Wednesday, January 13, 2010

Qazaf: Mahkamah dengar bantahan 17 Feb


Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan 17 Februari depan untuk mendengar bantahan awal tiga responden berkaitan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendakwa bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Hakim Mohd Shukor Sabudin menetapkan demikian selepas peguam responden, Zainul Rijal Abu Bakar meminta satu tarikh lain ditetapkan untuk memfailkan bantahan awal mereka.

Bantahan awal itu, katanya, adalah berasaskan tiga alasan:

1. Bidang kuasa mahkamah untuk mendengar perkara itu.

2. Prosedur permohonan tidak dipatuhi.

3. Status Zulkifli Noordin sebagai peguam yang mewakili Anwar kerana berlaku percanggahan kepentingan dan pelanggaran etika amalan Syariah.

Tiga orang responden yang dinamakan dalam permohonannya Anwar ialah ketua pendakwa syarie, Shamsuddin Hussain; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Anwar memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Anwar, 62, berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Ketiga-tiga responden tersebut dinamakan dalam permohonan Anwar kepada Mahkamah Syariah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah dan relif supaya mahkamah mendakwa Mohd Saiful atas kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41, Akta Jenayah Syariah 1997 dan/atau hukum Syarak dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Anwar juga memohon mahkamah memastikan agar responden kedua dan ketiga, tidak menghalang dan/atau mempengaruhi responden pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful.

Selain itu, Anwar juga meminta supaya kos permohonan dijadikan kos dalam kausa; relif-relif lain yang mahkamah fikirkan perlu; dan kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

No comments: