Tuesday, January 6, 2009

BERMULANYA SESI PERSEKOLAHAN YANG MEMBINGUNGKAN IBUBAPA

KENYATAAN MEDIA
AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG


YB Dato’ Kamarul Baharin Bin Abbas (Ahli Parlimen Telok Kemang) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan garis panduan berhubung isu yuran tambahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditangguhkan pembayarannya daripada awal sesi sehingga pertengahan sesi persekolahan yang bermula hari ini.

YB Ahli Parlimen berkata, walaupun pihaknya menyambut baik langkah kerajaan itu untuk meringankan beban kewangan ibu bapa, namun ia perlu diperincikan agar difahami oleh semua pihak. Garis panduan itu juga dapat membantu pengurusan sekolah menangani masalah kekurangan dana bagi penganjuran aktiviti seperti sukan dan kokurikulum sepanjang sessi persekolahan Januari hingga Jun.

Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang menerima banyak laporan serta rungutan dari ibubapa yang mempersoalkan tentang masalah peningkatan ongkos persekolahan anak-anak mereka. Ada ibubapa yang tidak berpuas hati kerana bayaran yuran antara sekolah yang berbeza-beza. Lebih memeningkan adalah, guru-guru sendiri turut tidak dapat memberikan maklumat yang tepat kepada ibubapa mengenai isu yuran sekolah ini kerana mereka juga mungkin sebenarnya tidak memahami kedudukan yang sebenarnya.

Beginilah keadaan rakyat marhaen ketika awal sesi persekolahan anak-anak mereka. Keadaan ekonomi yang semakin merudum mutakhir ini sudah tentu menyukarkan lagi kehidupan sebahagian besar rakyat Malaysia. Tidak sepertimana janji-janji indah YAB Perdana Menteri yang pernah menyatakan bahawa kerajaan akan memberikan yuran PERCUMA kepada semua para pelajar sekolah di Malaysia. Pakatan Rakyat masih menanti perlaksanaan janji-janji manis YAB Perdana Menteri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Ahli Parlimen turut menjelaskan, kita tidak mahu keputusan ini akan menjejaskan aktiviti sekolah, membantutkan pelbagai acara dan 'melesukan' sekolah pada awal-awal sesi persekolahan. Justeru Kementerian Pelajaran haruslah jujur dalam melaksanakan tanggungjawabnya pada rakyat Malaysia keseluruhannya dan Warga Telok Kemang khasnya yang setia membayar cukai kepada negara.


5/1/2009
www.telokkemang.blogspot..com/

No comments: