Thursday, May 6, 2010

Sibu jadi petunjuk pilihan raya Sarawak

Selain menjadi tumpuan calon dan parti yang bertanding, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang menarik minat pelbagai pihak untuk mengikutinya dengan penuh teliti.

Pertarungan antara pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng dan muka baru Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bukan saja akan menjadi tumpuan orang ramai, tetapi juga para pemerhati dan penggiat politik.

Kemenangan dalam pilihan raya kecil ini mempunyai erti besar bagi kedua-dua parti yang bertanding dalam persiapan mereka bagi menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan sebelum Julai tahun depan.

Keputusan pilihan raya kecil ini juga memberi petunjuk penting tentang arah aliran politik di peringkat nasional.

Sekiranya DAP mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil ini, ia bermakna SUPP akan menghadapi masalah besar pada pilihan raya negeri kelak, seperti yang dialami parti itu pada pilihan raya negeri 2006.

No comments: