Thursday, August 2, 2012

Polis paksa jurugambar padam bukti keganasan!


(Oleh Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 2 Ogos: Jurugambar akhbar The Star, P Puspanathan berkata, polis memaksa beliau memadam gambar anggota itu sedang memukul orang ramai pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.
Menurutnya, ketika bertugas di Masjid Jamek petang itu, beliau melihat polis berpakaian uniform memukul orang awam yang memakai baju kuning Bersih.
“Ketika sedang merakam tindakan ganas itu, polis mengepung dan mengarahkan supaya memadam semua gambar yang diambil.
“Saya beritahu, saya petugas media dan menunjukkan kad media kepada polis berkenaan, tetapi mereka tidak mempedulikannya. Malah polis itu juga mahu merampas kamera saya,” katanya.
Puspanathan berkata, beliau berkeras tidak mahu menyerahkan kameranya dan terpaksa memadamkan gambar kekejaman polis.
“Saya terlalu takut bila dikelilingi polis. Pada ketika itu, mereka sedang memukul orang ramai dan mungkin mereka juga akan memukul saya,” jelas beliau.
Puspanathan tampil sebagai saksi ke-20 pada sidang ke-9 pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), semalam.
Ketika ditanya adakah mengambil gambar ketika sesuatu acara berlangsung merupakan jenayah, beliau berkata, sepanjang 10 tahun menjadi jurugambar, beliau tidak pernah merasakan tindakannya itu salah.
“Saya banyak kali membuat liputan perhimpunan termasuk Bersih 3.0. Tetapi saya tak pernah berhadapan situasi seperti ini,” katanya.
Beliau percaya tindakan polis itu bertujuan memadamkan bukti keganasan terhadap orang awam.
Sidang itu dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Turut dipanggil sebagai pemerhati, wakil dari Majlis Peguam dan polis.

No comments: