Saturday, March 9, 2013

Sah konspirasi, AG perlu batal rayuan kes Fitnah II- Sivarasa


KUALA LUMPUR 9 Mac: Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail digesa menggugurkan kes rayuan yang difailkan Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes Fitnah II.
Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, ini kerana pengakuan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim semalam mengesahkan kes berkenaan merupakan konspirasi politik.
“Kalau ayahnya (Saiful) boleh mendedahkan perkara ini kepada umum bahawa anaknya dipergunakan oleh pegawai Perdana Menteri, ini mengesahkan adanya unsur politik.
“Jadi saya desak Ketua Peguam Negara (AG), Tan Sri Gani Patail menggugurkan kes kerana kenyataan itu memperkukuhkan dakwaan bahawa ia konspirasi terancang,” katanya ketika dihubungi.
Pada 20 Januari 2012, Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ketua Umum KEADILAN itu daripada dakwaan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari.
Semalam,  bapa Saiful mengadakan sidang media bagi mendedahkan bahawa anaknya dipergunakan dalam kes fitnah II dan mengakui ia konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar.
Azlan dalam kenyataannya mengakui anaknya dipergunakan, termasuk oleh Khairil Annas Jusoh, pegawai khas kepada Perdana Menteri yang merupakan dalang kepada fitnah tersebut.
Mengulas lanjut, Sivarasa berkata adalah penting peguam negara menggugurkan kes ini dan jika tidak, pendakwa akan dilihat cuba memanipulasi sistem perundangan.
Katanya, walaupun bapa Saiful bukan saksi dalam kes tersebut, namun pengakuannya menunjukkan kes itu merupakan pendakwaan politik.
Tambah beliau, pihak berkuasa juga perlu menyiasat pengakuan Azlan bahawa dia dipergunakan yang bermaksud dipaksa oleh pihak terbabit.
Ini kerana Azlan memberitahu kenyataan beliau dan Saiful kepada media sebelum ini merupakan skrip yang disediakan oleh Khairil Anas dan peguam mewakili Saiful, Zamri Idrus.
“Pihak yang dinyatakan perlu disiasat kerana bapa Saiful menyatakan dia dipergunakan. Kenyataan (Azlan) ini sangat berat dan perlu diambil serius,” katanya. – RM
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46825

No comments: