Friday, March 29, 2013

Umum tarikh p’raya di N Sembilan ikut perlembagaan – Pakatan


SEREMBAN 28 Mac: Peguam Negara atau penasihat undang-undang negeri diminta menjelaskan tentang tarikh bagi pilihan raya Negeri Sembilan, berdasarkan peruntukan perlembagaan.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Dato Kamarul Baharin Abbas berkata, ini kerana tarikh pilihan raya di negeri itu perlu diadakan sebelum 18 Jun 2013.
Katanya, berdasarkan perkara 55 (1 ) dan (4) perlembagaan persekutuan,  ia menyebut pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.
Kamarul Baharin
Ia juga dijelaskan dalam Jadual Kelapan [Perkara 71] – Peruntukan yang hendaklah Dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri di bawah seksyen 9. (1) Raja hendaklah memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Menurut Kamarul, berdasarkan perkara itu, tarikh akhir DUN Negeri Sembilan bersidang ialah pada 18 Disember 2012, yang bermakna  persidangan DUN penggal berikutnya mesti diadakan sebelum 18 Jun 2013.
“Ia bermaksud pilihan raya di Negeri Sembilan perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan atau minggu ke 3 bulan Mei 2013,”
“Jadi kita minta peguam atau penasihat undang-undang negeri untuk memberi penjelasan mengenai peruntukan perlembagaan ini, supaya tidak melanggar peruntukan,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Jalan Tuanku Antah, Seremban tengahari tadi.
Turut hadir Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook, Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani dan pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan.
Sementara itu, Loke Siew Fook berkata, berdasarkan proses pilihan raya yang tertera dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), suruhanjaya itu sepatutnya mengeluarkan writ bagi memaklumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya.
“Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus.
“Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan,” ujarnya memetik proses berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ia berbeza dengan pengumuman suruhanjaya itu sejak awal yang memutuskan pilihan raya umum akan dijalankan serentak di semua negeri.
“Sedangkan tidak ada peruntukan dalam perlembagaan menyebut perkara ini. Kita tak tahu bila tarikh pilihan raya umum. (Perdana Menteri) Najib belum dapat ilham bilakah ia akan adakan.
“Dalam konteks pilihan raya negeri, ia tidak terikat dengan parlimen. Tak kira parlimen bubar atau tidak bubar, DUN mesti mengadakan pilihan raya segera. SPR perlu buat proses ini secepat mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Taufek menggesa penjawat awam agar tidak menyertai mana-mana program kerajaan yang bersifat politik, selepas pembentukan kerajaan sementara.
Katanya, SPR perlu mengeluarkan garis panduan jelas berhubung perkara itu agar ia tidak menjejaskan proses ketelusan pilihanraya di negeri itu.

No comments: