Thursday, November 6, 2008

Bajet tidak sah, pembentang Najib ditolak

dipetik dari Suara Keadilan Online
oleh Syukree Hussain

PARLIMEN, 6 November (SK) - Parlimen membuat keputusan menolak bajet tambahan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Najib Razak semasa menggulung Bajet 2009 pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Pakatan Rakyat (PR) Anwar Ibrahim, bajet tambahan yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu tidak sah dan melanggar peraturan mesyuarat Parlimen.

Perkara itu berlaku kerana apa yang dilakukan oleh Najib ialah membentangkan bajet baru bukan menggulung bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi pada 29 ogos lalu.

“Jika ‘bajet Najib’ diluluskan maka ia melanggar peraturan kerana yang diedarkan kepada kami ‘bajet Abdullah’, dan ‘bajet Najib’ belum diedarkan.

“Jadi peruntukan perbelanjaan pertanian dan pendidikan sudah berbeza,” jelas ahli Parlimen Permatang Pauh dalam sidang media semalam.

Tambahnya, bila giliran menteri menggulung, jika tidak faham dan ada apa-apa soalan daripada ahli dewan maka menteri perlu jawab.

“Tapi apa yang berlaku, tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen kita.

“Selepas satu jam dua atau tiga menyoal kemudian tutup dan lulus. Inilah sebenarnya rancangan beliau, saya dengar sendiri apa yang dikataan kepada editor,” hurainya yang merupakan Ketua Umum KeADILan.

Mengikut pengalaman beliau, katanya, perlu ada usul diedarkan untuk makluman ahli-ahli Parlimen.

Anwar pernah memegang jawatan Menteri Kewangan di zaman Tun Mahathir sebelum dipecat dalam satu kospirasi politik.

Bajet Abdullah dibahas, bajet Najib diluluskan

Sementara itu, ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang menganggap perbahasan dan penggulangan yang dijalankan di sebelah pagi semalam dan kelmarin adalah membuang masa kerana itu adalah pembentang bajet baru Najib.

“Tambahan 700 juta ini merupakan bajet baru dan mesti dibentangkan kepada Parlimen sebelum diluluskan,” tegasnya yang juga merupakan ahli Parlimen Ipoh Timur.

Namun, katanya, apa yang dilakukan oleh Najib adalah sesuatu yang sangat pelik kerana dua bulan lepas ‘bajet Abdullah’ dibahasakan, tetapi hari semalam, ‘bajet Najib’ yang diluluskan.

Akibat tekanan daripada PR yang diketuai oleh Anwar tentang perkara terbabit, akhirnya, persidangan Parlimen semalam terpaksa ditangguhkan lebih dua jam bermula 12.15 tenggah hari semalam.

Pada jam 2.30 petang, apabila mesyuarat disambung semula, Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat keputusan bahawa ‘bajet Najib’ itu tidak sah dan melanggar peraturan.

Oleh itu, perbahasan Bajet 2009 disambung hanya membenarkan perbahasan peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu dan tidak menerima pakai selain pandangan dan hujah yang dibentangkan oleh Najib semalam.

Pada Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM700 juta dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara semasa menggulung pembentangan bajet 2009.

Sementara itu, dalam sidang media selepas mesyuarat ditangguhkan, Anwar penjelaskan setiap pindaan yang hendak dibuat di Parlimen mesti diberitahu dua hari sebelum isu tersebut dibahaskan.

“Kalau hendak membuat pindaan hendaklah diberi notis dua hari, ia ada dalam perkara 66 (15) yang menyatakan pindaan dikehendaki diberitahu sekurang-kurangnya dua hari dan ada usul diedarkan.

Perangai Najib membahayakan negara

Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan senario yang berlaku, di mana bakal Perdana Menteri itu mengabaikan peraturan dan undang-undang dalam pembentangan bajet.

“Jika perkara ini berterusan, ini akan membahayakan negara kerana beliau mengabaikan perkara yang penting,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Penasihat DAP dan Setiausaha Agung Pas Kamarudin Jaffar.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tindakan Najib ini adalah satu petanda buruk kepada negara.

Ujarnya ini kerana beliau masih belum memegang jawatan Perdana Menteri tetapi sudah berlagak dan cara beliau menyalahi undang-undang.

Beliau berkata demikian, ketika mengulas tindakan Najib tidak membenarkan sesiapa mencelah untuk mendapat penjelasan sewaktu menggulung bajet 2009.

Terdahulu pada sebelah pagi, ketegangan dan suasana panas di Dewan Rakyat berterusan sehingga memaksa Wan Junaidi menangguhkan sidang selama dua jam.

Beliau berkata, Speaker akan mempengerusikan mesyuarat pada sesi petang bagi menjelaskan mengenai Bajet 2009 yang dibentangkan sebelum ini serta sumber kewangan sebanyak RM700 juta selepas mendapat penjelasan daripada Kementerian Kewangan.

Sebelumnya, ahli Parlimen PR berkata mereka keliru dengan angka yang diumumkan Najib semalam dengan angka yang diumumkan Abdullah yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2009.

Pada Selalu lalu, kesemua ahli Parlimen PR memulaukan ucapan penggulungan Najib mengenai perbahasan Bajet 2009 selepas beliau tidak memberi laluan selama satu jam di peringkat awal untuk mengemukakan soalan.

Mereka bertindak keluar dan tidak masuk semula sehingga Najib habis berucap.

No comments: