Friday, November 23, 2012

Adun BN hasut penduduk, dakwa peneroka Gatco

dipetik dari FMT


Datuk Zainal Abidin Ahmad didakwa menghasut penduduk Kampung Serampang Indah, Jelebu untuk menimbulkan suasana tegang di kalangan penduduk.
SEREMBAN: Seramai 16 peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) dari Jelebu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seremban lewat petang semalam dan mendakwa bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN-Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad menghasut penduduk kampung tersebut bagi menimbulkan suasana tegang di kalangan penduduk kampung Gatco itu sendiri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco), K Krishnan; dalam satu majlis di Balai Raya Kampung Serampang Indah pada 10 November lalu, Zainal Abidin dalam ucapan beliau dikatakan menghasut orang kampung untuk mewujudkan suasana tegang di kalangan penduduk kampung.
“Beliau menyeru kepada sekumpulan orang kampung untuk membuat laporan polis terhadap kami sekiranya kami menghalang pihak luar yang memasuki ladang yang kami usahakan selama ini.
“Kehadiran Datuk Zainal Abidin dalam majlis itu juga seolah-olah untuk meminta sokongan penduduk kampung untuk mempercepatkan usaha-usaha penebangan pokok getah di ladang kami.
“Sedangkan kami telah membuat laporan polis di Balai Polis Air Hitam dan meminta pihak polis mengawal keadaan dan kami tidak akan membenarkan mana-mana pihak memasuki ladang kami ini untuk sebarang aktiviti sebelum masalah peneroka diselesaikan terlebih dahulu”, kata Krishnan.
Krishnan kata peneroka Gatco telah menghantar satu memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 8 Ogos lepas dan mengutarakan masalah ini kepada beliau. Walaubagaimanapun Krishnan berkata mereka masih menunggu maklum balas dari Menteri Besar.
“Selagi Menteri Besar tidak memberikan jawapan beliau, kami tidak akan membenarkan mana-mana pihak memasuki dan melakukan sebarang kerja penebangan pokok getah di ladang kami.
“Tetapi dalam majlis tersebut Datuk Zainal Abidin mengeluarkan kenyataan yang berbentuk mengancam dan menakutkan kami dengan mengatakan bahawa beliau akan menyuruh Syarikat Thamarai Holdings untuk memasukkan ‘caveat’ terhadap tapak rumah kami dan kami tidak akan diberi seinci tanah pun.
Tindakan bercanggah
“Tindakan dan kelakuan beliau amatlah bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Menteri Besar ketika beliau hadir di Kampung Gatco 
dalam lawatan kerja pada 13 Julai tahun ini.

“Oleh itu kami mahu pihak polis siasat Datuk Zainal Abdidin dan pada masa yang sama pihak polis juga perlu mengawal keadaan di kampung kami dan menahan pihak-pihak tertentu yang sedang berusaha untuk mengeluarkan kayu getah dari ladang kami’, ujar Krishnan lagi.
Sementara itu Peguam Penasihat Peneroka Kampung Gatco, S Kartigesan pula berkata Zainal Abidin tidak sepatutnya mengugut dan menghasut penduduk kampung tersebut.
“Sepatutnya Kerajaan Negeri selesaikan kemelut hak pemilikan tanah ladang peneroka yang berlanjutan sejak sekian lama.
“Walaupun Menteri Besar mengumumkan setiap peneroka Kampung Gatco yang tetap akan menerima empat ekar tanah setiap seorang tetapi sehingga ke hari ini tiada dokumen atau perjanjian hitam putih tentang tawaran tersebut.
“Saya mendesak Menteri Besar selesaikan isu pembahagian tanah peneroka ini dengan segera’, kata Kartigesan.
Turut hadir menemani peneroka Gatco membuat laporan polis ialah Naib Pengerusi PKR Negeri Sembilan, V Aridass; Timbalan Yang DiPertua PAS Jelebu, Nor Anif Selamat dan Kordinator Hindraf Negeri Sembilan, S Sivakumar.

No comments: