Tuesday, February 24, 2009

Adun Batang Ai meninggal dunia


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Ai, Datuk Dublin Unting, 53, meninggal dunia pada kira-kira jam 1.25 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Beliau juga merupakan naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menteri muda pertanian dan sukan Sarawak.

Beliau berada dalam keadaan koma sejak diserang angin ahmar Mei tahun lalu sejurus selepas memberi satu temubual radio di Kuching dan selepas itu menjalani pembedahan selama tiga jam untuk membuang darah beku dalam otaknya.

DUN Batang Air terletak di kawasan pedalaman di wilayah selatan Sarawak, berdekatan dengan sempadan barat Kalimantan. Ia terletak kira-kira 200km di timur ibu negeri Sarawak, Kuching.

Unting berkhidmat sebagai menteri muda dalam kabinet kerajaan negeri Sarawak bagi penggal kedua.

Memandangkan pilihanraya negeri Sarawak hanya akan diadakan pada 2011, maka Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 bagi DUN Batang Ai itu.

Mengikut undang-undang pilihanraya, SPR boleh membiarkan kerusi itu kosong sekiranya pilihanraya negeri perlu diadakan dalam tempoh 18 bulan.

Bagaimanapun, dalam kes Batang Ai, tempohnya melebihi dua tahun sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir.

Dalam pilihanraya negeri 2006, Unting menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap). Batang Ai merupakan kawasan majoriti pengundi Iban.

Unting menang dengan majoriti 806 undi, apabila mendapat 3,295 undi manakala Bawin mendapat 2,489 undi.

Bawin telah menyertai PKR dan dilantik sebagai naib pengerusi parti tersebut.

Jika pilihanraya kecil diadakan, ia merupakan ujian pertama bagi Pakatan Rakyat di Sarawak sejak pilihanraya umum pada Mac 2008.

Tidak seperti negeri-negeri lain, Sarawak tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya umum.

Pilihanraya negeri Sarawak diadakan pada Mei 2006 di mana parti pembangkang DAP berjaya memenangi beberapa kerusi dalam kawasan kubu kuat BN, yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari PBB.

No comments: