(Oleh Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 2 Ogos: Punca utama yuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mahal disebabkan Umno memberi projek kepada syarikat kroni, berharga RM15.4 juta setahun dengan kontrak 33 tahun berbanding sewa munasabah hanya RM6 juta setahun bagi tempoh sama, kata Rafizi Ramli.
Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, yuran mahasiswa boleh diturunkan dengan syarat kontraktor Umno menarik diri atau Kerajaan Persekutuan diubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
“Jika pemilik konsesi ini menarik diri dari perjanjian itu, yuran Kuis mampu diturunkan, namun hingga kini pemiliknya, Sulaiman Abdul Razak enggan walaupun sudah dirayu dan didesak berkali-kali.
“Maka pilihan akhir pada saudara ialah membantu mengubah kerajaan Umno BN peringkat Persekutuan kepada Pakatan Rakyat yang menawar pendidikan percuma, bukan sahaja di Kuis tetapi seluruh negara dari peringkat rendah hingga universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis dialog ‘Pendedahan Skandal Kuis: Kroni Kaya, Mahasiswa Menderita’ anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Demi Mahasiswa Kuis (DMK) di sebuah restoran berhampiran Kuis, kelmarin.
Turut berucap, Presiden SMM, Mohd Safwan Anang dan Pengerusi DMK, Azrul Tahir. Hampir 200 mahasiswa memenuhi ruangan itu sebelum berbuka puasa beramai-ramai.
Kontrak membina dan menyewakan asrama kepada mahasiswa Kuis diberi kepada Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) pada 3 Ogos 2007 di mana syarikat itu dikuasai Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang.
Namun, RSSB hanya ‘membuat untung atas angin’ apabila menyerahkan pula projek itu kepada Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama sepanjang 33 tahun itu.
Sejak beberapa tahun lalu, kumpulan mahasiswa dan ibu bapa mengadu mereka terbeban ekoran yuran Kuis sangat tinggi.
No comments:
Post a Comment