Saturday, January 31, 2009

Ceramah Umum Pakatan Rakyat di Bagan Pinang


Program Ceramah Umum di perkarangan rumah Tuan Haji Hasanuddin di Bagan Pinang pada 29/1/2009 berjaya dianjurkan bersempena dengan "Kempen Jom Sertai PAS". Program ini telah dihadiri seramai 500 orang penduduk tempatan. Antara yang berucap dalam program ini ialah:

1. Tuan Haji Ramli Bin Ismail (Yang DiPertua PAS Kawasan Telok Kemang)
2. Sdra. Ibrahim Yusof (Ketua Penerangan Badan Perhubungan PKR NSDK)
3. YB Sdra. Mohd. Taufek Abdul Ghani (ADUN Paroi)
4. YB Dato' Kamarul Baharin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang/merangkap Pengerusi Badan Perhubungan PKR NSDK)
5. YBhg. Sdra. Zulkefly Mohamad Haji Omar (Pesuruhjaya PAS NSDK)
6. YBhg. Tuan Haji Mohamad Sabu (Naib Presiden PAS)

Dalam ucapannya YB Dato' Kamarul Baharin telah membawa pengetahuan para hadirin pada isu yang dihadapi oleh Warga ATM bukan sahaja di Telok Kemang malahan di seluruh negara. Beliau menyentuh pada usaha Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan nasib serta kebajikan Warga ATM namun apa yang malang adalah sikap segelintir Warga ATM yang masih tidak berani melakukan anjakan pemikiran dalam menuntut perubahan dalam organisasi ATM. "Sikap lebih takutkan arahan Komandan & Jeneral yang rasuah berbanding takutkan Allah dan mengkhianati kepercayaan rakyat amatlah dikesalkan". "Jika Tuan-Tuan tidak dapat mengetuai kebangkitan rakyat, ayuh selaraskanlah diri dan minda anda dengan aspirasi mereka. Rakyat masih menaruh penghormatan yang tinggi pada ATM". Beliau turut menyentuh isu politik semasa serta membayangkan bahawa akan berlaku perubahan besar politik tanahair dalam jangkamasa terdekat ini. "InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mengambilalih Kerajaan Negeri Sembilan & Putrajaya sedikit masa lagi", "dan apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih pentadbiran, kita akan melaksanakan tugas jauh lebih baik dari UMNO/BN".

Tuan Haji Mohamad Sabu dalam ucapan beliau telah menyentuh isu kemanusiaan di Gaza. Sikap kerajaan Malaysia yang menafikan hak pihak HAMAS dalam Persidangan NAM & OIC menggambarkan pendirian sebenar UMNO/BN yang berada di bawah telunjuk Amerika. Sesungguhnya Zionis tidak pernah takut pada semangat nasionalisme Arab, "Hidup Nassier", "Hidup Arafat" atau sebagainya. Tetapi Zionis pada hari ini bertemu buku dengan ruas apabila kebangkitan rakyat Palestin sekarang adalah berdasarkan kepada Islam dengan slogan "Allahhu Akhbar". Begitu juga halnya dengan situasi politik tanahair, "Hidup BN", "Hidup Pak Lah", "Malaysia Boleh", semua itu merupakan slogan yang akan menjadi gelak-ketawa Zionis sahaja. Alhamdulillah, perjuangan PAS & Parti keADILan Rakyat hari ini semakin diterima oleh rakyat.


Dalam program ini, satu majlis penyerahan borang keahlian menyertai PAS telah diadakan. Seramai 150 orang telah menyertai PAS dengan menubuhkan sebuah cawangan di Bandar Spring Hills, Port Dickson.

Di awal program, Sdra. Ibrahim Yusof telah menerangkan kepada hadirin tentang inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Pakatan Rakyat dalam memastikan sebarang bentuk pembangunan yang dirancang menguntungkan rakyat. Kita tengak sahaja begitu bercelarunya keadaan di Port Dickson pada hari ini. Sambil menyeru agar rakyat di Bagan Pinang menyertai rakan-rakan yang lain di kawasan Parlimen Telok Kemang dan mengambil kesempatan pada arus perubahan yang ada pada hari ini untuk menyokong usaha Kerajaan Pakatan Rakyat yang ternyata terbukti ikhlas dalam membela nasib rakyat. Beliau juga menyentuh pada perkembangan politik semasa serta kegagalan Kerajaan Negeri Sembilan dalam menyediakan 'blue print' pembangunan Daerah Port Dickson yang menguntungkan penduduk tempatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan percaya UMNO tidak lagi mampu menjadi parti yang boleh diharapkan bagi meneraju kepimpinan negara pada masa ini. Beliau berkata, ini berikutan perkembangan politik tanahair sejak Pilihanraya Umum ke-12 hinggalah kepada peristiwa penghijrahan ADUN Bota Dato' Nasaruddin Hashim dan terakhir cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen untuk membubarkan kesemua sayap parti di dalam UMNO lantaran politik wang. Masalah amalan rasuah politik umpamanya, sudah menjadi sebati dengan kepimpinan tertinggi UMNO dan kelihatan seperti mustahil untuk ditinggalkan oleh mereka. Sebahagian besar pemimpin UMNO juga dilihat meletakkan kepentingan diri jauh melebihi kepentingan rakyat dan negara bahkan melebihi kepentingan parti mereka sendiri. kedudukan UMNO yang tenat itu menjadikannya tidak lagi sesuai sebagai pentas perjuangan politik bagi anak-anak muda yang mempunyai idealisma dan semangat perjuangan yang tulus. Dengan penuh kesedaran mengajak pemimpin-pemimpin muda di dalam UMNO yang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat & negara, juga kepentingan Islam & Melayu untuk meneruskan perjuangan mereka dalam pentas politik PAS ataupun PKR.

Turut hadir dalam program ini ialah YB Sdra. M.Ravi (ADUN PD) serta aktivis masyarakat setempat.

No comments: