Friday, November 9, 2012

Daftar pemilih kotor, Pakatan jumpa SPR 19 Nov


KUALA LUMPUR 9 November: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 19 November ini bagi menyelesaikan isu daftar pemilih yang belum bersih, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Menurut beliau, hasil analisa jentera pilihan raya yang dibuat pihaknya mendapati, terdapat empat masalah utama berjaya dikesan melibatkan alamat pengundi, pengundi pos, pengundi didaftar belum cukup 21 tahun dan pemindahan pengundi.
“SPR memberi daftar yang tidak lengkap. Sehingga suku 1 tahun 2012, saya dapati dari 70,136 pengundi dalam daftar pengundi, hampir 45 peratus tidak diberi alamat lengkap.
“Seramai 2,661 pengundi tiada nombor rumah ataupun nama jalan, tetapi ada lokaliti dan daerah mengundi. Manakala 28,883 pengundi ada nombor rumah, tetapi tiada alamat lain kecuali lokaliti dan daerah mengundi,” katanya pada kenyataan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, masalah undi pos juga menjadi penyumbang kerana peningkatan 1,500 peratus daripada 154 pada 2008 kepada 2,227 pada suku ke-3 2012.
“Sekitar awal 2011, saya dapati Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil, yang 12 kilometer jauhnya di luar kawasan Lembah Pantai dan pada 2008 terletak dalam Parlimen Bandar Tun Razak, kini termasuk sebagai satu pusat pengundi pos di Lembah Pantai.
“Saya dikejutkan dengan data terkini, di mana 383 pengundi pos dipindah keluar dari Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil ke Balai Polis Travers,” jelasnya.
Tambah beliau, persoalan lain pula muncul apabila 772 pengundi didaftarkan sebelum genap umur 21 tahun sebagai pengundi di Lembah Pantai.
“Sebagai contoh, seorang pengundi dengan tarikh lahir 19 Jun 1990 telah mendaftar sebagai pengundi pada 2 Mac 2011, iaitu pada usia 20 tahun 8 bulan.
“Jika benar analisa ini, saya menggesa pihak SPR untuk membuat penjelasan: Adakah seseorang yang belum cukup 21 tahun boleh mendaftar sebagai pengundi?” ujarnya.
Beliau turut keliru dan mempersoal apabila berlaku pemindahan pengundi kepada alamat yang sama hanya bagi tempoh empat hari.
“Contohnya, saya dapati seramai 31 pengundi pindah masuk ke tujuh alamat yang sama di PPR Kg Limau. Yang ganjilnya, hampir semua dipindahkan sekitar tarikh yang sama, iaitu 28 hingga 31 Mac 2011. Bertambah ganjil adalah 22 dari pengundi ini dipindahkan dari Parlimen Seputeh,” kata Nurul Izzah.
Menurutnya lagi, beliau akan menyerahkan bukti dan kepincangan tersebut sebelum sesi pertemuan di antara SPR dan Ahli Parlimen yang akan diadakan pada tarikh berkenaan.
“Saya akan menyerahkan senarai penuh alamat-alamat dan nama-nama pengundi kepada pihak SPR, dan meminta SPR menjelaskan sama ada perkara ini benar-benar berlaku,” katanya.

No comments: