Saturday, November 22, 2008

Isu ladang babi: RTM,TV3 berniat jahat terhadap Kedah

Dipetik daripada HarakahDaily.net
Mohd Khalil Abdullah
Sat | Nov 22, 08 | 2:51:45 pm MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Media pro Umno-Barisan Nasional (BN) sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang didukungi oleh PAS,KeADILan dan DAP. Iklan

Jika sebelum ini, media cetak memainkan peranan dengan menjadi agen penyebar dakyah dan permainan licik politik BN,kini media elektronik menjadi senjata apabila RTM dan TV3 cuba memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini mendedahkan bagaimana kerajaan Kedah dijadikan mangsa dengan corak pemberitaan yang memesongkan dan berniat jahat.

Menurutnya, siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008 mendedahkan tembelang sebenar kedua-dua stesen televisyen tersebut apabila menyiarkan berita yang jauh terpesong dan berniat jahat.

"Kedua-dua siaran tv ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

"Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan telah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009),"jelasnya.

Tambahnya,siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

"Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman,"katanya lagi.

Helmi juga mendedahkan,sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

"Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesen televisyen swasta berkenaan dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Beliau juga menambah, bahawa Ustaz Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan,kata Helmi, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Oleh itu katanya, dari penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

"Adalah di luar dari jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedah lebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekalipun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah membina ladang ternakan babi yang luas, jika andaian saya ini benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil,"tegasnya.

Pimpinan Pakatan Rakyat kecam media pro Umno-BN

Sementara itu, baru-baru ini pemimpin Pakatan Rakyat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sepakat mengecam konspirasi media pro Umno-BN yang sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media pro Umno-BN itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin.

Perkara ini didedahkan oleh ketiga-tiga mereka pada 'Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat' yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang dekat sini baru-baru ini.

Presiden PAS dalam penegasannya bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Kata beliau, peri pentingnya media telah dibuktikan oleh MCA dengan mengambil alih dua buah akhbar utama berbahasa Cina, Nyangyang Siang Pau dan Sin Chew Daily selepas pilihan raya kecil Lunas bagi menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta editor Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin.

"Media sekarang ini mainkan isu perkauman. Bangkitkan isu agama. Seolah-olah terdapat pergeseran dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan ini amat merbahaya," tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Justeru itu, ketiga-tiga pemimpin mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno-BN.

Friday, November 21, 2008

Anwar lancar kempen anti-ISA Ahad ini

Dipetik daripada Malaysiakini.com
Jimadie Shah Othman | Nov 21, 08 3:07pm
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Ahad ini.

Majlis pelancaran tersebut akan berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada jam 9 malam.

Kempen tersebut adalah anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut serta membebaskan semua tahanan ISA tanpa syarat.

Acara kemuncaknya adalah perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Mac tahun depan.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, selain Anwar, pemimpin parti anggota Pakatan Rakyat yang lain juga akan berucap di majlis tersebut.

Mereka adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP, Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur.

Turut dijemput berucap di majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub, yang juga ahli Parlimen Kubang Krian.

Menurut Syed Ibrahim, beliau juga akan turut berucap di majlis tersebut.

Teater 'Bilik Sulit'

Beliau menjangka kira-kira 5,000 akan menghadiri majlis pelancaran tersebut sebagai tanda sokongan mereka terhadap kempen mansuhkan ISA.

Syed Ibrahim berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan Selasa lalu untuk mendapat permit polis.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menunggu jawapan daripada pihak polis.

Katanya, selepas majlis pelancarannya Ahad ini, GMI akan mengadakan siri program menjelang Mac depan.

Program pertama siri kempen tersebut berupa persembahan teater bertajuk "Bilik Sulit" arahan bekas tahanan ISA, Hishamuddin Rais.

Syed Ibrahim berkata tarikh persembahan tersebut ialah pada 10 Disember depan tetapi tempatnya belum diputuskan lagi.

Sempena majlis pelancaran tersebut Ahad ini, katanya, pihak penganjur akan menjual pelekat dan lencana mansuhkan ISA kepada orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan 10,000 pelekat dan lencana untuk tujuan tersebut.

Friday, November 14, 2008

Kes Anwar: Rayuan pindah kes didengar 20 November


dipetik daripada Malaysiakini.com

Nov 14, 08 10:45am
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 20 November ini untuk mendengar rayuan pihak pendakwa bagi memindahkan perbicaraan kes liwat yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Hakim S M Komathy Suppiah menangguhkan untuk menetapkan tarikh perbicaraan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan dan semakan terhadap keputusan yang dibuat oleh Komathy menolak permohonan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi pada 7 November lalu.

Oleh itu, ujar Mohd Yusof, pihak pendakwaan memohon agar perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga rayuan untuk memindahkan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi selesai.

Mahkamah Sesyen yang bersidang pagi ini dijadual menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes tersebut didengar oleh Hakim SM Komathy Suppiah.

Bagaimanapun, pihak pendakwa mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga selesai rayuannya terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.

Jumaat lalu Komathy menolak permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Komathy memutuskan bahawa perintah pemindahan kes tersebut yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah tidak sah.

Katanya, kes itu menimbulkan situasi yang unik di mana pembabitan peguam negara akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran keadilan jenayah.

Bagaimanapun, pagi ini, pihak pendakwa mengemukakan permohonan kepada Komathy supaya tidak menetapkan tarikh perbicaraan kes ini sehingga rayuan mereka terhadap keputusannya itu, diputuskan.

Peguam Anwar membantah permohonan pendakwa itu. Mereka juga mengadu tidak menerima beberapa dokumen dari pihak pendakwaraya seperti yang dijanjikan minggu lalu.

Komathy belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan pihak pendakwa itu.

Thursday, November 13, 2008

Kursus Usahawan Cacing Vermikompos


Sebahagian dari 74 orang peserta yang menyertai kursus



(dari kiri) YB Dato' Kamarul, YBhg. Dato' Zainuddin dan rakan-rakan ketika meninjau lokasi penternakan cacing vermikompos di Telok Kemang.

Bahagian Telok Kemang dengan kerjasama ZH Agro Bina Enterprise telah menganjurkan Kursus Usahawan Cacing Vermikompos pada 9hb November 2008, Sabtu lalu.

Seramai 74 orang peserta telah menyertai kursus ini yang bermula jam 8.30 pagi.Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas telah merasmikan kursus tersebut.

Dalam ucapan aluannya, YB Dato' Kamarul mengucapkan tahniah di atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para peserta dalam menyertai kursus ini. Kursus ini julung-julung kali dianjurkan secara PERCUMA, dan tidak pernah ada mana-mana agensi dalam negara ini yang pernah menganjurkan kursus sebegini secara percuma. Untuk itu, YB Dato' menyeru agar peluang yang diberikan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta.

Majlis Deepavali ADUN Port Dickson




Pada 8hb November 2008 lalu, Majlis Deepavali ADUN Port Dickson, YB M.Ravi telah diadakan. Majlis tersebut berlangsung di rumah YB M.Ravi di Taman Tanjung Gemuk,Port Dickson.

Majlis ini telah dihadiri Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas, YB Xavier Kumar ADUN Andalas, YB Aminuddin Harun ADUN Sikamat dan lebih dua ribu penduduk sekitar.

Pada majlis itu juga, Dato' Kamarul Baharin Abbas turut menyampaikan sumbangan kepada orang ramai. Majlis bermula jam 6.00 petang dan berakhir pada pukul 10.00 malam.

Tuesday, November 11, 2008

Aziz pengerusi baru SPR, ganti Rashid.


Dipetik daripada Malaysiakini.com
Ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuatkuasa mulai 31 Dis ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Abdul Aziz mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Abdul Aziz, 58, berkuatkuasa mulai 31 Dis ini sehingga beliau genap berusia 66 tahun, selaras dengan Fasal (3) Perkara 114
Perlembagaan Persekutuan, kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 24 Jan 1950.

Beliau, yang sebelum bersara wajib pada 24 Jan 2006 berkhidmat sebagai ketua setiausaha KDN, dan dilantik semula memegang jawatan yang sama secara kontrak.

Pelantikan Abdul Aziz sebagai pengerusi SPR adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang tamat tempoh perkhidmatan kerana mencapai umur 66 tahun pada 30 Dis ini.

Friday, November 7, 2008

Tandatangan AG tidak sah; Kes DSAI kekal di Mahkamah Sesyen

dipetik dari Suara Keadilan Online

Jumaat, 7 November 2008 • Kategori: Berita Utama
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan keputusan kes perbicaraan Anwar Ibrahim di teruskan di mahkamah yang sama, dan sijil pindah kes ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Peguam Negara Abdul Gani Patail adalah tidak sah.

Melapor terus dari Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim SM Komathy Suppiah menetapkan pusingan kedua (pendengaran kes) perbicaraan Anwar Ibrahim bermula 14 November nanti.

Keputusan ini membuka laluan kepada perbicaraan kontroversi ini ekoran tuduhan liwat yang difailkan oleh bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sebelum ini, pihak peguambela membantah permohonan pihak pendakwaraya untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi ekoran sijil pindah itu ditandatangani oleh Abdul Gani Patail. Peguambela berhujah Mahkamah Sesyen bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan kes diteruskan tanpa gangguan dari Gani Patail yang kini disiasat.

Gani Patail dituduh menyalahgunakan kuasanya dengan meminda bahan bukti dalam perbicaraan Anwar 10 tahun lalu. Dari afidavit dan keterangan di mahkamah, Gani Patail dituduh mengarahkan doktor yang merawat Anwar Ibrahim memfailkan laporan palsu berhubung kesihatan mantan Timbalan Perdana Menteri itu yang dipukul sehingga separuh mati oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Abdul Rahim Noor.

Mahkamah perintah Petra dibebaskan


Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

Hakim Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.

Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

Penulis blog ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.

Raja Petra bebas jam 4 petang hari ini!

dipetik dari Suara Keadilan Online
oleh Syukree Hussain

SHAH ALAM, 7 November, (SK) - Pengendali Laman Web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin akan dibebaskan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar jam 3.30 petang di Mahkamah Tinggi Shah Alam apabila hakim memerintahkan pembebasannya segera.

Kini, Raja Petra sedang bersiap sedia untuk dibawa ke Shah Alam dari Kamunting dan dijangka tiba di perkarangan mahkamah sebelum pukul 4 petang ini.

Menurut isterinya, Marina Abdullah, beliau memanjat syukur kepada Allah SWT kerana akhirnya perjuangan rakyat Malaysia yang menuntut suaminya dibebaskan berjaya.

“Namun, saya dan suami serta rakan-rakan akan meneruskan perjuangan supaya kem kamunting ditutup dan seterusnya semua tahanan ISA dibebaskan serta ISA dimansuhkan,” katanya yang dihubungi oleh Suara Keadilan sebentar tadi.

Mahkamah membuat keputusan tersebut melalui habeas corpus yang dibuat oleh peguam Raja Petra supaya beliau dibebaskan daripada tahanan ISA.

Beliau telah ditahan pada 12 September lalu sebelum dihantar ke Kem Tahanan Kamunting pada 23 September.

Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar telah menandatangani perintah penahana terhadap Raja Petra beberapa hari sebelum ini, dibawah seksyen 8(1) ISA.

Di bawah akta ini, penahanan ialah selama dua tahun tanpa sebarang perbicaraan dan boleh disambung pada bila-bila masa.

[Berita pembebasan Raja Petra akan disiarkan sekitar jam 5pm]

Thursday, November 6, 2008

Anwar: Kemenangan Obama bukti perubahan boleh berlaku


BARACK Obama (atas) dipilih sebagai presiden baru Amerika Syarikat, warga berkulit hitam Afrika-Amerika pertama menduduki Rumah Putih dan Calon Republikan, John McCain, (bawah) mengaku kalah dan mengucapkan tahniah atas kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER (SK) - Kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika adalah satu mirip kejayaan perubahan yang sama seperti rakyat Malaysia yang inginkan.

Menurut Ketua Pakatan Rakyat (PR) Anwar Ibrahim, kemenangan Obama itu merentasi kaum, generasi dan agama seperti mana kejayaan PR memenangi beberapa buah negeri.

“Sokongan yang diterima bakal Presiden Amerika ini merentasi batas kaum, agama dan generasi, malah mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku pada bulan Mac lalu apabila rakyat Malaysia memilih untuk menolak rejim Barisan Nasional yang masih terikat dengan polisi usang dan gagal,” katanya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Semalam, Obama dari Parti Demokrat mencipta sejarah apabila beliau orang kulit hitam yang pertama memenangi pilihanraya Presiden negara berkenaan dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.

Obama, mengalahkan calon lawan dari Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakan beliau menduduki kerusi di White House.

McCain yang bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon Naib Presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.

Anwar yang juga Ketua Umum KeADILan, turut berharap agar Presiden Amerika Syarikat yang baru, Barack Obama akan memperlihatkan kepimpinannya berhubung isu-isu ini berbanding pentadbiran lepas yang gagal untuk berbuat demikian.

Tambahnya di bawah pentadbiran Obama, hubungan dan dialog di antara negara-negara Muslim dan Amerika Syarikat mempunyai harapan yang lebih cerah

“Isu-isu di Timur Tengah sememangnya memerlukan komitmen terhadap diplomasi yang konsisten, bersedia untuk menyertai dialog yang lebih bermakna dan tidak bertindak sendirian tanpa menghiraukan suara-suara serta pendapat lainnya,” katanya dalam kenyataan terbabit.

Katanya lagi, Obama hanya bermula dengan satu harapan yang hampir mustahil akan tetapi berani, kini ianya sudah menjadi kenyataan.

“Hasrat beliau untuk memulakan halatuju baru hubungan di antara Amerika Syarikat dan seluruh dunia amat dialu-alukan,”kata Anwar.

Sementara itu, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akim turut mengucapkan tahniah kepada Obama.

“Kemenangan besar Obama memberi satu contoh teladan kepada rakyat Malaysia bahawa politik berasaskan warna kulit yang sudah lapuk, tidak perlu diamalkan politik sempit,” katanya ketika dihubungan oleh Suara Keadilan Online.

Katanya, di samping terbukti bahawa Obama mendahului dan telah mewarnakan senario politik dan membuka mata dunia, umumnya. - msh

Bajet tidak sah, pembentang Najib ditolak

dipetik dari Suara Keadilan Online
oleh Syukree Hussain

PARLIMEN, 6 November (SK) - Parlimen membuat keputusan menolak bajet tambahan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Najib Razak semasa menggulung Bajet 2009 pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Pakatan Rakyat (PR) Anwar Ibrahim, bajet tambahan yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu tidak sah dan melanggar peraturan mesyuarat Parlimen.

Perkara itu berlaku kerana apa yang dilakukan oleh Najib ialah membentangkan bajet baru bukan menggulung bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi pada 29 ogos lalu.

“Jika ‘bajet Najib’ diluluskan maka ia melanggar peraturan kerana yang diedarkan kepada kami ‘bajet Abdullah’, dan ‘bajet Najib’ belum diedarkan.

“Jadi peruntukan perbelanjaan pertanian dan pendidikan sudah berbeza,” jelas ahli Parlimen Permatang Pauh dalam sidang media semalam.

Tambahnya, bila giliran menteri menggulung, jika tidak faham dan ada apa-apa soalan daripada ahli dewan maka menteri perlu jawab.

“Tapi apa yang berlaku, tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen kita.

“Selepas satu jam dua atau tiga menyoal kemudian tutup dan lulus. Inilah sebenarnya rancangan beliau, saya dengar sendiri apa yang dikataan kepada editor,” hurainya yang merupakan Ketua Umum KeADILan.

Mengikut pengalaman beliau, katanya, perlu ada usul diedarkan untuk makluman ahli-ahli Parlimen.

Anwar pernah memegang jawatan Menteri Kewangan di zaman Tun Mahathir sebelum dipecat dalam satu kospirasi politik.

Bajet Abdullah dibahas, bajet Najib diluluskan

Sementara itu, ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang menganggap perbahasan dan penggulangan yang dijalankan di sebelah pagi semalam dan kelmarin adalah membuang masa kerana itu adalah pembentang bajet baru Najib.

“Tambahan 700 juta ini merupakan bajet baru dan mesti dibentangkan kepada Parlimen sebelum diluluskan,” tegasnya yang juga merupakan ahli Parlimen Ipoh Timur.

Namun, katanya, apa yang dilakukan oleh Najib adalah sesuatu yang sangat pelik kerana dua bulan lepas ‘bajet Abdullah’ dibahasakan, tetapi hari semalam, ‘bajet Najib’ yang diluluskan.

Akibat tekanan daripada PR yang diketuai oleh Anwar tentang perkara terbabit, akhirnya, persidangan Parlimen semalam terpaksa ditangguhkan lebih dua jam bermula 12.15 tenggah hari semalam.

Pada jam 2.30 petang, apabila mesyuarat disambung semula, Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat keputusan bahawa ‘bajet Najib’ itu tidak sah dan melanggar peraturan.

Oleh itu, perbahasan Bajet 2009 disambung hanya membenarkan perbahasan peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu dan tidak menerima pakai selain pandangan dan hujah yang dibentangkan oleh Najib semalam.

Pada Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM700 juta dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara semasa menggulung pembentangan bajet 2009.

Sementara itu, dalam sidang media selepas mesyuarat ditangguhkan, Anwar penjelaskan setiap pindaan yang hendak dibuat di Parlimen mesti diberitahu dua hari sebelum isu tersebut dibahaskan.

“Kalau hendak membuat pindaan hendaklah diberi notis dua hari, ia ada dalam perkara 66 (15) yang menyatakan pindaan dikehendaki diberitahu sekurang-kurangnya dua hari dan ada usul diedarkan.

Perangai Najib membahayakan negara

Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan senario yang berlaku, di mana bakal Perdana Menteri itu mengabaikan peraturan dan undang-undang dalam pembentangan bajet.

“Jika perkara ini berterusan, ini akan membahayakan negara kerana beliau mengabaikan perkara yang penting,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Penasihat DAP dan Setiausaha Agung Pas Kamarudin Jaffar.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tindakan Najib ini adalah satu petanda buruk kepada negara.

Ujarnya ini kerana beliau masih belum memegang jawatan Perdana Menteri tetapi sudah berlagak dan cara beliau menyalahi undang-undang.

Beliau berkata demikian, ketika mengulas tindakan Najib tidak membenarkan sesiapa mencelah untuk mendapat penjelasan sewaktu menggulung bajet 2009.

Terdahulu pada sebelah pagi, ketegangan dan suasana panas di Dewan Rakyat berterusan sehingga memaksa Wan Junaidi menangguhkan sidang selama dua jam.

Beliau berkata, Speaker akan mempengerusikan mesyuarat pada sesi petang bagi menjelaskan mengenai Bajet 2009 yang dibentangkan sebelum ini serta sumber kewangan sebanyak RM700 juta selepas mendapat penjelasan daripada Kementerian Kewangan.

Sebelumnya, ahli Parlimen PR berkata mereka keliru dengan angka yang diumumkan Najib semalam dengan angka yang diumumkan Abdullah yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2009.

Pada Selalu lalu, kesemua ahli Parlimen PR memulaukan ucapan penggulungan Najib mengenai perbahasan Bajet 2009 selepas beliau tidak memberi laluan selama satu jam di peringkat awal untuk mengemukakan soalan.

Mereka bertindak keluar dan tidak masuk semula sehingga Najib habis berucap.

Wednesday, November 5, 2008

dipetik dari Malaysiakini.com
Hishamuddin Rais | Nov 5, 08 5:06pm
Hegemoni ketuanan Melayu yang disebarkan oleh United Malays National Organisation kelihatan telah dapat memerangkap dan menjaring fikrah sebahagian ahli PKR.

Ketuanan Melayu ini juga "mencelarukan pandangan agama" sebahagian anggota-anggota PAS. Ketuanan Melayu ini juga memperlihatkan pandangan cetek dan cauvanis sebahagian ahli DAP.

Kelemahan ini jelas terpampang dalam kes pelantikan pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Pelantikan ini telah mencarikkan kulit ahli-ahli PKR, PAS dan kulit ahli DAP sehingga menampakkan kemelayuan, kecinaan dan keislaman mereka yang jumud lagi pencong.

Semua ini membuktikan bahawa falsafah ketuanan rakyat yang diajukan oleh Pakatan Rakyat masih belum difahami untuk dihayati secara mendalam.

Ketuanan rakyat ialah falsafah yang tidak menobatkan Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan, Dayak atau Melanau. Ketuanan rakyat tidak berpaksikan bangsa atau agama. Ketuanan rakyat melihat keupayaan individu. Ketuanan rakyat melihat keperluan individu. Ketuanan Rakyat mengungguli dan menobatkan seseorang bukan kerana seseorang ini Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan atau apa sahaja.

Ketuanan rakyat mengajukan dasar membela kepentingan dan keperluan satu-satu kumpulan baik Melayu, baik Islam, baik Cina atau India. Semua bangsa dan semua agama akan dibantu jika mereka memerlukan bantuan. Wajib dan perlu dibantu bukan berasaskan Melayu, Islam, Cina, India, Kadazan – tetapi berasaskan yang paling layak mendapat bantuan.

Ketuanan rakyat menobatkan keupayaan, kejaguhan dan fikrah individu. Ketuanan rakyat mengajukan dasar meritokrasi.

Kita melihat selama 50 tahun bagaimana dasar ketuanan Melayu telah memporak-perandakan lembaga-lembaga asas yang menjadi tiang pasak kewujudan negara kita ini. Lihat bagaimana ketuanan Melayu telah memerosotkan lembaga-lembaga keilmuan – dari sekolah rendah hingga ke universiti, semuanya merosot.

Atas dasar hendak memperbanyak pelajar Melayu akhirnya sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti kita lingkup. Tahun demi tahun tahap pembelajaran kita merosot. Semua ini kerana dasar hendak meramaikan Melayu ke pusat pengajian tinggi. Hasilnya ramai Melayu dapat belajar tapi nilai ilmunya di bawah sifar.

Melantik Melayu menjadi naib canselor tidak mencukupi. Cap Melayu tidak akan menjanjikan keunggulan ilmu. Keilmuan seseorang itu bukan kerana dia memiliki cap Melayu atau kerana dia ada cap Islam atau kerana dia ada cap Cina. Keilmuan individu wujud kerana individu itu berilmu.

Ketrampilan individu bukan kerana bangsa atau agamanya tetapi kerana keilmuan dan keupayaan fikrah individu itu.

Lihat bagaimana ketuanan Melayu telah meruntuhkan lembaga kehakiman negara ini. Atas dasar hendak menaikkan dan meramaikan Melayu di lembaga perundangan, hasilnya kita lihat bagaimana peguam dan hakim dalam mahkamah boleh dibeli dan dirasuah.

Apabila terjadi sedemikian, yang dinaikkan bukan ilmu dan keadilan. Yang dijadikan pedoman bukan prinsip undang-undang tetapi Melayu. Gejala ini bukan lagi satu rahsia. Semua warga sedar bahawa lembaga kehakiman kita boleh dibeli. Ertinya keadilan dalam negara kita ini bukan lagi berasaskan siapa yang betul dan siapa yang benar.

Apa yang sedang berlaku - lembaga kehakiman akan dilihat betul, benar dan menjadi adil jika ia Melayu atau Islam. Pandangan ini salah.

Keadilan dilahirkan bukan kerana Melayu, Islam, Cina atau Kadazan. Keadilan wujud kerana yang adil itu adalah yang berhak. Yang hak itu berasaskan undang-undang yang adil yang telah diwujudkan secara adil. Perlembagaan dan undang-undang diwujudkan untuk menobatkan keadilan, bukan untuk menobatkan Melayu, Islam, Cina, Kadazan atau India.

Dalam ketuanan rakyat, keadilan milik semua.

Melantik hakim kerana hakim itu seorang Melayu tidak akan menjamin keutuhan undang-undang dan keadilan. Melantik ketua PKNS kerana seseorang itu Islam, Cina atau Melayu tidak akan menjamin apa-apa. Terbukti selama 50 tahun ini gerombolan United Malays National Organisation telah mengagungkan slogan "hidup Melayu" dan "ketuanan Melayu". Hasilnya elek.

Selama 50 tahun gerombolan United Malays National Organisation telah juga melaung-laungankan keislaman gerombolan mereka. Hasilnya elek.

Lantikan pegawai PKNS yang dilakukan oleh kerajaan Selangor kerana susuk itu yang paling layak, yang paling berpengalaman. Bangsa, agama dan gender individu ini tidak diambil kira. Fikrah dan pengalaman susuk ini yang dipentingkan.

Ada pandangan dari satu jalur kabilah parti DAP yang pencong. Tidak dapat tidak masih terdapat sebahagian anggota DAP ini yang masih memiliki faham kecinaan yang tebal. Pandangan kecinaan ini sebenarnya tidak ada bezanya daripada kemelayuan gerombolan United Malays National Organisation. Carik kulit DAP-nya, maka muncullah kecinaannya.

Pandangan kecinaan ini juga wajib dilawan dan ditentang. Sama seperti kita menentang dan melawan sikap kemelayuan gerombolan United Malays National Organisation. Kemelayuan dan kecinaan ini buah kelapa berbeza dari tandan yang sama.

Kecinaan dan kemelayuan jenis ini adalah salah dan bertentangan dengan falsafah ketuanan rakyat.

Islam adalah agama yang tidak memandang warna kulit dan bangsa. Agama ini mengajukan falsafah kesamaan derajat sesama manusia. Justeru apabila ada satu jalur kabilah ahli-ahli PAS yang menentang pelantikan pegawai PKNS kerana pegawai ini bukan Islam atau kerana gendernya, maka amat jelas ia menunjukkan bahawa kefahamam ahli-ahli parti jenis Islam ini terhadap agama masih cetek dan amat-amat disangsikan.

Kumpulan Islam jenis ini selalu bertempik dan berkhutbah mengatakan bahawa Islam itu lengkap dan Islam itu sejagat. Islam itu tidak memandang agama atau bangsa. Cakar punya cakar, maka kelihatan kulit kemelayuannya jenis gerombolan United Malays National Organisation wujud dalam wajah Islamnya.

Justeru terbukti bahawa kumpulan Islam jenis ini bukan sahaja tidak menghayati kesejagatan Islam tetapi mereka juga tidak memahami falsafah dan konsep ketuanan rakyat yang berpedomankan meritokrasi. Meritokrasi bukan sahaja selari dengan pandangan Islam, malah meritokrasi diagung-agungkan oleh semua agama yang mengajukan kesempurnaan penganutnya.

Tidak ada agama yang meminta penganutnya memilih-milih kaum atau gender. Tidak ada agama yang mendiskriminasi individu kerana anutan agama atau kepercayaan atau kerana bangsa individu itu. Jika ada agama yang mendiskriminasi kerana alasan agama, kepercayaan, bangsa atau gender, maka pandangan agama ini salah dan wajib dilawan.

Agama muncul bukan untuk menekan manusia. Agama muncul bukan untuk menyusahkan manusia. Agama muncul untuk membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Kejulingan dan kepencongan pandangan daripada satu jalur kabilah PKR, DAP dan PAS ini dapat kita fahami. Kita tahu kenapa kabilah PKR ini memunculkan kulit Melayunya, kenapa kabilah PAS ini mencuak kulit tidak Islamnya, dan kenapa kabilah DAP memunculkan kulit kecinaannya.

Semua ini lahir kerana hegemoni budaya berfikir gerombolan United Malays National Organisation. Budaya hegemoni ini luas dan telah menakluki kesemua jalur dan lembaga budaya tanah air kita.

Kepencongan pandangan yang kita dengar daripada PKR, PAS dan DAP lahir kerana kumpulan ini sedang berfikir dan menghuraikan masalah dengan menggunakan kepala gerombolan United Malays National Organisation.

Dalam kepala mereka ada fikrah gerombolan United Malays National Organisation. Yang berbeza hanya mereka cuba memakai jubah, baju, seluar, songkok, ketayap, topi dan beret Pakatan Rakyat. Kulit mereka mungkin lain tetapi isinya masih didominasi oleh hegemoni gerombolan United Malays National Organisation.

Kumpulan dan kabilah yang memiliki jalur pemikiran seperti ini harus ditarbiah. Jika tidak ditarbiah, mereka akan memberatkan saku perjuangan Pakatan Rakyat. Mereka akan menjadi tunggul dan ranjau yang terus mengganggu kaki Pakatan Rakyat yang sedang bergerak untuk mendirikan Malaysia baru.

Dalam Malaysia baru, ketuanan rakyat akan dinobatkan. Dalam Malaysia baru, anak semua bangsa adalah sederajat dan serata. Anak semua bangsa memiliki hak yang sama.

Jika ada kabilah yang tidak bersetuju dengan ketuanan rakyat dan masih termimpi-mimpi ketuanan Melayu dengan memakai topeng baru - mereka wajib dikenal pasti untuk dibungkus oleh ombak sejarah ketuanan rakyat.

Obama presiden baru Amerika


dipetik dari Malaysiakini.com

Calon Demokrat, Barrack Obama mencapai kemenangan dan menjadi presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat. Manakala calon Republik, John McCain mengucap tahniah kepada Obama.

Sehingga jam 12.20 tengah hari ini, Obama mendahului dengan kutipan 297 undi berbanding calon Republik, John McCain yang memperoleh 145 undi.

Calon memerlukan sejumlah 270 undi untuk menang.

Kemenangan terbesar bagi Obama ialah apabila beliau diisytiharkan pemenang di Ohio dan Pennsylvania - tempat berlakunya kempen yang paling panas dan sengit antara kedua-dua calon tersebut.

Obama, 47, akan memegang jawatan presiden Amerika ke-44 pada pada 20 Januari depan, dan bakal berdepan dengan krisis kewangan yang terburuk sejak 1930-an, perang di Afghanistan dan Iraq serta pertelingkahan dengan Iran mengenai senjata nukleara.

Rangkaian stesen television meramalkan kemenangan Obama selepas beliau memperkukuhkan sokongannya di kubu kuat Demokrat serta berjaya menarik sokongan di kubu republik.

Pada jam 12.20 tengahari waktu tempatan, McCain mengaku kalah dan mengucap tahniah kepada presiden baru Amerika itu.

Tidak seorang pun calon preside selepas John F Kennedy pada tahun 1960-an yang menang jawatan presiden tanpa mencapai kemenangan di Ohio, Pennsylvania dan Florida.

Obama juga menang di New Mexico, sebuah lagi kerusi parti Republik yang diperlukan oleh McCain untuk menambah peluangnya untuk menang jawatan presiden.

Obama turut mencatat kemenangan di Washingtonm Oregon, California, Massachusetts, Connecticut, Illinois, New Jersey, Maine, New Hampshire, Washington DC, Delaware, Michigan, Wisconsin, Rhode Island, dan Minnesota.

McCain pula antaranya mencatat kemenangan di Kentucky, Tennessee, West Virginia, South Carolina and Oklahoma, Alabama, Arkansas, Wyoming, Louisiana, Kansas dan Texas.


Seperti yang diramalkan, McCain menang di Kentucky dan West Virginia manakala Obama menang di Vermont.

Pakatan Rakyat pulau penggulungan Najib


dipetik dari Suara Keadilan Online.
oleh Syukree Hussain

PARLIMEN, 4 November (SK) - Kesemua ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bertindak keluar dewan bagi melahirkan bantahan terhadap ucapan penggulungan Menteri Kewangan Najib Razak petang ini.

Mereka yang diketuai oleh Ketuanya Anwar Ibrahim bertindak demikian kerana Timbalan Perdana Menteri itu tidak memberi laluan kepada mana-mana ahli Parlimen mencelah semasa beliau berucap kali pertama untuk bajet 2008.

“Kita sabar tunggu satu jam, minta kesempatan dapat penjelasan dan menteri kewangan enggan,

“Ini kali pertama jawapan Menteri tidak beri peluang untuk kita menjawab,” kata Anwar dalam sidang media
sejurus keluar daripada dewan.

Turut bersama dalam sidang itu ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Mat Isa.

Di lobi Parlimen Anwar turut memberitahu, beliau rasa hairan dengan tindakan bakal Presiden Umno itu enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.

“Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.

“Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.

“Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini,” katanya.

Najib hadir kali pertama ke dewan sejak dewan bersidang membahas peruntukan dalam bajet 2009 dan langsung tidak mendengar apa yang dikatakan oleh ahli Parlimen PR.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang ketika ditanya mengapa pembangkang tidak tunggu kerana Najib sendiri mengatakan akan memberi laluan selepas membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009, berkata,”Ini bukan soal boleh tunggu atau tidak.”

Ujarnya, lebih 70 ahli Parlimen PR yang datang sudah menunggu selama dua minggu supaya kerajaan membentangkan bajet yang baru kerana bajet yang lama sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan seolah-olah menidak kan cadangan yang dikemukakan oleh pembangkang supaya membentangkan bajet baru,yang lebih relevan.

Bajet 2009 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, Abdullah Badawi pada Ogos lalu dan kemudian bertukar portfolio dengan Najib.

Dalam pada itu, Najib memberikan laluan kepada Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk bertanya soalan kira-kira pukul 6.05 petang selepas habis menyampaikan ucapan yang menyentuh senario global dan langkah-langkah tambahan.

Selain Ibrahim lapan wakil Barisan Nasional (BN) juga mengemukakan soalan kepada Najib.

Ucapan Najib yang bermula kira-kira 4.30 petang berakhir pada pukul 6.50 petang.

Sementara itu, terlebih dahulu Ahli Parlimen Batu Tian Chua diarahkan keluar dewan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia kerana beliau berkeras mengatakan bahawa ‘bajet baru’ itu melanggar
Perintah Tetap 66(1) berhubung pembentangan rang undang-undang bajet.

Perkara ini membuatkan Pandikar Amin hiang sabar dan Tian diarahkan keluar dewan sepanjang penggulungan itu dijalankan.

[Berita terdahulu]

Anwar keluar dewan bantah penggulungan Najib

PARLIMEN, 4 November (SK) - Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim keluar dari dewan parlimen ketika TPM Najib Razak masih membuat penggulungan berkenaan bajet 2009.

Beliau bertindak demikian apabila Najib tidak memberi ruang lebih satu jam untuk ahli parlimen mencelah ketika menggulungkan perbahasan Bajet 2008.

Sekarang sekitar jam, 5.40 petang Anwar sedang mengadakan sidang media untuk menjelaskan tindakan beliau.

Sementara itu, Najib sedang membaca langkah-langkah yang diambil untuk menghadapi krisis kewangan di dewan parlimen.

Tuesday, November 4, 2008

Elaun guru agama di Selangor dinaikkan ke RM1,000

Dipetik dari Malaysiakini.com
Elaun bagi guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan dinaikkan kepada RM1,000 sebulan mulai Januari tahun depan berbanding RM738 sekarang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, seramai 6,262 orang guru berkenaan akan menerima kenaikan tersebut.

Abdul Khalid berkata dalam masa dua atau tiga tahun lagi jika keadaan kewangan kerajaan negeri mengizinkan, elaun itu mungkin dinaikkan di atas garis kemiskinan RM1,500 sebulan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menurut Bernama, Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi telah meminta kerajaan negeri agar menimbang semula kadar elaun itu yang agak rendah, di tengah-tengah kenaikan
harga barangan keperluan pasa masa ini, selain ia terletak di bawah paras kemiskinan RM1,500 sebulan.

Abdul Khalid berkata sehubungan dengan kenaikan elaun tersebut, para guru SRA dan KAFA mungkin diberikan kemahiran yang lebih, seperti mampu membina pangkalan data anak-anak murid mereka untuk rujukan Jais dan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian di majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Jais dan meraikan kakitangan Jais yang bersara di Shah Alam hari ini.

Beliau turut merasmikan talian online JAIS "NCR Online" yang dibangunkan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat Islam dalam urusan perkahwinan dan penceraian.

Monday, November 3, 2008

Sambutan Deepavali keADILan Rembau



Oleh Norazizi Abd. Aziz
Pada 1 Nov. 2008 bertempat di Padang Awam Taman Koperasi, Pedas, Rembau telah diadakan Majlis Sambutan Hari Deepavali. Majlis yang bermula sekitar jam 6.30 petang dan tamat sekitar 12 tengah malam ini telah dihadiri tidak kurang dari 2,500 orang pengunjung dari berbilang bangsa.

Majlis telah dihadiri oleh YB. Manikavasagam (Ahli Parlimen Kapar), YB Datuk Kamarul Baharin (Ahli Parlimen Teluk Kemang), YB Ravi (ADUN Port Dickson) selain dari cheGuBard sendiri.

Majlis dimulakan dengan menyalakan lampu "Kuthi Vilaku" yang sinonim dengan keharmonian dan dimurahkan rezeki oleh Yb Dato' Kamarul Baharin Abbas.Kemudian hadirin telah sama-sama bangun bagi menghormati lagu yang berkisarkan tentang perjuangan berkumandang.

Perbagai jenis makanan tradisional masyarakat India disediakan. Selain itu persembahan teh tarik oleh juara Nescafe Tarik Malaysia bagi tahun 2000 & 2004, Sdr. S. Musliadi yang juga merangkap Naib Ketua AMK Rembau telah berjaya berjaya mencuri perhatian ramai.

Turut disampaikan malam tersebut ialah bantuan kepada 10 keluarga miskin dalam kawasan Rembau sempena Deepavali. Bantuan ini ialah sebahagian dari jumlah 35 keluarga yang dibantu sempena Deepavali. Sebanyak 100 kanak - kanak turut menerima 'duit raya' yang diberikan oleh Sdr. badrul Hisham Shaharin, Ketua Keadilan Bahagian Rembau

Pihak parti Keadilan Rakyat Rembau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir dan bertungkus lumus menjayakan program khususnya kepada pengarah program Sdr. Segar (Naib Ketua Bahagian Rembau) dan Sdr. Muru (Naib Ketua AMK Rembau).

Beberapa masyarakat India yang ditemui di Majlis tersebut menyatakan rasa terharu. Ada yang mengatakan berpuluh tahun mereka duduk di Rembau tidak pernah ada rumah terbuka meraikan Deepavali dan masyarakat India dan inilah kali pertama diadakan.

KES ALTANTUYA: Razak Baginda Bebas, Pendakwaan mengecewakan

Isnin, 3 November 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Nasional

Dipetik dari Suara Keadilan Online
KUALA LUMPUR: Walaupun Razak Baginda dibebaskan namun kes ini masih dilihat sangat mencurigakan, kata Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, kes pembunuhan Altantuya itu telah dijalankan secara tidak profesional kerana badan kehakiman bersifat menindas apabila kes-kes melibatkan pembesar.

“Pendakwaan masih mencurigakan. Siasatan tidak telus dan menimbulkan banyak kecurigaan kepada masyarakat,” katanya ketika di temui di pekarangan Mahkamah Sesyen Jalan Duta, 31 Oktober lalu.

Tambah Anwar, apabila melibatkan kes ini melibatkan pembesar termasuk Timbalan Perdana Menteri, Najib Abdul Razak,banyak perkara yang tidak dilakukan oleh pihak makahmah.

“Kes ini melibatkan Najib (Timbalan Perdana Menteri) dengan penyebaran SMS, tetapi kenapa ia tidak disiasat secara telus,” katanya

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata Walaupun Razak Baginda dibebaskan namun kes ini harus dilihat bagaimana penghakiman ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia

Ketika dihubungi Suara Keadilan Online, Yusmadi berkata, terdapat beberapa kecurigaan yang berlaku sepanjang kes ini berlaku yang menjadi persoalan kepada rakyat negara ini.

“SAYA Berpendapat bahawa keputusan tersebut patut dihormati, tapi pada masa yang sama sejauh mana keputusan ini boleh memberi keyakinan rakyat kepada sistem jenayah dan sistem keadilan negara yang setakat ini dikritik hebat,” katanya.

Pagi ini Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Mohd Zaki Md Yasin membebaskan tertuduh ketiga kes pembunuhan berprofil tinggi, Abdul Razak Baginda degan alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik berkenaan.

Mengulas mengenai keputusan bekenaan, bapa kepada mangsa bunuh, Dr Setev Shariibuu berkata beliau amat kecewa dengan keputusan mahkamah berkenaan yang bebaskan Razak.

Tambah Yusmadi yang juga peguam hak asasi, sesuatu penghakiman yang diputusan makamah mesti mempunyai nilai kepentingan awam, yang bermaksud pihak awak mampu melihat satu proses keadilan yang adil kepada kedua-dua pihak samaada tertuduh dan yang mendakwa.

“Saya rasa ini merupakan satu isu yang besar dan perlu dilihat oleh pemerintah dan pihak-pihak berwajib supaya keputusan mahkamah yang diputuskan dinegara tidak dijadikan bahan ketawa apatah lagi tidak dapat pengiktirafan oleh rakyat dan masyarakt global,” katanya lagi.

Selain Razak yang dibebaskan, tertuduh pertama dan kedua, Azilah Hadri dan Sirul Azhar dikehendaki membela diri, hakim mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Mereka bertiga didakwa kerana membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shariibuu. Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006

31 Oktober lalu, Hakim Mohd Zaki Md Yasin memutuskan membebaskan tertuduh ketiga, Razak Baginda kerana pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.

Manakala bagi tertuduh pertama dan kedua, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar diarahkan membela diri dan menetapkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Menurut laporan media, Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Saturday, November 1, 2008

Zaid Ibrahim Letak Jawatan Senator, kritik ketuanan melayu

Sabtu, 1 November 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Nasional

KUALA LUMPUR, 1 NOVEMBER - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dilaporkan media perdana hari ini telah meletakan jawatan sebagai senator Dewan Negara baru-baru ini.

Beliau sebelum ini telah meletakan jawatan sebagai Menteri di JPM yang berpotfolio undang-undang pada pertengahan September lalu.

Menurut laporan media lagi, surat perletakan jawatan beliau telah diserahkan kepada Perdana Menteri dan perletakan jawatan beliau dikatakan angkah yang tepat berikutan beliau tidak lagi menjadi anggota kerajaan Barisan Nasional (BN).

Semalam, ketika berucap di Persidangan LawAsia kali ke-21, Zaid yang dikenali sebagai seorang yang lantang telah menyuarakan bahawa model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa.

Dalam majlis yang dianjurkan bersama oleh Majlis Peguam Malaysia dan Persatuan Undang-undang bagi Asia dan Pasifik (LawAsia).
Zaid turut mengkritik dasar yang berasaskan kaum walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.

Zaid meletakkan jawatan dalam Kabinet sebagai tanda protes terhadap penahan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), baru-baru ini.