Thursday, March 4, 2010

YB MOHSIN PERLU LETAK JAWATAN SEGERA

1. Alasan-alasan yang diberikan oleh YB Mohsin Fadzli Samsuri untuk menjustifikasikan tindakannya keluar parti pada sidang akhbar semalam nampak jelas sebagai direka-reka bagi menutup kelemahan-kelemahan beliau.

2. Semua aktivis KEADILAN di Bagan Serai sudah dapat melihat beberapa kelemahan Ahli Parlimen tersebut tidak lama selepas beliau menjadi wakil rakyat. Kelemahan-kelemahan yang ketara ialah:

- Masalah kewangan beliau yang amat mendesak dan sikap lokek beliau dalam hal-ehwal kewangan yang menimbulkan reputasi buruk di kalangan masyarakat.

- Gagal memberi masa dan tumpuan dalam memberi khidmat kepada masyarakat sehingga menjejaskan nama baik Pakatan Rakyat.

- Gagal menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan Ahli-ahli Jawatankuasa KEADILAN di peringkat cabang dan ranting.

- Komitmen yang lemah kepada Majlis Pimpinan Negeri Perak yang dibuktikan dengan ketidakhadiran yang berterusan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri.

3. Sebagai seorang yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik, YB Mohsin amat lemah dalam menangani ujian dan dugaan sebagai seorang yang telah diberi amanah oleh rakyat. Jika beliau merasakan tidak mampu memikul amanah yang berat ini, langkah yang sepatutnya diambil ialah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Malangnya, beliau membiarkan dirinya terjebak dalam permainan kotor Barisan Nasional sekaligus meletakkan maruah dirinya ke tahap yang paling rendah.

4. Masih belum terlambat untuk YB Mohsin Fadzli Samsuri untuk menyelamatkan maruah diri dan keturunannya. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan nama baiknya ialah dengan meletak jawatan Ahli Parlimen dengan segera. Selagi mana beliau tidak melepaskan jawatan tersebut, maka dosa atas pengkhianatannya kepada 18,943 orang pengundi Bagan Serai akan bertambah setiap minit.



MADZI HASAN
Naib Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri Perak

No comments: