Friday, November 16, 2012

Bantah Lynas: Peserta jalan kaki serah memo pada PM 26 Nov


KUALA LUMPUR 15 November: Peserta ‘Himpunan Hijau’ yang berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan ke Kuala Lumpur bagi membantah pembinaan kilang radioaktif Lynas di Gebeng akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen 26 November ini.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin berkata, kandungan memorandum mengandungi tuntutan rakyat agar kerajaan mengkaji semula dasar pembangunan yang memberi kesan alam sekitar dan kesihatan manusia.
“Rakyat dari seluruh negara akan hadir, terutama yang tempat tinggal mereka terkesan oleh pembangunan.
“Kita serah memorandum kepada Perdana Menteri 26 November bagi membantah pengabaian alam sekitar,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Clement, selain Himpunan Hijau, turut bersama menyertai perjalanan jauh kempen ‘Langkah Hijau’ itu ialah aktivis anti sianida dari Bukit Koman, aktivis alam sekitar dari Teluk Rubiah, Perak dan aktivis anti insenarator Cameron Highlands.
“Turut bersama kita ialah aktivis dari Murum dan Baram, Sarawak. Tanah mereka diambil untuk pembinaan empangan,” jelas Clement.
“Semakin ramai menyokong dan sekarang pula musim cuti sekolah. Mereka yang nak ikut sama sangat digalakkan,” katanya.
Kempen ‘Langkah Hijau’ kini memasuki hari ketiga sejak pelancarannya di Kuantan Isnin lalu. Konvoi itu kini dalam perjalanan ke Maran dari Seri Jaya.
Mereka berjalan antara jam 5 hingga 10 pagi dan 4 hingga 7 petang setiap hari.
Maklumat perjalanan, lokasi hentian dan aktiviti sepanjang 14 hari kempen ‘Langkah Lestari’ boleh dilayari di sini.

No comments: