Monday, February 2, 2009

Dua Adun KeADILan nafi letak jawatan

Harakahdaily
Mon | Feb 02, 09 | 9:04:29 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Hrkh) - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menafikan melepaskan kerusi masing-masing semalam, mahu mencabar kesahihan kenyataan Speaker.

Kira-kira dua jam selepas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar, Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan rakan sejawatannya dari Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu berkata, surat letak jawatan yang dimaksudkan beliau itu sebenarnya telah ditandatangani 8 Mac lalu.

"Surat tanpa tarikh itu ditandatangani oleh tujuh Adun KeADILan kerana kerajaan negeri bimbang kami akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya surat ini telah diguna pakai untuk mengumumkan kononnya kami meletak jawatan. Ini satu pembohongan dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," Jamaluddin berkata demikian ketika dihubungi agensi berita beberapa jam selepas Speaker mengumumkan mereka meletakkan jawatan.

Kedua-duanya mendakwa masih Adun KeADILan dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti dan mengenai dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa mereka hilang sejak Isnin lalu, Jamaluddin berkata, beliau sebenarnya mengambil cuti sakit sejak Rabu.

"Surat cuti sakit ada di pejabat saya, jadi saya bukan hilang," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya di mana beliau berada semasa dikatakan "hilang", Jamaluddin enggan mengulasnya.

Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN, Dato' M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd. Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu, Dato' Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota di Dewan Undangan Negeri termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR pada Ahad lalu manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi. - azm _

No comments: