Wednesday, January 14, 2009

JANGAN JADIKAN SIDANG KHAS PARLIMEN SEKADAR RETORIK


The leadership is busy collecting wealth. While Israel is punishing the Palestinian people for choosing HAMAS, it is no different from UMNO punishing Malaysians for choosing the Pakatan Rakyat." - Anwar Ibrahim.

"Pemimpin yang ada sibuk mengumpul kekayaan negara. Israel menggasak rakyat Palestin kerana menyokong HAMAS, tiada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh UMNO yang menghukum rakyat Malaysia kerana menyokong Pakatan Rakyat." - Anwar Ibrahim.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Oleh YB Dato' Kamarul Baharin Abbas
Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza tidak seharusnya menjadi pentas retorik sahaja sebaliknya mestilah memutuskan pelan bertindak yang berkesan terhadap Israel dan penaungnya Amerika Syarikat. Kita berharap Perdana Menteri yang akan mengemukakan ucapan dan usul di Dewan Rakyat akan mengemukakan dasar luar yang yang lebih realistik dan praktikal dalam membantu wilayah Palestin yang ditakluki.

Rakyat Malaysia berharap Parlimen tidak menjadi medan 'lip service' atau kata-kata manis serta retorik kosong sahaja. Pakatan Rakyat juga berharap Perdana Menteri membuktikan keikhlasan tanpa sebarang rasa takut kepada gertakkan kuasa-kuasa besar seperti Amerika. Kerajaan Malaysia mesti mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas termasuk memanggil Duta Amerika di negara ini dan lebih dari itu, Parlimen juga hendaklah memutuskan tindakan ekonomi yang lebih tegas terhadap Amerika terutamanya.

Pakatan Rakyat juga berharap keputusan rakyat untuk memulaukan barangan Amerika dapat diangkat menjadi pendirian rasmi negara seperti kempen "Buy British Last" (barangan British pilihan terakhir) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri dahulu.

Malangnya pada masa ini, kita masih melihat jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan membeli minyak dari syarikat-syarikat Amerika seperti Caltex. Kerajaan hendaklah mengarahkan jabatan-jabatan dan agensi-agensinya memulaukan apa sahaja barangan dan perkhidmatan Amerika selagi ada pilihan lain. Kempen memulaukan barangan Amerika juga hendaklah diangkat oleh Parlimen menjadi kempen peringkat negara.

Parlimen juga hendaklah memutuskan supaya negara melaksanakan cadangan Tun Dr Mahathir supaya memulaukan Dolar Amerika dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa. Paling penting, Parlimen juga hendaklah memutuskan supaya Malaysia tidak memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika yang dianggap oleh banyak pihak sebagai laluan yang lebih mudah penjajahan ekonomi negara kuasa angkuh itu.

Pakatan Rakyat juga berharap Parlimen Malaysia akan menubuhkan pasukan pelobi di peringkat antarabangsa yang dianggotai oleh semua anggota Barisan Nasional & Pakatan Rakyat yang berpengaruh untuk melobi negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) mengadakan sidang khas Parlimen di negara masing-masing untuk menyokong pejuang rakyat Palestin bagi memutuskan tindakan yang tegas terhadap Israel dan Amerika.

No comments: