Tuesday, January 6, 2009

SPR: Antara Kuasa dan Inisiatif

oleh YB Dato' Kamarul Baharin Abbas
Saya berasa lucu apabila bekas Pengerusi Suruhan jaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri A Rashid A Rahman, pada 30 Disember lalu, mengugut hendak menyaman ahli-ahli Parlimen pembangkang yang didakwa memfitnah dan memalukan dirinya. Dalam keghairahan Rashid menggertak ‘musuh-musuhnya’ itu beliau tanpa disedari mempamerkan kejahilannya sendiri. Dan ini amat menjengkelkan kerana beliau kelihatan bangga kerana telah bersama SPR selama 25 tahun. Ini dengan sendirinya memaparkan satu kegagalan; khususnya dalam memahami objektif dan kandungan undang-undang pilihan raya. Sebagai seorang penjawat awam, lebih-lebih lagi SPR yang merupakan ‘pengadil’ kepada parti-parti politik – Rashid sepatutnya lebih terbuka dan bersedia menerima kritikan, termasuk yang agak keras.

Saya fikir parti-parti politik, baik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak akan saja-saja mengarut dan mencari fasal atau publisiti murahan kerana itu semua akan memberi kesan negatif kepada populariti mereka. sebab itu saya tidak faham dengan gelagat Rashid, meskipun itu bukanlah kali pertama beliau berkelakuan begitu. Gertakan Rashid hendak membengkapkan Ahli-Ahli Parlimen – supaya mereka hilang kerusi di bawah Perkara 48(1)(b) Perlembagaan Persekutuan - tidak masuk akal. Ini kerana amaun ganti rugi dan sebagainya ialah kerja hakim: Rashid tidak boleh menentukannya. Itu pun kalau beliau menang dan mereka gagal membayarnya. Sekarang ini kita belum tahu sama ada beliau ada kes yang baik atau tidak. Silap-silap mungkin Rashid sendiri yang tewas dan terpaksa membayar kos guaman Ahli-Ahli Parlimen itu! Satu lagi cara di mana seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e) ialah sabitan jenayah yang memang di luar kuasa Pengerusi SPR.

Saya tidak pasti yang Rashid boleh menang kalau dia menyaman atas alasan ahli-ahli Parlimen itu memfitnahnya. Ini kerana sebagai seorang yang mengendalikan pilihan raya sudah pasti ada hal-hal yang menimbulkan syak dan keraguan kepada integriti dan kebebasan beliau. Apalagi dalam keadaan dia begitu banyak membuat kenyataan dan tindakan yang aneh termasuk membatalkan penggunaan dakwat hitam tiga hari sebelum Pilihan Raya Umum Ke 12 pada 8 Mac lalu.

Alasan Perlembagaan yang disebut Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak begitu meyakinkan. Selepas itu kerajaan mengakui bahawa ia tidak mempunyai bukti kukuh untuk membatalkan penggunaan dakwat yang dibeli dengan harga RM2.2 juta itu. Kita juga masih menunggu apa jadi dengan siasatan polis ke atas kes menyimbah cat ke rumah Rashid selepas itu. Ini semua sekadar beberapa perkara yang menyebabkan semua yang mahu melihat pilihan raya yang bebas dan adil di negara ini kecewa dengan gelagat Rashid. Bukan sahaja parti-parti pembangkang. Walau apa pun selepas pilihan raya BN sendiri pun mempersoalkan keputusan membatalkan penggunaan dakwar itu. Aneh.

Kadang-kadang saya terfikir apakah gelagat Rashid itu satu lagi siri lawak olehnya; pertunjukan akhir sebelum beliau meninggalkan pentas? Dalam sejarah negara beliaulah satu-satunya orang yang menjadi sebab kepada Perlembagaan dipinda: untuk mengizinkan beliau terus jadi Pengerusi SPR. Dan itulah pindaan Perlembagaan terakhir kerana selepas itu tidak ada parti yang memiliki majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Rashid turut menyatakan yang beliau mahu berbincang dengan kerajaan tentang perlunya SPR mempunyai autonomi dan kebebasan. Ini juga lucu kerana ia mengesahkan dakwaan pihak pembangkang. Dengan sendirinya Rashid telah menempelak dakwaan BN. Apa pun apa yang Rashid katakan itu sebenarnya tidak perlu kerana Perlembagaan sudah menyediakan prasarana yang cukup. Perlembagaan, melalui Perkara 113(1) dan (2) menjelaskan apakah fungsi-fungsi SPR. Ia juga secara umum membayangkan apakah kuasa-kuasa yang patut dan wajar dimiliki oleh suruhanjaya.

Adalah tidak mungkin untuk menyenaraikan kesemuanya. Peruntukan itu juga membayangkan apakah inisiatif yang perlu SPR buat. Mendengar apa yang dikatakannya jelas Rashid memang tidak faham kedudukan dan peranannya.

No comments: