Tuesday, August 14, 2012

BN cemas rakyat Sabah sokong Pakatan


(Oleh Aisha Geoffrey)
BEAUFORT 14 Ogos: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, BN cemas terhadap perubahan politik di Sabah terutama selepas kemasukan beliau dan beberapa pimpinan parti itu ke dalam Pakatan Rakyat (Pakatan).
Katanya, rakyat sekarang semakin bijak untuk menilai sama ada manisfesto yang diutarakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘gula-gula’ politik atau sebaliknya.
“Rakyat sekarang bukan seperti zaman 60-an atau 80-an dulu, mereka sudah sedar dan bijak,” kata peneraju Pakatan Perubahan Sabah (PPS) itu ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan kononnya kedatangan Anwar di Sabah hanya untuk menabur ‘gula-gula’ kepada rakyat di sana.
“Anwar bukan pemimpin kampung yang hanya tahu menabur janji, beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri yang tahu bagaimana untuk memerintah sebuah negara, beliau tahu formula untuk merealisasikan manifesto Pakatan Rakyat,” jelasnya.
Lajim turut menyifatkan laporan tersebut sebagai gimik BN yang sebenarnya semakin tidak senang duduk dengan perubahan angin politik di negeri itu.
“Rakyat di Sabah sekarang sudah berkobar-kobar untuk menukar kerajaan, dan kami PPS akan terus menyumbang kepada kekuatan Pakatan yang sedia ada,” yakin beliau.
Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort dan menubuhkan PPS yang menyokong Pakatan.
Pada 30 Julai lalu, Lajim digugur dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala keahliannya dalam Umno akan ditentukan kemudian.
Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang menyokong Pakatan.
Ini menjadikan gerakan menukar kerajaan negeri digerakkan dua komuniti terbesar di Sabah iaitu Melayu-Islam melalui PPS dan Kadazan-Dusun-Murut melalui APS.

No comments: