Saturday, April 3, 2010

Hulu Selangor: 25 April undi, 17 April penamaan calon


Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

No comments: