Sunday, January 11, 2009

MENARA TELEKOMUNIKASI HARAM: SAMPAI BILA ISU INI AKAN BERLARUTAN?




Isu pembinaan menara telekomunikasi secara haram dan tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan seolah-olah tiada berpenghujungnya. Di sekitar Negeri Sembilan sahaja, dalam masa tidak sampai seminggu, akhbar-akhbar tempatan telah melaporkan tidak kurang dari 3 siri bantahan penduduk setempat berhubung dengan isu ini.

Hari ini penduduk sekitar Bandar Baru Lukut telah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah pembinaan menara telekomunikasi milik syarikat U-Mobile di atas sebuah bangunan di pekan ini. Demonstrasi ini dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Lukut yang turut dihadiri YB Saudara Ean Yong (ADUN Lukut) dan mendapat sokongan YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang).

Ketika ditemui selepas demonstrasi berlangsung, YB Saudara Ean Yong menyifatkan sikap syarikat telekomunikasi tersebut sebagai degil dengan membuat pemasangan menara itu sebelum mendapat kelulusan dari pihak MPPD.. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini jelas menunjukkan sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan syarikat terbabit.

YB Dato’ Kamarul Baharin pula menyifatkan isu ini telah menjadi isu nasional kerana ianya berlaku hampir di semua bandar dalam negara ini. Namun kejadian sebegini semakin berkurangan di 5 buah negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kerana negeri-negeri terbabit telahpun menggariskan satu dasar yang jelas mengenainya. Justeru sebagai Ahli Parlimen, beliau akan berusaha untuk membawa perkara ini kepada Kementerian Tenaga, Air & Komunikasi agar dasar yang jelas serta seragam untuk seluruh negara dapat diputuskan segera.

Sejurus berakhirnya program demontrasi ini, YB Ahli Parlimen telah didatangi oleh seorang penduduk setempat yang mengadukan hal gangguan bunyi bising dari sebuah bangunan yang menjalankan kegiatan sarang burung layang-layang. Lebih dari 3 tahun masalah kacauganggu ini telah dihadapi oleh penduduk sekitar Taman Aman di Pekan Lukut.. Jawatankuasa Penduduk telahpun menghantar nota bantahan kepada pihak MPPD serta turut telah meminta campurtangan pihak parti MCA Lukut namun sehingga kini kegiatan tersebut bukannya semakin berkurangan tetapi menjadi semakin besar dan berterusan mengganggu kesejehteraan penduduk setempat.

www.telokkemang.blogspot.com/

No comments: