Friday, April 16, 2010

Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon


Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu, katanya pada sidang media hari ini.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.

Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

No comments: