Thursday, January 21, 2010

70 juta penduduk Malaysia menjelang 2100


Malaysia dijangka mempunyai 70 juta penduduk menjelang tahun 2100.

Tahun lalu negara menyambut kedatangan 516,645 bayi, iaitu peningkatan 3.9 peratus atau 20,231 berbanding tahun 2008.

Selangor kekal dengan kadar kelahiran paling tinggi iaitu 80,110 diikuti dengan Sabah mencatatkan 60,190 dan Johor seramai 58,597, menurut statistik yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 2008, Selangor mendahului dengan 76,932, Johor 58,517 dan Sabah 51,773.

Jumlah kematian tahun lalu ialah 129,922 berbanding 123,335 pada tahun 2008, peningkatan 5.1 peratus atau 6,587.

Selangor juga negeri yang mencatat kadar kematian yang paling tinggi iaitu 16,494 diikuti Johor 15,749 dan Perak 15,467.

Menurut laman web Jabatan Perangkaan Negara, jumlah penduduk Malaysia pada 2007 mencapai 27.17 juta dan meningkat kepada 27.73 juta pada 2008 dan dianggarkan bertambah kepada 28.31 juta bagi 2009.

Sejak beberapa tahun lalu, penduduk dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun merupakan 63 peratus daripada jumlah penduduk negara, 32 peratus berumur bawah 15 tahun manakala selebihnya berumur 65 tahun ke atas.

Cina mempunyai saiz keluarga paling kecil

Pensyarah Pusat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Marshitah Mohd Radzi berkata Malaysia mempunyai kadar kelahiran yang sihat sejak 10 tahun kebelakangan ini.

"Ini merupakan satu pertumbuhan yang sihat jika dilihat dari segi kemampuan rakyat Malaysia yang boleh menampung kelahiran tersebut," katanya.

Beliau berkata mengikut Dasar Kependudukan 1985, Malaysia dijangka mempunyai 70 juta penduduk pada 2100.

Marshitah berkata kadar kelahiran haruslah bersifat positif dan mempunyai kadar kelahiran yang bersifat serata di kawasan bandar mahupun luar bandar.

"Saiz keluarga yang makin bertambah akan mengakibatkan perbelanjaan sesuatu keluarga turut bertambah. Maka kependudukan yang positif dicapai ketika elemen saiz keluarga dan pendapatan dicapai sama-sama,” tambah beliau.

Marshitah berkata menurut analisis demografi, saiz keluraga yang paling kecil di Malaysia ada daripada etnik Cina, diikuti oleh kaum India.

Kaum Melayu masih mempunyai saiz keluarga yang ramai, katanya.

Banci penduduk dan keluarga dijangka diadakan sekali lagi pada tahun ini.

- Bernama

No comments: