Thursday, November 29, 2012

(Oleh Aisha Geoffrey) KUALA LUMPUR 28 November: Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan didesak jelaskan secara terperinci berkenaan campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam penyiasatan polis seperti yang didedahkan beliau semalam. Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendedahan Musa itu mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa menteri memang campur tangan dalam pentadbiran polis. “Pendedahan itu mengesahkan kenyataan kita selama ini menteri ada campur tangan dalam pentadbiran polis, khususnya hal ehwal politik,” kata Shamsul. “Justeru, jika pendedahan Musa itu berdasarkan prinsip dan ingin membetulkan keadaan, kita minta beliau dedahkan lebih terperinci dalam kes mana Hishammuddin telah campur tangan,” katanya ketika dihubungi. Mengikut laporan Malaysiakini, Musa menyatakan Hishamuddin campur tangan dalam pentadbiran PDRM semasa dalam kepimpinan beliau. Musa mendakwa, Hishammuddin pernah memberi arahan terus kepada pegawai-pegawai junior dan seorang ketua polis daerah tanpa pengetahuannya. Shamsul berkata, AMK sedia membawa kes tersebut ke peringkat seterusnya, jika Musa tampil menjelaskan mengenai campur tangan tersebut. “Pesanan kita kepada ketua polis sekarang, janganlah terikat dengan arahan menteri, siasat kes dengan adil tanpa sebarang pengaruh politik,” katanya.


(Oleh Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 28 November: Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya (UM) di Jalan Pantai Baru di sini diarah tutup oleh kerajaan Umno BN mulai Sabtu ini, tanpa surat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Mempertahankan Masjid Ar-Rahman, Jamlus Mansor, kain rentang dan notis pemberitahuan mengenai penutupan masjid yang digantung sejak seminggu lalu menimbulkan keresahan penduduk.

Notis penutupan juga tidak dinyatakan tempoh berapa lama masjid tersebut diselenggara.
“Kami sedih perkara ini berlaku, dan kita tidak dimaklumkan tindakan awal yang mahu diambil berhubung penutupan itu.
“Ini satu-satunya masjid yang dikatakan sebagai contoh pimpinan dahulu, tapi sekarang nak diubah suai. Kita tak halang kerja-kerja tersebut. Tapi jangan sampai sekat orang ramai nak solat sedangkan ruang masjid ini luas.
“Malah notis yang ditampal juga tanpa pengesahan daripada Jawi,” katanya pada sidang media di luar pagar masjid, hari ini ekoran halangan oleh seorang yang mengaku ahli jawatankuasa masjid tersebut.
“Ini masjid tertua dan jadi tumpuan pelajar universiti, pusat bahasa dan orang-orang luar untuk solat.
“Apa tujuan sebenar ia diarah tutup. Adakah melibatkan isu politik atau isu agama. Kita mahu perkara ini dijelaskan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang hadir sama dalam sidang media itu menggesa kerajaan menjelaskan kepada umum mengapa masjid itu perlu ditutup kepada umum.

“Kita tidak menolak keperluan (naik taraf), tapi saya mahu laporan daripada jurutera serta laporan daripada syarikat pemaju untuk menunjukkan tahap kerosakan di masjid dan adakah kemungkinan boleh buka ruangan tertentu untuk memudahkan jemaah daripada UM dan penduduk sekitar.
“Kalau perlu tutup di setengah bahagian tidak mengapa. Apa yang kita mahu diberikan ruangan solat, solat Jumaat dan kuliah yang dianjurkan pihak masjid,” katanya.
Justeru, Izzah menuntut Pengerusi Masjid, Datuk Ibrahim Thamby Chik daripada Umno Lembah Pantai tampil menjelaskan berkenaan penutupan itu.
“Sepatutnya masjid dijadikan tempat untuk diimarahkan semua. Saya datang ke sini tidak membawa bendera parti. Kita utarakan kebimbangan para jemaah.
“Kita minta secara baik supaya semua laporan ini diberikan kepada umum secara terbuka,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

No comments: