Tuesday, March 23, 2010

Pemuda Umno Buta Undang-Undang

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 22 Mac - Tindakan Pergerakan Pemuda Umno Selangor membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim menggambarkan ketidakfahaman mereka mengenai peranan dan fungsi Parlimen.

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak mempunyai apa-apa kesalahan politik kerana ia dibuat dalam rangka peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang.

"Pemuda Umno sebenarnya cuba memperalatkan pihak polis dengan menggunakan undang-undang dan mereka tidak faham apa itu Parlimen.

"Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu kekebalan atau imuniti Ahli Parlimen kerana isu yang di bawa Permatang Pauh tersebut dibahaskan di dalam Dewan.

"Kita tidak boleh samakan dengan jenayah sedangkan ini adalah perbahasan politik.

"Kita akan fokus kepada isu politik dan tidak akan melayan cubaan untuk menakutkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat," kata Sivarasa kepada Suara Keadilan.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail pula berpendapat undang-undang negara kita ini aneh kerana terpakai untuk kerajaan Umno-Barisan Nasional tetapi tidak kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Saifuddin berkata tindakan Pemuda Umno hanya membuang masa dan sepatutnya mereka menumpukan kepada isu besar yang dihadapi negara.

"Inilah ruang undang-undang yang disalahgunakan, mereka sebenarnya langsung tidak memahami sistem perundangan negara kita," kata beliau.

Pada Sabtu lepas Pemuda Umno membuat empat laporan polis terhadap Anwar berhubung dakwaan beliau menggunakan nama Yang DiPertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia ketika merancang untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

Royalti Minyak: Nazri Cuba Kelirukan Dewan Rakyat


Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail membawa bukti yang menunjukkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengelirukan dewan degan menggunakan hujah tidak sah.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas itu dikatakan cuba mengelirukan dewan ketika berhujah soal pertikaian tuntutan royalti minyak yang dinafikan haknya kepada kerajaan Kelantan.

Nazri ketika menggulung perbahasan peringkat dasar mengenai isu tuntutan royalti minyak pada sesi lalu, berhujah Kelantan tidak mempunyai apa-apa tuntutan kerana telaga minyak di perairan negeri itu melebihi 3 batu nautika.

Hujah Nazri itu dibuat bersandar kepada Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang kononnya menghadkan sempadan sesebuah negeri itu setakat 3 batu nautika.

"Apabila kita meneliti semula jawapan padang rengas tempoh hari yang menyebut berkenaan sempadan negeri 3 batu nautika yang berdasarkan kepada Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri itu setakat 3 batu nautika. Oleh kerana telaga minyak yang berada di perairan Kelantan itu berada melebihi 3 batu nautika maka menteri berhujah berdasarkan kepada ordinan ini Kelantan tidak mempunyai apa-apa tuntutan," kata Saifuddin.

"Kami menemui undang-undang Malaysia yang disebut Akta 216 Akta Darurat (kuasa-kuasa perlu 1979) di mana tertera di sana seksyen 13(1) yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) dengan ini dimansuhkan. Kita berpendapat pada ketika Padang rengas memberikan jawapan itu, satu perbuatan mengelitrukan dewan telah berlaku," tambah beliau.

PR Cabar Najib Pecat APCO

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional mengambil tindakan tegas ke atas APCO Worldwide dengan menamatkan kontrak mereka dengan segera.

Tindakan ini perlu disegerakan agar dunia luar lain tidak mengelarkan Malaysia bersekongkol dengan Israel yang telah diketahui tindakan zalimnya terhadap rakyat Palestin sejak 64 tahun.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff menegaskan penglibatan APCO adalah perkara yang serius perlu diketahui oleh rakyat dan mengapa kerajaan melibatkan syarikat terbabit.

"Saya nak beritahu siapa di belakang APCO, penasihat kepada APCO terdiri dari mereka yang terlibat dengan organisasi kerajaan Israel dan salah seorang dari mereka menentang rundingan damai Palestin sebelum ini. Kita tidak mahu negara kita terlibat dengan dasar Israel kerana ini membuatkan negara kita lebih parah dan bahaya.

"Barisan Nasional sepatutnya menilai sebelum melantik APCO, apa yang diberitahu merujuk kepada jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan kerajaan tidak melantik syarikat dalam dan luar negara dalam mempromosikan 1Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd dilantik oleh kerajaan dalam melaksanakan khidmat komunikasi secara meyeluruh.

"Kita lihat apa konsep komunikasi yang di bawa kerajaan kalau bukan 1Malaysia, ini yang kita tegaskan. Kita tahu siapa disebalik APCO sebab itu kita bantah penglibatan APCO kerana faktor keselamatan negara

"Selain itu juga tindakan kerajaan umpama mempertikaikan pengalaman yang ada pada rakyat Malaysia dan ini mempunyai kepentingan yang tertentu

"Kami dari Pakatan Rakyat bertegas penglibatan APCO dan akan menyampaikan maklumat yang jelas kepada rakyat tentang implikasi penglibatan APCO dalam negara lebih-lebih lagi kempen gagasan 1Malaysia. Sikap kerajaan menerima APCO umpama menerima dasar Israel yang zalim lagi kejam," jelas beliau kepada media di lobi Parlimen .

Yusmadi menegaskan penglibatan ini akan menyebabkan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana faktor keselamatan negara yang tidak akan terjamin lagi.

Friday, March 19, 2010

Zahrin minta gelaran 'Datuk Seri' dari Guan Eng


KUALA LUMPUR 18 MAC: Kelancangan melulu Datuk Seri Zahrain Hashim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam bukan satu yang menghairankan kerana ia datangnya dari seseorang yang hipokrit dan gila pangkat.

Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru itu sanggup membelakangi keputusan mesyuarat parti dan secara diam-diam menulis surat kepada Lim Guan Eng bagi memperoleh gelaran Datuk Seri walaupun kemudian melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai cauvinis dan komunis,

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition mendedahkan Zahrain pernah mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang yang dihadiri semua wakil rakyat negeri itu dan mengambil ketetapan untuk tidak meminta atau menerima apa- apa gelaran.

Namun dalam diam, bekas Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang itu menulis surat kepada Lim Guan Eng meminta gelaran 'Datuk Seri' biarpun kini mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai komunis.

"Semasa Zahrain mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang, mesyuarat memutuskan semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak akan menerima apa-apa gelaran Datuk walaupun ditawarkan.

"Apa yang dia (Zahrain) buat selepas itu? Dia menulis pada Ketua Menteri meminta gelaran tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu melabel Zahrain sebagai seorang yang hipokrit dan kini berperanan sebagai tentera baru Umno dan mengibaratkan kecaman Zahrain sebagai 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Ini karektor dia (Zahrain). Yang menariknya Bayan Baru menulis kepada pemimpin yang dia sendiri label sebagai komunis dan cauvinis semata-mata untuk meminta gelaran," katanya.

PKR balas salakan 'anjing penyerang' BN


Setiauasaha agung PKR Saifuddin Nasution (gambar) hari ini melabelkan empat bekas ahlinya yang kini menjadi ahli parlimen bebas, khususnya Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim (Bayan Baru) sebagai 'anjing penyerang' Barisan Nasional.

"Mereka digunakan sebagai 'anjing penyerang', 'askar upahan',” kata Saifuddin ketika sidang media di lobi parlimen.

Katanya, MP bebas itu kini adalah senjata terbaru BN untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana terlalu sedikit MP Bn yang mampu berbuat demikian.

Semalam, ucapan sulung Zahrain selaku wakil rakyat Bebas yang mendedahkan punca beliau meninggalkan PKR, menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain (bawah) mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".

'Pemimpin Umno hidangkan arak'

Bagaimanapun menurut Saifuddin, fenomena itu hanya halangan kecil dan tidak akan mengalihkan perhatian Pakatan daripada musuh sebenar mereka - Umno dan BN.

“BN adalah musuh politik utama kita. Kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita menghadapi mereka yang merompak kekayaan rakyat dan kita berdepan juga dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa dia didatangi oleh seorang anggota kanan MP Umno yang juga seorang menteri kabinet dan diberi amaran agar menghentikan membuat pendedahan yang memalukan Umno dan BN.

Menteri kanan itu dikatakan tidak senang dengan kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat semalam bahawa ada pemimpin Umno yang menghidangkan minuman keras pada ulang tahun perkahwinannya.

Saifuddin juga memberitahu Dewan Rakyat dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Umno ke amerika syarikat, seorang pemimpin parti itu tertidur di kasino dan gagal mengikuti rombongan berkenaan.

Wang ihsan atau royalti biar negeri uruskan-Musa Hitam


KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini, Musa(gambar) berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru akhir Januari lalu.
Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999, malam ini.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.

“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak.
Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat.

Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.
Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.

Thursday, March 18, 2010

Tanah 'ditipu', orang Asli protes di Putrajaya



Lebih 2,000 Orang Asli ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah.

Bagaimanapun kehadiran sesetengah mereka sejak jam 12.45 tengah hari tadi, dengan beberapa bas telah dilencongkan oleh pihak polis ke sebuah auditorium di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kira-kira seribu daripada mereka disuruh berdialog dengan menteri berkenaan, Datuk Seri Shafie Apdal di auditorium itu.

Kira-kira seribu lagi petang tadi berkumpul di persiaran di hadapan pejabat Perdana Menteri bersedia untuk berarak bagi menyampaikan memorandum berkenaan.

Mereka bagaimanapun dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun setelah perbincangan kira-kira 15 minit, pihak polis memberi jaminan untuk membenarkan lima orang wakil Orang Asli untuk menghantar memorandum berkenaan.

Keputusan itu disambut dengan pekikan "boo" oleh Orang Asli.

Polis juga meminta Orang Asli supaya tidak berarak dan mempamerkan kain rentang serta sepanduk mereka.

MB Selangor Dedah Lagi Penyelewengan Umno-BN di Selangor

Radzi Razak

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini mendedahkan minit mesyuarat majlis kerajaan negeri pada 1987 mengenai status pengasingan tanah di Subang Jaya iaitu Taman Rekreasi Subang Ria.

Maklumat yang diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi itu menunjukkan bagaimana kerajaan Selangor ketika masih dicengkam pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) menjual tanah terbabit kepada Sime Darby UEP.

Mendedahkan hal itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bayaran tanah yang dijual kepada Sime Darby pula jauh lebih tinggi dari nilai sebenar.

Mengikut minit mesyuarat itu, katanya, United Estate Berhad memohon tanah seluas 76.5 ekar di Petaling yakni ekarang Subang Jaya pada 1987 untuk kegunaan rekreasi.

Beliau berkata, bayaran premium yang dikenakan untuk tanah tersebut ketika itu berjumlah 4.95 juta sedangkan nilai pasaran hanyalah 1.57 juta.

"Bagaimanapun, urusan itu tidak melibatkan wang, sebaliknya Sime Darby membeli 10 rumah untuk digazetkan sebagai kuaters kakitangan pejabat daerah petaling ketika itu.

Khalid berkata, rumah itu diserah kepada kerajaan Selangor dan digazet sebagai rumah untuk Penolong Pegawai Daerah Petaling dan Setiausaha Majlis Daerah Petaling.

"Kesemua unit runah ini terletak di SS 19 Subang Jaya. Cadangan ini telah diluluskan Mesyuarat MMKN ketika itu," katanya.

Katanya, ia mencetuskan kontroversi berikutan Taman Rekreasi Subang Ria hendak dimajukan sebagai kawasan perumahan oleh Sime Darby mendapat tentangan hebat penduduk.

"Sebagai pemilik tanah yang berhak, Sime Darby UEP tidak boleh dihalang dari membuat pelan pembangunan. Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan penduduk di Subang Jaya mendapat kawasan hijau secukupnya.

"Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan tidak akan menjejaskan hak rakyat dan semua keputusan dibuat secara telus dan tanggungjawab dan selari dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor.

Saturday, March 13, 2010

Perhimpunan bantah GST di Parlimen Isnin ini



Satu perhimpunan aman bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diadakan seperti yang dirancang Isnin ini, kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Perhimpunan aman itu akan diadakan selama sejam, mulai 9 pagi di sekitar kawasan jejambat Lebuh Raya Mahameru, berdekatan bangunan Parlimen, sebelum sidang baru Dewan Rakyat bermula, Isnin ini.

Dr Hatta menjangka kira-kira 2,000 orang akan menyertai perhimpunan itu termasuk ahli parlimen Pakatan Rakyat dan anggota pertubuhan hak asasi manusia dan parti-parti pembangkang yang membantah pelaksanaan GST.

"Pukul 10 kita akan bersurai kerana semua ahli parlimen akan membahaskan perkara ini di dalam dewan selepas itu.

"Semuanya sudah bersedia, tunggu untuk berhimpun sahaja," kata Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai.

Sebelum ini, Dr Hatta (kiri) dilaporkan berkata perhimpunan itu diharap berjaya menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang akan merasmikan perbahasan Dewan Rakyat.

Rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Dr Hatta Ramli juga dilaporkan berkata kumpulan berkenaan membantah pelaksanaan GST kerana ia membebankan golongan miskin. Ia berslogankan 'Cukai yang memiskinkan rakyat, Gagalkan sebelum terlambat'.

Sebelum ini juga, terdapat juga forum-forum dianjurkan oleh NGO dan parti politik, membantah pelaksanaan cukai tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Dr Hatta berkata tidak ada sebarang perarakan Isnin ini.

Menurutnya, segala persediaan untuk menjayakan perhimpunan itu termasuk persiapan dari sudut keselamatan turut dititikberatkan.

Mengulas lanjut, Dr Hatta yang akan mengetuai perhimpunan tersebut menjelaskan pihaknya tidak memohon permit kerana menyifatkan ia merupakan perhimpunan aman.

Ditanya sama ada pihaknya memaklumkan perkara itu kepada polis, Dr Hatta berkata: "Kita rasa mereka sudah tahu, perkara ini bukan rahsia lagi".

Friday, March 12, 2010

Ibrahim pernah jadi pengarah syarikat Vincent Tan


Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim hanya mentertawakan tuduhan yang mempersoalkan kewibawaannya sebagai aktivis Melayu ekoran kaitannya dengan jutaan Cina, Tan Sri Vincent Tan.

Tuduhan itu tersebar di internet empat hari selepas beliau mengecam tokoh-tokoh korporat Cina, termasuk Tan Sri Vincent Tan, yang digelarnya 'tauke' dan "mendominasi" ekonomi dan seterusnya menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik dan sosial.

Bagaimanapun, tersebar laporan di internet yang menunjukkan hubungan Ibrahim dengan syarikat Dunham-Bush Malaysia, yang pernah dimiliki Tan.

Penulis blog Raja Petra Kamaruddin menyiarkan dalam lamanwebnya Malaysia-Today, salinan laporan tahunan 2003 syarikat berkenaan yang menunjukkan Ibrahim adalah salah seorang anggota lembaga pengarahnya.

Ketika menjawab SMS dari Malaysiakini, Ibrahim berkata tidak ada salahnya urusan perniagaannya dengan Tan kerana ia tidak menolak hakikat bahawa tokoh-tokoh besar perniagaan Cina mendominasi bidang ekonomi.

Sebaliknya, kata Ibrahim, beliau bercakap mengenai ekonomi makro dan isu-isu dalam gambaran lebih besar.

Beliau bertanya apakah masalahnya jika beliau berurusan perniagaan dengan ramai rakan-rakan Cina dan mempunyai rakan kongsi Cina.

Wednesday, March 10, 2010

PRESTASI KERAJAAN NEGERI-NEGERI PAKATAN RAKYAT SEPANJANG DUA TAHUN




Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional.


SELANGOR


Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20,753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM2.752 bilion (40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010. Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.


PULAU PINANG

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri (ketiga tertingi). Dasar CAT (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan (surplus) sebanyak RM88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM35 juta (belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM97 ribu per sekolah, RM60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM63 ribu kepada setiap sekolah Tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM11.3 juta.


KEDAH

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran Umno-BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.


KELANTAN

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri.

Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan.

Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kehadiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT

Tiada Tempat Zulkifli Nordin Dalam PAS-Mustafa Ali




Setiausaha Agung PAS,Datuk Hj Mustafa Ali malam tadi telah menegaskan PAS tidak akan menerima Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menjadi ahli PAS. Beliau menegaskan pendirian PAS tersebut dalam Ceramah Semboyan Halilintar ke Putrajaya di Oakland Commerce Square, Seremban 2, Seremban yang dihadiri lebih 10 ribu orang.

"Hari ini malam ini, saya menyatakan dengan tegasnya, Zul tidak ada tempat dalam PAS...PAS tidak akan menerima Zulkifli Nordin untuk masuk PAS!" tegas Datuk Mustafa Ali yang mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin.

Beliau turut menjelaskan Zulkifli Nordin juga telah memanipulasikan kenyataan media Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Man Tuan Ibrahim sedangkan Dato' Tuan Man menyatakan proses untuk masuk PAS perlu isi borang dan majlis kepimpinan akan membuat keputusan untuk menerima atau menolak permohonan keahlian.

Datuk Mustafa Ali juga turut membangkitkan isu lompat beberapa Ahli Parlimen PR menjadi bebas, kes kehilangan engin jet TUDM dan kes kerosakan kapal selam yang tidak boleh menyelam.

Saturday, March 6, 2010

Program PR NS Minggu Ini


CERAMAH PERDANA ULANGTAHUN KEDUA KEMENANGAN PRU 12 PR NS
"SEMBOYAN HALILINTAR KE PUTRAJAYA"
9 MAC 2010/SELASA
8.30 MALAM
OAKLAND COMMERCE SQUARE, SEREMBAN 2(BELAKANG HOSPITAL COLUMBIA)
PENCERAMAH UTAMA:
YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM, YB LIM KIT SIANG & YBHG DATUK MUSTAFA ALI

Program Keadilan N9 Minggu Ini

Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Rasah
7 Mac 2010/ Ahad
2.30 pm
Pejabat MPN NS, Jalan Rahang, Seremban

Thursday, March 4, 2010

PAK LAH ANGGAP BN BELUM KUAT WALAU BEBERAPA MP PKR KELUAR PARTI – harakah daily


PUTRAJAYA, 3 Mac: Abdullah Ahmad Badawi tidak melihat bahawa BN kini telah menjadi kuat berikutan beberapa ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan keluar parti.

“BN jangan menganggap dengan apa yang berlaku kepada pembangkang, BN akan automatik menjadi kuat. Setakat nak harap jadi kuat dan menang hanya kerana pembangkang sedang menghadapi masalah saya ingat harapan itu akan meleset,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sebuah restoran di Putrajaya hari ini.

Abddulah mendesak BN agar melaksanakan janji pilihanraya dan juga reformasi dalaman yang dilaung-laungkan hingga menyebabkan beliau terpaksa meletakan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno sebelum ini.

Beliau adalah korban pertama dalam reformasi yang dicanangkan Umno-BN selepas kekalahan teruk BN pada Pilihanraya Umum 2008.

Ketika BN menang besar pada 2004 Abdullah disanjung melangit, namun dengan kekalahan paling teruk dalam sejarah BN pada 2008 ramai pemimpin ada ahli Umno mahu beliau berundur secara terhormat.

Abdullah jelas masih melihat kekuatan Pakatan Rakyat tidak tergugat kerana yang keluar parti itu hanyalah Ahli Parlimen yang dalam Pilihanraya akan datang belum tentu akan bertanding lagi.

Kedudukan Pakatan dan BN dalam pilihanraya akan datang adalah dari undi rakyat dan kedua-dua pihak masih dilihat mempunyai pengaruh yang seimbang.

YB MOHSIN PERLU LETAK JAWATAN SEGERA

1. Alasan-alasan yang diberikan oleh YB Mohsin Fadzli Samsuri untuk menjustifikasikan tindakannya keluar parti pada sidang akhbar semalam nampak jelas sebagai direka-reka bagi menutup kelemahan-kelemahan beliau.

2. Semua aktivis KEADILAN di Bagan Serai sudah dapat melihat beberapa kelemahan Ahli Parlimen tersebut tidak lama selepas beliau menjadi wakil rakyat. Kelemahan-kelemahan yang ketara ialah:

- Masalah kewangan beliau yang amat mendesak dan sikap lokek beliau dalam hal-ehwal kewangan yang menimbulkan reputasi buruk di kalangan masyarakat.

- Gagal memberi masa dan tumpuan dalam memberi khidmat kepada masyarakat sehingga menjejaskan nama baik Pakatan Rakyat.

- Gagal menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan Ahli-ahli Jawatankuasa KEADILAN di peringkat cabang dan ranting.

- Komitmen yang lemah kepada Majlis Pimpinan Negeri Perak yang dibuktikan dengan ketidakhadiran yang berterusan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri.

3. Sebagai seorang yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik, YB Mohsin amat lemah dalam menangani ujian dan dugaan sebagai seorang yang telah diberi amanah oleh rakyat. Jika beliau merasakan tidak mampu memikul amanah yang berat ini, langkah yang sepatutnya diambil ialah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Malangnya, beliau membiarkan dirinya terjebak dalam permainan kotor Barisan Nasional sekaligus meletakkan maruah dirinya ke tahap yang paling rendah.

4. Masih belum terlambat untuk YB Mohsin Fadzli Samsuri untuk menyelamatkan maruah diri dan keturunannya. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan nama baiknya ialah dengan meletak jawatan Ahli Parlimen dengan segera. Selagi mana beliau tidak melepaskan jawatan tersebut, maka dosa atas pengkhianatannya kepada 18,943 orang pengundi Bagan Serai akan bertambah setiap minit.



MADZI HASAN
Naib Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri Perak