Friday, April 30, 2010
Kenyataan Akhbar : Maklumbalas terhadap Kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung Kematian Aminulrasyid Amzah
Saya terpanggil untuk memberi maklumbalas kepada kenyataan Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil berkenaan dengan kepentingan ibu bapa mengawasi anak mereka
sepanjang hari sebagai langkah mengatasi kejadian tragik yang menimpa adik
Aminulrasyid Amzah tempoh hari.
Pada pandangan saya, saranan Datuk Shahrizat tersasar jauh dari isu pokok peristiwa tersebut. Tidak kiralah siapa yang terpaksa berhadapan dengan polis pada malam kejadian, tindakan menembak si mati yang disyaki penjenayah itu tetap merupakan satu pencabulan nyawa yang tidak dapat dimaafkan. Kejadian tembak sampai mati oleh pihak polis ini telah berlaku beberapa kali sebelum ini namun begitu, rakyat masih belum melihat sebarang tindakan yang proaktif dari polis dalam menangani masalah ini, apatah lagi menjadikan prosedur operasi (SOP) pihak polis satu dokumen umum agar pihak berkepentingan dan orang ramai dapat memantau mutu khidmat polis yang melaksanakan tugas.
Justeru, isu pokok di sini adalah sejauh mana polis di Malaysia berupaya membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan penjenayah dalam keadaan cemas
dan adakah garis panduan untuk pelaksanaan tugas oleh polis bertepatan dengan peruntukan Kebebasan Asasi rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan,
Kanun Acara Jenayah, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kanak-Kanak 2001.
Memandangkan adik Aminulrashid hanyalah seorang budak belasan tahun dan tidak
bersenjata, maka tidak ada alasan untuk polis menembak terus kepala beliau dalam
kejadian tersebut. Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak
yang mengikat Kerajaan Malaysia, seseorang individu kanak-kanak yang berkonflik
dengan undang-undang harus diberikan perlindungan, pemulihan dan integrasi sosial
yang bersesuaian dengan umur dan keperluannya sebagai seorang kanak-kanak. Faktor
ini seharusnya menjadi pertimbangan pihak polis dalam berhadapan dengan golongan
kanak-kanak dan remaja yang disyaki melakukan jenayah.
Bagi isu mengapa kanak-kanak atau remaja boleh berada di luar rumah pada waktu-
waktu sebegini, janganlah kesalahan sepenuhnya diletakkan ke atas bahu ahli keluarga.
Fenomena ibu bapa yang terpaksa bekerja lebih masa demi memenuhi tuntutan hidup, kesesakan dan ketidakselesaan rumah atau tekanan dan desakan ekonomi merupakan
antara realiti hidup di bandar yang perlu dikaji agar tindakan serta saranan yang lebih konstruktif dapat diberikan kepada rakyat dalam mengatasi masalah ini.
Saya berharap agar sebarang jawatankuasa untuk menyiasat kes ini haruslah bebas serta melibatkan badan-badan yang mampu menilai kes ini dari sudut kepentingan terbaik kanak-kanak (best interest of a child), perundangan dan hak asasi manusia seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mahupun Majlis Peguam.
Bahkan, demi menjamin kebebasan dan ketelusan siasatan yang akan dilakukan, siasatan terperinci kes ini seharusnya dilakukan oleh badan-badan yang sayanyatakan di atas dan bukannya pihak Polis sendiri. Remaja bermasalah atau berkonflik dengan undang-undang haruslah dibimbing dan dipulih menerusi hukuman yang mendidik bukannya dengan menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematian.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen
Lembah Pantai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment