Wednesday, January 6, 2010

Enjin Jet Hilang : Dua Mengaku Tidak Bersalah curi Enjin F-5E


Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin jet milik TUDM itu.

Anggota TUDM itu dituduh bersubahat melakukan kesalahan curi dalam bangunan sementara pengarah syarikat terbabit pula didakwa atas kesalahan menghapuskan harta curi.

Enjin pesawat tempur F-5E milik tentera udara itu sebelum ini lesap dari jagaan agensi ketenteraan itu dan yang terbaru dilaporkan berada di Uruguay oleh portal Malaysiakini.

Siasatan yang dilakukan sebelum ini menggambarkan enjin jet berkenaan diseludup melalui Pelabuhan Klang sebelum dikesan di tangan syarikat asing di Argentina.

Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail malam tadi berkata, siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua enjin F-5E itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur angkara perbuatan subahat sarjan berkenaan, dan keterangan juga menunjukkan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan maklumat kedua-dua enjin jet pesawat itu yang diketahuinya sebagai harta curi.

Menurut Abdul Gani, berdasarkan keterangan-keterangan saksi dan dokumen-dokumen yang sedia ada beliau mengarahkan pertuduhan dibuat terhadap kedua-dua tertuduh.

Jika sabit kesalahan, anggota tentera itu boleh dihukum bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, manakala bagi kesalahan menolong melupuskan harta curi pengarah syarikat itu boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Kehilangan dua enjin itu dilaporkan berlaku pada 2007 ketika dibawa keluar dari Pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth, Pulau Pinang untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Ia bagaimanapun dilaporkan hilang dan hanya sedari oleh tentera pada 22 Mei 2008

No comments: