuan tanah dan tidak terlibat dalam operasi kolam udang itu.
Lindungi kepentingan
Chu juga mengakui bahawa beliau menggunakan istilah "usahasama" dalam surat tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa tindakan itu hanyalah untuk melindungi kepentingan syarikatnya.
NONE"Perjanjian itu sebenarnya satu perjanjian penyewaan, tapi kita tulis seperti satu perjanjian usahasama. Ini untuk melindungi kedua-dua pihak.
"Kita mahu ikat Noh Omar (kiri), supaya dia tidak jual tanah ini dan menyebabkan kerugian kepada kita," katanya kepadaMalaysiakini.
Noh pula pada 14 Julai lalu dilaporkan mengakui mempunyai pegangan dalam satu perniagaan penternakan udang di Tanjong Karang, dan menegaskan tidak ada salahnya berbuat demikian.
Akhbar Sin Chew Daily pada hari itu melaporkan, Noh mendakwa masih belum dilantik sebagai menteri ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak itu dimilikinya.

NONEBagaimanapun, dua hari kemudian beliau menafikan mempunyai sebarang pegangan kewangan dalam projek penternakan udang di Tanjung Karang yang diuruskan oleh Pristine Agrofood Sdn Bhd.

"Pegangan" yang dimaksudkannya, seperti dilaporkanSin Chew, jelas Noh, tidak lebih daripada bermaksud tanah yang dipajakkannya kepada syarikat.

Isu berhubung projek ternakan udang tersebut pertama kali dibangkitkan Ng ketika membentangkan satu usul di DUN Selangor bagi menyekat wakil rakyat Selangor dan ahli majlis di negeri tersebut daripada membeli tanah semasa tempoh khidmat mereka.
Malaysiakini sedang mendapatkan komen susulan daripada Noh.