Friday, March 22, 2013

Tan Sri lawan Tan Sri di Johor Bahru?


Selepas mengumumkan tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah Isnin lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi Johor Bahru pada pilihan raya umum ke-13.

Pengumuman itu dijadual dibuat oleh Anwar yang juga ketua pembangkang esok di Johor Bahru.

azlan
Desas desus kini bertiup kencang apabila bekas panglima tentera darat Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein - yang baru menyertai PKR pada 6 Mac lalu - dikatakan akan bertanding di kerusi itu.

Md Hashim dijangka bertanding menentang penyandangnya Tan Sri Shahrir Abdul Samad. Johor Bahru merupakan kubu kuat Shahrir sejak sekian lama dan beliau pernah bertanding atas tiket bebas dan menang dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil akhir 1980-an.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrir - tokoh Umno yang berpengalaman dan pernah menjadi menteri kabinet - menewaskan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hassan Karim dengan majoriti 25,349 undi.

Sementara itu sumber-sumber memberitahu Malaysiakini beberapa lagi tokoh baru dalam PKR disebut-sebut akan bertanding kerusi parlimen di negeri selatan Semananjung Malaysia itu.

'Payung terjun' di Batu Pahat

Dikatakan seorang lagi bekas panglima tentera darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid disebut-sebut akan bertanding di kerusi Pasir Gudang. Manakala menurut satu lagi sumber, kedudukannya bertanding di situ masih belum dimuktamadkan.

Pasir Gudang diwakili Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin. Beliau menang dengan majoriti 17,281 undi menentang calon PKR Md Rizan Mohd Saman.

Lebih mengejutkan apabila nama naib presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan bekas pemimpin Abim, Datuk Idris Jauzi turut disebut-sebut untuk bertanding di Batu Pahat.

NONE
Bagaimanapun, hal tersebut dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong ketua cabang PKR Batu Pahat Syed Hamid Ali - adik kepada bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali.

Mereka mewujudkan laman sosial Facebook menyokong Syed Hamid sebagai calon PKR di parlimen itu dan menolak calon "payung terjun" yang didakwa bergelar "dato".

"Bertahun-tahun Pak Habib buat kerja, sekarang orang lain pula mahu kutip hasilnya. Calon 'payung terjun' ini ialah seorang "dato" yang mengaku dirinya sebagai calon PKR Parlimen Batu Pahat.

"Kononnya Syed Hamid Ali (Ketua Cabang PKR Batu Pahat) telah setuju beri laluan kepadanya! Satu lagi pembohongan!" poster itu dipetik.

Chua Jui Meng disebut lwn Subra

Pada pilihan raya umum lalu, Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi menang dengan majoriti 12,968 menentang calon PKR Muhammad Abdullah.

NONE
Sementara itu, sumber juga memberitahu nasib Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Datuk Seri Chua Jui Meng turut akan bertanding di Johor tetapi tidak dapat dipastikan kerusi parlimen mana.

Khabar angin menyebut beliau yang juga bekas menteri kesihatan akan bertanding di parlimen Segamat yang kini diwakili oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S Subramaniam. Beliau menang dengan majoriti 2,991 menentang calon DAP Pang Hok Liong.

Sebelum ini Anwar telah mengumumkan beberapa tokoh PKR yang akan bertanding termasuk Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution di Kulim Bandar Baharu, Naib Presiden N Surendran (Padang Serai) dan Pengerusi PKR Perak Datuk Mohd Nor Manuty di Bagan Serai.

No comments: