Wednesday, January 6, 2010

Umno Raih Simpati Rakyat Isu 'Allah'


Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 6 Jan: Mengapa pemimpin Umno menjadi kelam kabut dengan isu penggunaan nama Allah oleh Herald, sedangkan dalam masa yang sama mereka memisahkan agama dan politik.

Persoalan tersebut dilontar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah melihat Umno tiba-tiba nampak serius dengan isu tersebut.

“Tahukah mereka pengertian nama Allah itu sendiri sedangkan pegangan pemimpin Umno memisahkan agama dan politik.

"Mereka sanjung perkataan Allah swt tak boleh guna sembarangan, tetapi dalam pada yang sama mereka menyebut agama lain dan politik lain,” katanya pada ceramah isu semasa di Medan Ilmu malam tadi.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Penerangan, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan Herald ‘The Catholic Weekly’.

Ekoran itu Kementerian Dalam Negeri memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin Umno sebenarnya ada agenda di sebalik isu tersebut bagi meraihkan sokongan daripada rakyat.
”Kalau mereka mengatakan agama lain, politik lain, maka siapa yang menjaga politik semasa Nabi saw masih hidup dahulu,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa hairan pemimpin negara menyanjung tokoh ulama luar negara, Dr Yusuff Al-Qardhawi sehingga memberi tokoh Maal Hijrah, sedangkan pengikut ulama tersebut di negara ini dikenakan tekanan.

Kata beliau Dr Yusuff Al-Qardhawi dalam bukunya Fiqh Al-Daulah begitu marah kepada alim ulama atau tok guru yang tidak berpolitik dalam kehidupan mereka.

"Ini juga pernah berlaku pada zaman Imam Ibn Al-Qayyim di mana beliau mengadu pemerintah pada masa itu membuat peraturan sendiri tanpa merujuk kepada Islam.

“Keadaan itu berlaku kerana alim ulama dan tok guru tidak berperanan dalam politik dan bersifat jumud.
"Raja, sultan atau amir pada masa itu menggubal undang-undang sendiri sehingga menyebabkan berlaku banyak kerosakan,” katanya.

Baru-baru ini Dr Yusoff al Qardhawi dianugerah Tokoh Maal Hijrah 1431 pada sambutan yang diadakan pada 1 Muharam lalu.

No comments: