Tuesday, January 20, 2009

Pro-Aspirasi tewas di UM


Kumpulan pro-Aspirasi gagal mempertahankan penguasaannya di Universiti Malaya apabila tewas kepada kumpulan pro-Mahasiswa dan calon bebas dalam pilihanraya kampus semalam.

Kumpulan pro-establishment itu hanya mendapat 20 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala kumpulan pro-Mahasiswa memenangi 19 kerusi dan dua kerusi lagi dimenangi oleh calon bebas.

Kekalahan tipis kumpulan pro-Aspirasi itu diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris pada jam 3.30 pagi di Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM.

Dalam pilihanraya kampus lalu, pro-Mahasiswa memenangi 11 daripada 41 kerusi.

Dan dalam pilihanraya kampus semalam, kumpulan yang dianggap anti-establishment itu berjaya menambah lapan lagi kerusi.

Kumpulan tersebut menang lapan daripada sembilan kerusi umum dan 13 daripada 32 kerusi fakulti. Calon bebas memenangi dua kerusi fakulti.

Lapan calon pro-Mahasiswa yang menang kerusi umum ialah:

Mohamad Hafiz Ilyas.

Ahmad Syazwan Mohd Hassan.

Mohamad Ridzuan Mohammad.

Nurul Fitrah Mohd Ariffin Marican.

Chong Yah Huei.

Shah Rizul Ayuni Zulkiply.

Low Yu Jie.

Yap Zhehn Jun.

Manakala satu lagi kerusi umum dimenangi oleh calon pro-Aspirasi.

Menurut keputusan yang diumumkan semalam, Mohamad Hafiz mendapat 5,999 undi, Ahmad Syazwan (5,886), Mohamad RIdzuan (5,474), Nurul Fitrah (5,425), Chong (5,041), Shah Rizul Ayuni (5,000), Low (4,847 dan Yap mendapat 4,683 undi.

Bagi kerusi fakulti pula, calon pro-Mahasiswa menang dua kerusi Fakulti Pengajian Melayu (2), Akademi Pengajian Islam (2) dan masing-masing satu kerusi di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Pusat Kebudayaan.

Calon bebas pula memangi dua kerusi di Fakulti Undang-undang,

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi merosot kepada 69 peratus pada sesi pemilihan kali ini.

Pengerusi pro-Mahasiswa Norazali Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kemenangan kumpulannya itu.

Menurutnya, kemenangan tersebut tidak diijangkakan. Kali terakhir pro-Mahasiswa UM memenangi pilihanraya kampus ialah pada 2004.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Norazali menyifatkan kemenangan itu sebagai "angin perubahan" yang sedang melanda universiti itu.

"Kemenangan pro-Mahasiswa kali ini begitu simbolik. Barrack Obama masuk Rumah Putih pada 20 Januari, kita menang pada (pun) pada 20 Januari," kata Norazali.

Pro-Mahasiswa sesi ini mengitar semula tema dan slogan kempen Barrack Obama dalam kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat tahun lepas, Hope and Change dan Change, yes we can.

Norazali bagaimanapun mengakui, situasi pilihanraya kampus di UM lebih bebas berbanding universiti lain. Oleh itu, katanya, ianya membolehkan kempen dilakukan dengan lebih berkesan.

No comments: