Tuesday, August 14, 2012

KEADILAN sokong kempen protes pindaan Akta Keterangan


KUALA LUMPUR 14 Ogos: Pindaan kepada Sekysen 114A Akta Keterangan 1950 menerima banyak tentangan pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sendiri.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, pindaan ini akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak dituduh, bukannya kepada pihak yang menuduh, dan ia jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan.
Katanya, secara khusus, pengguna laman sosial seperti facebook, twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain.
“Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut – jika rangkaian wifi rumah anda dicuri, di bawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan.
“Dan jika ada sesiapa yang mencipta akaun facebook, twitter atau emel mengguna nama anda, pindaan ini akan menganggap anda pemilik sebenar akaun tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Ekoran itu, KEADILAN menggesa kerajaan untuk menarik balik pindaan 114A Akta Keterangan 1950 dalam sesi Parlimen akan datang.
KEADILAN turut menggesa setiap anggotanya untuk turut serta dalam protes ini dengan menukar “avatar” atau gambar facebook, twitter, dan lain-lain ke logo #STOP114A, dan bagi yang mempunyai laman web untuk memasukkan kod “pop-up” #STOP114A yang disediakan. Maklumat lanjut di sini.
“Semoga keadilan bagi semua pengguna internet terjamin demi seluruh rakyat Malaysia,” kata Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak.
Dalam pada itu, beberapa pengendali laman web terkemuka menyatakan sokongan mereka ke atas kempen “Stop 114A” ini.
Pengunjung ke laman berkenaan akan menemui imej berwarna hitam dengan maklumat kempen oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengenai seksyen 114A Akta Keterangan.
Imej ini mula dipaparkan bermula tengah malam tadi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CIJ, Masjaliza Hamza berkata, kempen Hari Tegah Siar Internet itu kini disokong oleh laman web terkemuka, ahli politik dan juga warga maya.
Kempen ini juga katanya mendapat perhatian global apabila disebarkan melalui tulisan di twitter oleh laman antarabangsa seperti WikiLeaks.
Kempen itu juga disertai portal berita Free Malaysia Today, Keadilan Daily,Harakah Daily, Roketkini, Media Selangorku, Digital News Asia, The Nut Graph dan Merdeka Review.
Turut menyokong Majlis Peguam, Suaram, Pertubuhan Pertolongan Wanita, Aliran, Kajian Politik untuk Perubahan, Research for Social Advancement, Relevant Facts, Sparkling Analysis (Refsa), Sinar Project, SEACeM, Tindak Malaysia, Islamic Renaissance Front (IRF), Lawyers for Liberty, Perak Women for Women, Empower, Women’s Centre for Change, All Women’s Action Society (Awam) dan Sisters in Islam.

No comments: