Tuesday, March 23, 2010

Pemuda Umno Buta Undang-Undang

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 22 Mac - Tindakan Pergerakan Pemuda Umno Selangor membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim menggambarkan ketidakfahaman mereka mengenai peranan dan fungsi Parlimen.

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak mempunyai apa-apa kesalahan politik kerana ia dibuat dalam rangka peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang.

"Pemuda Umno sebenarnya cuba memperalatkan pihak polis dengan menggunakan undang-undang dan mereka tidak faham apa itu Parlimen.

"Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu kekebalan atau imuniti Ahli Parlimen kerana isu yang di bawa Permatang Pauh tersebut dibahaskan di dalam Dewan.

"Kita tidak boleh samakan dengan jenayah sedangkan ini adalah perbahasan politik.

"Kita akan fokus kepada isu politik dan tidak akan melayan cubaan untuk menakutkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat," kata Sivarasa kepada Suara Keadilan.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail pula berpendapat undang-undang negara kita ini aneh kerana terpakai untuk kerajaan Umno-Barisan Nasional tetapi tidak kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Saifuddin berkata tindakan Pemuda Umno hanya membuang masa dan sepatutnya mereka menumpukan kepada isu besar yang dihadapi negara.

"Inilah ruang undang-undang yang disalahgunakan, mereka sebenarnya langsung tidak memahami sistem perundangan negara kita," kata beliau.

Pada Sabtu lepas Pemuda Umno membuat empat laporan polis terhadap Anwar berhubung dakwaan beliau menggunakan nama Yang DiPertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia ketika merancang untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

No comments: