Thursday, November 6, 2008

Anwar: Kemenangan Obama bukti perubahan boleh berlaku


BARACK Obama (atas) dipilih sebagai presiden baru Amerika Syarikat, warga berkulit hitam Afrika-Amerika pertama menduduki Rumah Putih dan Calon Republikan, John McCain, (bawah) mengaku kalah dan mengucapkan tahniah atas kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru, semalam. - AFP

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER (SK) - Kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika adalah satu mirip kejayaan perubahan yang sama seperti rakyat Malaysia yang inginkan.

Menurut Ketua Pakatan Rakyat (PR) Anwar Ibrahim, kemenangan Obama itu merentasi kaum, generasi dan agama seperti mana kejayaan PR memenangi beberapa buah negeri.

“Sokongan yang diterima bakal Presiden Amerika ini merentasi batas kaum, agama dan generasi, malah mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku pada bulan Mac lalu apabila rakyat Malaysia memilih untuk menolak rejim Barisan Nasional yang masih terikat dengan polisi usang dan gagal,” katanya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Semalam, Obama dari Parti Demokrat mencipta sejarah apabila beliau orang kulit hitam yang pertama memenangi pilihanraya Presiden negara berkenaan dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.

Obama, mengalahkan calon lawan dari Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakan beliau menduduki kerusi di White House.

McCain yang bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon Naib Presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.

Anwar yang juga Ketua Umum KeADILan, turut berharap agar Presiden Amerika Syarikat yang baru, Barack Obama akan memperlihatkan kepimpinannya berhubung isu-isu ini berbanding pentadbiran lepas yang gagal untuk berbuat demikian.

Tambahnya di bawah pentadbiran Obama, hubungan dan dialog di antara negara-negara Muslim dan Amerika Syarikat mempunyai harapan yang lebih cerah

“Isu-isu di Timur Tengah sememangnya memerlukan komitmen terhadap diplomasi yang konsisten, bersedia untuk menyertai dialog yang lebih bermakna dan tidak bertindak sendirian tanpa menghiraukan suara-suara serta pendapat lainnya,” katanya dalam kenyataan terbabit.

Katanya lagi, Obama hanya bermula dengan satu harapan yang hampir mustahil akan tetapi berani, kini ianya sudah menjadi kenyataan.

“Hasrat beliau untuk memulakan halatuju baru hubungan di antara Amerika Syarikat dan seluruh dunia amat dialu-alukan,”kata Anwar.

Sementara itu, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akim turut mengucapkan tahniah kepada Obama.

“Kemenangan besar Obama memberi satu contoh teladan kepada rakyat Malaysia bahawa politik berasaskan warna kulit yang sudah lapuk, tidak perlu diamalkan politik sempit,” katanya ketika dihubungan oleh Suara Keadilan Online.

Katanya, di samping terbukti bahawa Obama mendahului dan telah mewarnakan senario politik dan membuka mata dunia, umumnya. - msh

No comments: