KUALA LUMPUR 7 MAC: Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah bukti Najib Razak Perdana Menteri pertama gagal mempertahan keselamatan rakyat dan negara, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Katanya, kegagalan Najib memastikan keselamatan rakyat terjamin apabila kes jenayah semakin meningkat menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan.
“Inilah bukti Najib PM pertama memperlihatkan kegagalan mempertahan keselamatan negara apabila penceroboh boleh memasuki perairan negara. Ini menjadikan keselamatan rakyat terancam dan tidak dijamin,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.
Dalam pada itu, Rafizi membidas kritikan Perdana Menteri berhubung Manifesto Pakatan Rakyat, ketika BN masih belum membentangkan manifestonya.
Beliau berkata, Najib seolah-olah sudah bersedia menjadi Ketua Pembangkang apabila membiarkan Pakatan membentangkan manifesto terlebih dahulu.
“Najib juga Perdana Menteri pertama yang membiarkan pakatan pembangkang membentangkan manifesto. Tapi beliau asyik kritik tawaran Pakatan. Ini sangat memalukan ketika
manifesto BN belum muncul. Nampak sangat Najib sedang menyiapkan diri untuk menjadi pembangkang selepas pilihan raya,” kata Rafizi ketika dihubungi.
Najib dalam ucapannya di Kangar, Perlis Ahad lalu mengatakan kononnya manifesto Pakatan tidak boleh dipercayai dan menuduh Pakatan hanya pandai berjanji.
“Najib sepatutnya cermin diri sebelum mengkritik Manifesto Pakatan. BN sendiri mana manifesto mereka? Sepatutnya manifesto disediakan kerajaan, dan dibangkang pula pembangkang, tapi yang berlaku sekarang sebaliknya,” katanya.
“Najib selalu tunjuk berani bila berucap di kalangan orang-orangnya. Kalau nak tahu tawaran mana yang boleh dipercayai, kenapa tak berdebat saja dengan Anwar (Ibrahim)? Dengan cara itu rakyat boleh tahu manifesto siapa yang bohong atau tidak,” bidas Rafizi.
Najib dalam ucapannya turut berkata, kononnya ekonomi berkembang sejak Dasar Transformasi Nasional dilaksanakan empat tahun lalu.
“Rekod pentadbiran Najib menyaksikan ekonomi berkembang paling sedikit. Sepatutnya ekonomi boleh mencapai sehingga 7%, tetapi di bawah pentadbiran Najib, ia hanya 5%. Ini tidak seimbang dengan kekayaan sumber negara,” kata Rafizi.
Pakatan membentangkan manifesto dengan tema Pakatan Harapan Rakyat pada 25 Februari lalu.
Pelbagai kebajikan dan penurunan kos hidup untuk segenap lapisan rakyat terutama golongan miskin dan anak muda ditawar menerusi manifesto itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46645
No comments:
Post a Comment