Wednesday, January 6, 2010

Kes Rayuan Tuntut Bukti Ditunda Ke Satu Tarikh Misteri


Rayuan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat memohon Mahkamah Persekutuan mengarahkan pasukan pendakwaraya menyerahkan bukti yang disorokkan ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Penangguhan ini dibuat bagi memberi masa kepada pasukan peguam memfailkan petisyen rayuan.

Hari ini, peguam Karpal Singh memberitahu Hakim Besar Malaya Arifin Zakaria, Hakim Md Raus Sharif dan Hakim Abdul Hamid Embong bahawa pasukan peguambela menerima makluman bertulis pada 30 Disember 2009 supaya menyediakan petisyen rayuan secepat mungkin.

Walaubagaimanapun Karpal menyelar kelewatan Pendaftar Mahkamah menyerahkan makluman tersebut, menyebabkan pasukan peguambela tidak mempunyai masa secukupnya untuk memfailkan petisyen.

Karpal berhujah pihaknya hanya mempunyai 10 hari bermula 30 Disember untuk memfailkan petisyen rayuan, walhal mereka seharusnya diberi sekurang-kurangnya satu bulan untuk tujuan tersebut.

Karpal menegaskan bahawa pihak mahkamah perlu mengikut prosedur sewajarnya kerana kes ini memberi kesan keatas kes-kes jenayah di masa hadapan.

Pasukan pendakwaraya turut bingung dengan tindakan mahkamah yang menetapkan kes rayuan pada hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan kes Anwar II berlangsung dari Januari 25 hingga Februari 25.

Pada 16 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pasukan pendakwaraya menyerahkan dokumen tertentu termasuk salinan kenyataan saksi, rakaman kamera litar tertutup dan laporan perubatan kepada pasukan peguambela.

Anwar berkata langkah ini perlu kerana pasukan pendakwaraya menyembunyikan bukti-bukti yang boleh membebaskan beliau dari tuduhan liwat.

Namun pada 6 November kemudian, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah tersebut dan membenarkan pasukan pendakwaraya menyembunyikan bukti-bukti yang dimaksudkan.

No comments: