Wednesday, August 8, 2012

Cetus ketegangan kaum, Pakatan tolak filem Tanda Putera

dipetik daripada Keadilan Daily


(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 8 Ogos: Pakatan Rakyat (Pakatan) sebulat suara menolak filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan pada 13 September ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penolakan itu disebabkan filem tersebut bakal menyemarakkan api perkauman di negara ini.
“Filem ini tiada usaha untuk menyatukan rakyat (berbilang bangsa),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya semalam.
Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah; Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Justeru Mustafa mendesak kerajaan menayangkan keseluruhan filem itu kepada Pakatan Rakyat untuk dikaji sebelum ditayangkan kepada umum.
Filem ini bakal mencetuskan kontroversi kerana memaparkan tragedi 13 Mei 1969.
Tanda Putera memfokuskan tentang kepimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Difahamkan, filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu turut memuatkan adegan pemimpin popular DAP, Lim Kit Siang kencing di bawah tiang bendera Selangor pada ketika itu.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan Kit Siang dan berkata, beliau berada di luar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Anthony menyatakan Umno BN menggunakan skrip lama untuk memburuk-burukkan DAP bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu.
“Mereka berharap tindakan tersebut akan memberi kesan undi kepada PAS dan KEADILAN kerana pengundi Melayu akan beralih kepada mereka,” katanya.
Menurut beliau, bagi mengatasi tohmahan tidak berasas itu, Pakatan akan terus menfokuskan agenda rakyat yang dipersetujui bersama.
“Apa yang kita harapkan nanti, rakyat akan tertumpu kepada agenda yang kita akan bawa untuk kebaikan seluruh rakyat,” katanya.

No comments: