Wednesday, February 11, 2009

SIAPA AGAKNYA PILIHAN ORANG-ORANG BUKIT?

Selepas kekecohan yang berlaku di Perak, kini ramai yang akan terarah kepada Pilihanraya Kecil di 2 bukit iaitu Parlimen Bukit Gantang, Perak & DUN Bukit Selambau, Kedah. Kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini adalah milik Pakatan Rakyat. Walau keputusan untuk Pilihanraya Kecil masih belum diumumkan lagi oleh SPR, namun kepastian telah wujud di mana Pilihanraya Kecil tersebut akan dijalankan ekoran daripada kematian Ahlil Parlimen Roslan Shaharum & perletakan jawatan sebagai Wakil Rakyat & EXCO secara ‘gentlemen’ oleh V.Amurugam.
-
Pilihanraya Kecil ini pasti yang paling sengit antara Pilihanraya Kecil sebelum ini iaitu selepas Permatang Pauh & Kuala Terengganu. BN yang baru sahaja 'berjaya' memperdayakan rakyat negeri Perak dengan merampas pentadbiran negeri, pasti akan tampil dengan strategi & kaedah baru. Pastinya mereka akan banggakan kejayaan merampas Perak & menonjol imej merekalah yang pandai memerintah & membuat rakyat kaya & senang-lenang dengan projek pembangunan & kenaikkan harga barang.
-
Biarkanlah BN dengan strategi mereka. Apa yang penting ialah bagaimana Pakatan Rakyat menghadapi Pilihanraya Kecil ini. Sekali pandang, PR mempunyai peluang & 'advantage' yang besar untuk menang. Kemelut di Perak di mana majoriti rakyat memilih PR masih tidak berubah walau bilangan ADUN mereka berkurangan. Rakyat pasti marahkan BN kerana menipu & merampas kerajaan negeri yang mereka pilih secara sah. Dan di dalam kemelut di mana Perak mempunyai 2 jentera pentadbiran negeri, akan menambah kebencian rakyat terhadap BN yang melaung-laungkan mereka pandai memerintah tetapi tidak tahu mengikut undang-undang.
-
Walaupun BN mendakwa idea melompat parti adalah idea PR, namun ketika isu melompat 16 September dulu, BN begitu lantang mengutuk, mencaci, mencerca idea tersebut & bukan PR yang mempraktikkannya tetapi BN sendiri. Rakyat menilai ini sebagai pembohongan yang besar kepada mereka. Begitu juga senario di Kedah. Kekosongan kerusi DUN kerana perletakkan jawatan sebagai wakil rakyat oleh V.Amurugam kerana ‘tekanan’ BN supaya melompat parti seakan tidak memberi peluang langsung kepada BN untuk memenangi kerusi tersebut.
-
Dakwaan-dakwaan seperti sogokan wang, ugutan & perbuatan jenayah (pecahkan cermin kereta) terhadap V.Amurugam menambahkan lagi keperitan BN untuk berkempen di Kedah. Rakyat pasti menolak awal-awal BN yang rasuah, tidak mengikut undang-undang, pembohong, membelakangi rakyat demi kekuasaan mereka. Apa pun pasti pertembungan 2 gabungan parti besar ini (BN & PR) di 2 bukit ini akan memberi isyarat samada pemimpin rasuah & pembohong yang dipilih atau pemimpin yang ingin membawa perubahan yang dipilih. Sama-sama kita tunggu.

Oleh: Ahli Parlimen Telok Kemang

No comments: