Friday, March 29, 2013

Umum tarikh p’raya di N Sembilan ikut perlembagaan – Pakatan


SEREMBAN 28 Mac: Peguam Negara atau penasihat undang-undang negeri diminta menjelaskan tentang tarikh bagi pilihan raya Negeri Sembilan, berdasarkan peruntukan perlembagaan.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Dato Kamarul Baharin Abbas berkata, ini kerana tarikh pilihan raya di negeri itu perlu diadakan sebelum 18 Jun 2013.
Katanya, berdasarkan perkara 55 (1 ) dan (4) perlembagaan persekutuan,  ia menyebut pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.
Kamarul Baharin
Ia juga dijelaskan dalam Jadual Kelapan [Perkara 71] – Peruntukan yang hendaklah Dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri di bawah seksyen 9. (1) Raja hendaklah memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Menurut Kamarul, berdasarkan perkara itu, tarikh akhir DUN Negeri Sembilan bersidang ialah pada 18 Disember 2012, yang bermakna  persidangan DUN penggal berikutnya mesti diadakan sebelum 18 Jun 2013.
“Ia bermaksud pilihan raya di Negeri Sembilan perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan atau minggu ke 3 bulan Mei 2013,”
“Jadi kita minta peguam atau penasihat undang-undang negeri untuk memberi penjelasan mengenai peruntukan perlembagaan ini, supaya tidak melanggar peruntukan,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Jalan Tuanku Antah, Seremban tengahari tadi.
Turut hadir Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook, Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani dan pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan.
Sementara itu, Loke Siew Fook berkata, berdasarkan proses pilihan raya yang tertera dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), suruhanjaya itu sepatutnya mengeluarkan writ bagi memaklumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya.
“Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus.
“Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang akan dijalankan,” ujarnya memetik proses berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ia berbeza dengan pengumuman suruhanjaya itu sejak awal yang memutuskan pilihan raya umum akan dijalankan serentak di semua negeri.
“Sedangkan tidak ada peruntukan dalam perlembagaan menyebut perkara ini. Kita tak tahu bila tarikh pilihan raya umum. (Perdana Menteri) Najib belum dapat ilham bilakah ia akan adakan.
“Dalam konteks pilihan raya negeri, ia tidak terikat dengan parlimen. Tak kira parlimen bubar atau tidak bubar, DUN mesti mengadakan pilihan raya segera. SPR perlu buat proses ini secepat mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Taufek menggesa penjawat awam agar tidak menyertai mana-mana program kerajaan yang bersifat politik, selepas pembentukan kerajaan sementara.
Katanya, SPR perlu mengeluarkan garis panduan jelas berhubung perkara itu agar ia tidak menjejaskan proses ketelusan pilihanraya di negeri itu.

Tuesday, March 26, 2013

Program Minggu Ini


CERAMAH UMUM PAKATAN RAKYAT
Tarikh: 30 Mac / Sabtu 
Masa : 9.00 - 12.00 malam. 
Tempat: Dataran Tok Dagang, Paroi. 
 
Penceramah:
Artis Pak Long 'Sekali ada rindu'. 
Leman Raja Lawak.
YB Manickavasagam.
YB Taufek Abd Ghani
YB Loke Siew Fook.
YB Dato Kamarul Baharin Abbas

Najib perlu segera bubar parlimen, elak kekeliruan- Prof Aziz Bari


KUALA LUMPUR 26 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membubarkan parlimen segera bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan khasnya di kalangan rakyat, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Ini kerana Dewan Undangan Negeri Sembilan kini menjadi DUN pertama terbubar secara automatik, sedangkan parlimen masih belum dibubarkan.
Keadaan itu, kata Aziz, menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan  ‘terkial-kial’ berhadapan situasi seperti itu.
Semalam, Mohamad berkata, DUN Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada Khamis 28 Mac ini, sekiranya tiada pembubaran DUN berlaku pada Rabu, 27 Mac.
Mohamad berkata, kerajaan negeri menggunapakai Akta Interpretasi 1984 dan 1967 bagi menentukan tarikh DUN dibubar secara automatik, di mana DUN di negeri itu kali pertama bersidang pada 25 Mac 2008.
Bagaimanapun menurut Aziz, beliau hairan dengan keputusan itu, sedangkan perlembagaan jelas menyebut DUN akan terbubar sendirinya setelah genap tempoh lima tahun bersidang.
“Saya berasa aneh tentang perlunya MB Negeri Sembilan merujuk kepada Akta Tafsiran 1967. Rujukan ini hanya perlu sekiranya ada kesamaran.
“Tempoh lima tahun itu jelas disebut oleh perlembagaan, dikira dari sidang pertama dewan selepas PRU. Apa yang tak jelas disini?
“Kita kena ingat perlembagaan mengatasi undang-undang lain; termasuk undang-undang bertulis bernama Akta Tafsiran 1967 itu.
“Najib kena bubar cepat. Sebab kalau tidak akan keliru; dan Mohamad Hasan ini sudah terkial-kial. Kenapa Najib biarkan MB dia terkial-kial dan malu begitu?,” soal bekas Pensyarah
Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa itu lagi.

Mengulas mengenai penubuhan kerajaan sementara di Negeri Sembilan, Aziz berkata Yam Tuan Besar boleh melantik Mohamad Hasan semula sebagai menteri besar.
Katanya, meskipun ia tidak dijelaskan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,  istana perlu menunjukkan keprihatinan terhadap perkara itu bagi memenuhi amalan tersebut.
“Kuasa itu ditentukan oleh Yamtuan; atau kalau di peringkat persekutuan Yang Di Pertuan Agong. Atau Sultan atau Yang di Pertua Negeri kalau di negeri lain.
“Yamtuan – atau Agong – perlu lantik kerajaan untuk memberi nasihat kepada baginda. Dalam bahasa biasa menjalankan rutin pentadbiran.
“Ketua negeri atau ketua negara mesti sentiasa ada kerajaan untuk memberi nasihat. Ini tidak boleh dilambat-lambatkan,” katanya ketika dihubungi.
Secara prinsip, katanya, sesiapa sahaja boleh dilantik mengetuai kerajaan sementara ini.  Ia katanya, menjadi amalan biasa di negara yang mengamalkan sistem kerajaan berpelembagaan atau westminster lain.
Malah kata Aziz, tanpa penubuhan kerajaan sementara pun, pentadbiran negara atau negeri masih boleh dijalankan seperti biasa oleh penjawat awam sedia ada.
“Saya fikir pentadbiran negara boleh berjalan macam biasa. Ketua Setiausaha Negara kan ada, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara pun ada. Apa yang susah sangat?,” soalnya.
Dengan kata lain, katanya, perdana menteri atau menteri besar boleh mengundurkan diri jika mandat yang diberi kepada mereka berakhir. Ini sekaligus mengelakkan sebarang salahgunakuasa,  khasnya membabitkan jentera kerajaan ketika pilihan raya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48406

Politik lucah taktik terakhir Umno lawan Pakatan Rakyat – Saifuddin


PETALING JAYA 26 MAC: Penyebaran video seks fitnah melibatkan pimpinan KEADILAN taktik terakhir Umno BN berdepan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, taktik kotor itu terpaksa digunakan kerana Umno BN kehabisan ‘umpan’ untuk mengalahkan kekuatan Pakatan Rakyat.
Saifuddin
“Umno BN takkan pernah berhenti (sebar fitnah). Mereka tidak mampu lawan dari segi dasar, tawaran dan rekod pemerintahan. Mereka hanya boleh bergerak di atas penguasaan media perdana untuk membina persepsi hodoh rakyat terhadap pemimpin KEADILAN dengan menerbit video jijik dan tidak bermaruah.

“Ajak debat tak nak, kita (Pakatan) buat manifesto, dia (Umno BN) tak buat. Kita lancar manifesto, dia lancar video,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Saifuddin mengulas pendedahan terbaru video lucah yang didakwa melibatkan pimpinan KEADILAN yang ditonton beliau bersama beberapa pemimpin parti.
Menurutnya, video itu dipertonton kepada beliau oleh ejen Umno tiga hari lalu dalam kereta yang dipandu sekitar Kuala Lumpur.
“Ada satu dua lagi video yang akan diberikan kepada kita. Setakat ini video dan gambar lucah melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
“Maklumat kita terima dari pelbagai. Berdasarkan pratonton, kita juga dapat maklumat ada video melibatkan Menteri Besar Selangor yang meragukan dalam pembikinan. Ini melibatkan sumber-sumber penting dalam Umno BN,” kata Saifuddin.
“Ejen tersebut beritahu saya, ada dua lagi (video pemimpin KEADILAN) yang akan diberi kita tengok. Ejen-ejen itu saya tidak pernah kenali, tetapi mereka seperti mengetahui banyak tentang video-video aksi dalam pembikinan,” kata Ahli Parlimen Machang itu.
Menurut Saifuddin lagi, video yang ditontonnya dalam kereta tersebut tidak memaparkan aksi lucah, tetapi hanya memberi gambaran aksi SX 18 dan imej gambar berkenaan dikaburkan.
“Mereka tidak berniat untuk menayangkan video yang terang. Mereka mahu tunjuk asalkan ia nampak seakan-akan watak sebenar, itu sudah cukup buat mereka.
“Mereka mahu kita terjebak dengan taktik tersebut, sebab itu kita maklumkan kepada rakyat tentang hal itu,” katanya. – NS
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48416

PKR juga tolak tawaran siaran 10 minit RTM


PKR hari ini menolak tawaran Radio Televisyen Malaysia kepada parti pembangkang untuk menyiarkan manifesto mereka selama 10 minit di saluran tersebut.

Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata parti tersebut menolak tawaran berkenaan yang dilihat sebagai "muslihat politik".

"Tawaran siaran 10 minit itu satu penghinaan kepada pemikiran rakyat," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Menteri penerangan (Datuk Seri) Rais Yatim menggunakan tawaran ini untuk membuktikan (kerajaan memberi) akses bebas kepada media, tapi sebenarnya tidak," katanya.

Pengumuman Bubar?


Monday, March 25, 2013


Kenapa saya masuk PKR?


Anwar: Siasat pertemuan Najib & Aziz Shamsuddin dengan Esmail Kiram


KOTA KINABALU 25 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pihak berkuasa menyiasat bukti bergambar pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Aziz Shamsuddin dengan Esmail Kiram, pimpinan Kesultanan Sulu.
“Ada bukti bergambar foto pertemuan dengan Aziz Shamsuddin, Menteri dan bekas Setiausaha politik Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang terlibat dalam projek IC dan juga dengan Datuk Seri Najib.
“Patut ada siasatan rapi tentang hubungan mereka dengan pimpinan Umno. Tidak hanya menuding dan tohmah pemimpin pembangkang,” kata Anwar pada sidang media bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah di Hoytel Hyatt, hari ini.
Media semalam melaporkan pasukan keselamatan mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna pada 23 Mac lalu ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.
Amir Bahar anak kedua Esmail Kiram kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.
Polis semalam melaporkan, lelaki berusia lewat 40-an itu adalah Menteri Pertahanan Sulu yang bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Februari lepas.
Kata Anwar, siasatan perlu dibuat kerana ia berkait dengan insiden keganasan di Lahad Datu dan projek IC yang memberi kesan terhadap keamanan di Sabah.
“Kenyataan Pakatan Rakyat jelas. Menyokong pasukan keselamatan. Tetapi kita mengingatkan, isu ini adalah isu nasional dan keselamatan negara dan tidak harus dipolitikkan,” katanya.
Gambar yang tersebar di internet dan media sosial sejak sebulan lalu menunjukkan pertemuan pemimpin Umno dengan waris Sultan Sulu yang menceroboh Lahad Datu sejak pertengahan Februari 2013.
Antara pemimpin Umno yang dirakam bersama Esmail Kiram adalah Aziz Shamsuddin, Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Adbullah Ahmad Badawi. – SDQ
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48307

MB Negeri Sembilan tak faham konsep pemisahan kuasa- Prof Aziz Bari


KUALA LUMPUR 25 Mac: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak faham perlembagaan apabila menyamakan isu kerajaan sementara dengan konsep pengasingan kuasa, kata pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau berkata demikian sebagai respon kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kerajaan negeri itu masih sah, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, Selasa ini.
Hasan dalam kenyataan semalam berkata, menerusi sistem demokrasi berparlimen atau westminster, hanya kuasa oleh wakil rakyat akan terbubar jika DUN mencapai tempoh lima tahun, sementara kehakiman dan eksekutif masih perlu dijalankan.
Mengulas perkara itu, Aziz yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, dalam sistem westminster di Malaysia, kuasa eksekutif iaitu pemerintah dilantik oleh legislatif (perundangan).
“Dia (Mohamad Hasan) tak faham perlembagaan. Kerajaan sementara tidak ada kena mengena dengan pemisahan kuasa.
“Dalam sistem westminster, kerajaan itu dilantik daripada dewan (legislatif). Jadi apa lagi autoriti yang dia ada.
“Kalau Dewan habis (bubar), bermakna habislah kerajaan itu. Ibarat pelantar, kalau pelantar dah runtuh takkan boleh bina rumah atas air,” ujarnya ketawa ketika dihubungi.
Justeru Aziz menegaskan, kerajaan Negeri Sembilan tetap akan menjadi sebuah kerajaan haram, sekiranya kerajaan sementara tidak dilantik secara rasmi selepas 26 Mac ini.
“Maknanya, dia (Mohamad Hasan) tidak boleh buat keputusan penting selepas dilantik, tidak boleh ada mesyuarat Exco dan lain-lain. Dalam keadaan dewan sudah melepasi 5 tahun, apalagi moral yang dia ada. Kerajaan sementara kena dilantik secara formal,” tegas beliau.
Oleh sebab itu katanya, pihak istana perlu melantik Mohamad Hasan sebagai ketua kerajaan sementara, sesegera yang mungkin.
Katanya lagi, jika tidak, ia akan menimbulkan pelbagai isu berhubung kemudahan yang diguna menteri besar itu, termasuk kediaman dan kenderaan rasmi serta soal pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan negeri.
Menurut Aziz, kerajaan sementara yang ditubuhkan selepas itu pula mesti melakukan tugasan rutin sahaja dan tidak boleh membuat keputusan penting seperti meluluskan peruntukan mengguna wang kerajaan negeri.
Ditanya mengenai negara yang mengamalkan sistem westminster seperti Bangladesh yang menetapkan kerajaan sementara secara rasmi dalam perlembagaan, Aziz berkata, ini kerana perlembagaan mereka dikira baru, berbanding Malaysia.
Di negara itu, selepas dewan parlimennya dibubar, kerajaan sementara akan diletak di bawah satu majlis khas yang diketuai Ketua Hakim Negara.
Ini bermaksud kerajaan sementara di Bangladesh bukan sekadar melibatkan fungsi kerajaan, tetapi perubahan organisasi.
Di Australia dan New Zealand, dokumen rasmi menyebut tentang amalan ini, namun kebanyakan negara mengamalkan kerajaan sementara secara konvensyen, atau tidak bertulis.
“Ini kerana mereka lebih bertamadun dan beradab. Di UK (United Kingdom), walaupun tidak ada perlembagaan bertulis, tetapi mereka mengikut adat, jika habis tempoh maka dewan akan terbubar sendiri,” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48289

Friday, March 22, 2013

Tan Sri lawan Tan Sri di Johor Bahru?


Selepas mengumumkan tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah Isnin lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi Johor Bahru pada pilihan raya umum ke-13.

Pengumuman itu dijadual dibuat oleh Anwar yang juga ketua pembangkang esok di Johor Bahru.

azlan
Desas desus kini bertiup kencang apabila bekas panglima tentera darat Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein - yang baru menyertai PKR pada 6 Mac lalu - dikatakan akan bertanding di kerusi itu.

Md Hashim dijangka bertanding menentang penyandangnya Tan Sri Shahrir Abdul Samad. Johor Bahru merupakan kubu kuat Shahrir sejak sekian lama dan beliau pernah bertanding atas tiket bebas dan menang dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil akhir 1980-an.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrir - tokoh Umno yang berpengalaman dan pernah menjadi menteri kabinet - menewaskan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hassan Karim dengan majoriti 25,349 undi.

Sementara itu sumber-sumber memberitahu Malaysiakini beberapa lagi tokoh baru dalam PKR disebut-sebut akan bertanding kerusi parlimen di negeri selatan Semananjung Malaysia itu.

'Payung terjun' di Batu Pahat

Dikatakan seorang lagi bekas panglima tentera darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid disebut-sebut akan bertanding di kerusi Pasir Gudang. Manakala menurut satu lagi sumber, kedudukannya bertanding di situ masih belum dimuktamadkan.

Pasir Gudang diwakili Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin. Beliau menang dengan majoriti 17,281 undi menentang calon PKR Md Rizan Mohd Saman.

Lebih mengejutkan apabila nama naib presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan bekas pemimpin Abim, Datuk Idris Jauzi turut disebut-sebut untuk bertanding di Batu Pahat.

NONE
Bagaimanapun, hal tersebut dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong ketua cabang PKR Batu Pahat Syed Hamid Ali - adik kepada bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali.

Mereka mewujudkan laman sosial Facebook menyokong Syed Hamid sebagai calon PKR di parlimen itu dan menolak calon "payung terjun" yang didakwa bergelar "dato".

"Bertahun-tahun Pak Habib buat kerja, sekarang orang lain pula mahu kutip hasilnya. Calon 'payung terjun' ini ialah seorang "dato" yang mengaku dirinya sebagai calon PKR Parlimen Batu Pahat.

"Kononnya Syed Hamid Ali (Ketua Cabang PKR Batu Pahat) telah setuju beri laluan kepadanya! Satu lagi pembohongan!" poster itu dipetik.

Chua Jui Meng disebut lwn Subra

Pada pilihan raya umum lalu, Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi menang dengan majoriti 12,968 menentang calon PKR Muhammad Abdullah.

NONE
Sementara itu, sumber juga memberitahu nasib Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Datuk Seri Chua Jui Meng turut akan bertanding di Johor tetapi tidak dapat dipastikan kerusi parlimen mana.

Khabar angin menyebut beliau yang juga bekas menteri kesihatan akan bertanding di parlimen Segamat yang kini diwakili oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S Subramaniam. Beliau menang dengan majoriti 2,991 menentang calon DAP Pang Hok Liong.

Sebelum ini Anwar telah mengumumkan beberapa tokoh PKR yang akan bertanding termasuk Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution di Kulim Bandar Baharu, Naib Presiden N Surendran (Padang Serai) dan Pengerusi PKR Perak Datuk Mohd Nor Manuty di Bagan Serai.

Campur tangan BN jejas tugas polis – bekas Pengarah SB Sabah


KUALA LUMPUR 22 MAC: Campur tangan politik pemimpin Umno BN antara punca polis gagal menangani isu keselamatan dan membendung jenayah, kata bekas Pengarah Cawangan Khas (SB) Sabah, Yusuf Barji.
“SB adalah jabatan yang menjalankan tugas secara rahsia demi keselamatan negara meliputi aspek ekonomi, ancaman dalam dan luar.
“Tapi sejak dikawal Majlis Keselamatan Negara (MKM) yang terletak dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM), ia menjadi lemah dan ditindas.
“Ia memecah belah dan mengurangkan kuasa polis. MKM menyebabkan tugas polis terarah kepada lawan politik, bukan lagi isu keselamatan negara dan rakyat,” katanya.
polis rogol
Beliau berkata demikian depan kira-kira 1,000 penduduk yang hadir forum bertajuk ‘Bicara Keselamatan dan Kedaulatan Negara: Lahad Datu’ di Dewan Datuk Ahmad Razali, Ampang, malam tadi.

Yusuf berkata, kawalan MKM menyebabkan moral anggota polis tergugat berikutan MKM tidak ada kepakaran tapi dibiar menguasai jabatan SB.
Katanya, perbuatan menjadikan SB sebagai medium kepentingan pihak tertentu dalam BN  membawa kerosakan kepada reputasi polis.
Secara lantang, beliau mahu peranan sebenar polis dikembalikan supaya keyakinan rakyat dapat dipulihkan.
“Kita mahu peranan polis seperti dulu. Dulu polis sangat rapat dengan rakyat. Sampaikan kalau sesiapa jumpa anggota polis, mereka panggil ‘datuk’.
“Situasi itu kita kena wujudkan semula dengan polis diberi kuasa penuh menjalankan kerja, bukan ikut arahan pemimpin politik,” katanya.
Menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Yusuf yakin institusi kepolisan hanya dapat dipulihkan melalui pertukaran kerajaan.
“Ini kerja Mahathir. Semasa era beliau, banyak kuasa polis diambil dan diberi kepada jabatan lain demi kepentingan peribadi,” katanya.
(FZL)
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48013

Anwar umum 5 calon KEADILAN tanding kerusi Parlimen Sarawak


KUALA LUMPUR 21 MAC: Lima calon KEADILAN diisytihar akan bertanding kerusi Parlimen Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Mereka adalah Baru Bian mewakili Parlimen Limbang, Ali Biju (Saratok), Abang Zulkifli Abang Engkeh (Batang Lupar), Abun Sui Anyit (Hulu Rajang) dan Roland Engan (Baram).
DSAI 2
Pengumuman itu dibuat Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti semalam.

Antara calon yang hadir pada sidang media pengumuman itu, Baru dan Ali, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How.
Menurut Anwar, kawasan terbabit yang diputuskan KEADILAN setakat ini tiada pertindihan dengan PAS dan DAP.
Baru yang merupakan Adun Ba’kelalan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 adalah Pengerusi KEADILAN Sarawak.
Beliau adalah pemimpin veteran dan pembabitannya dalam politik bermula dengan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Kongres Dayak Malaysia dan juga pernah bertanding di bawah tiket Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pada 2006.
Baru juga terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan tanah hak adat pribumi (NCR).
Ali pula Timbalan Pengerusi Negeri dan Adun Kerian selepas memenangi kerusi tersebut, juga pada PRN 2011.
Sementara Abun adalah tokoh yang konsisten memperjuangkan hak tanah adat bagi rakyat Sarawak. Beliau mula dikenali selepas membela rakyat yang tertindas akibat pembinaan empangan Bakun.
Manakala Roland ialah peguam yang aktif berkhidmat mewakili penduduk Baram, antaranya berhubung pembinaan empangan Baram yang mengganggu kehidupan mereka.
Abang Zulkifli yang merupakan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri sebelum ini menyuarakan isu petani miskin di Sebangan yang terjejas ekoran kelembapan kerajaan membaiki tambak menyebabkan air laut masuk merosakkan tanaman.
Bekas Setiausaha KEADILAN Negeri itu pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas pada PRN 2011. – NS
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47973

Kerajaan Negeri Sembilan haram selepas 26 Mac – Dr Aziz Bari


KUALA LUMPUR 22 Mac: Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadi kerajaan haram jika ia terus beroperasi selepas 26 Mac, kata pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, DUN Negeri Sembilan akan bubar dengan sendiri pada tarikh tersebut jika tiada  pembubaran DUN dilakukan sebelum itu.
“Sekiranya kerajaan Negeri Sembilan terus beroperasi selepas Selasa, 26 Mac ini, kita boleh katakan yang ia haram. Ini kerana pada tarikh itu DUN Negeri Sembilan bubar secara automatik.
“Dalam sistem demokrasi berparlimen – atau Westminster – hayat kerajaan bergantung kepada dewan. Bila dewan bubar kerajaan pun ikut bubar.
“Sebuah kerajaan sementara (caretaker government) perlu dilantik oleh Yam Tuan Besar. Menteri Besar (MB) yang ada boleh dilantik sebagai MB sementara,” katanya kepada Keadilan Daily.
Untuk rekod, sidang pertama Dewan Rakyat adalah pada 28 April 2008, manakala sidang DUN pertama pula bermula dengan Negeri Sembilan iaitu pada 26 Mac dan diikuti DUN-DUN lain pada bulan April 2008.
Menurut Aziz, adalah tidak bermoral bagi kerajaan negeri atau pusat terus berkuasa kerana ia telah melebihi tarikh 8 Mac, iaitu melepasi tempoh mandat lima tahun yang diberikan sejak pilihan raya umum (PRU) 2008.
“Kalau dulu taklah menonjol sangat sebab dewan (Dewan Rakyat dan DUN) dibubar sebelum 5 tahun. Sekurang-kurangnya adalah hujah moral untuk tidak melantik kerajaan sementara secara formal,
“Tetapi sekarang ini lain, tarikh 8 Mac sudah jauh ditinggalkan. Tempat berpijak yang ada hanyalah tarikh dewan bersidang buat kali pertama selepas PRU yang lalu. Kalau tarikh yang itu pun sudah luput, apalagi alasan untuk kerajaan ini berada di situ dan menggunakan kemudahan serta wang rakyat,” katanya.
Justeru katanya, kerajaan sementara yang dilantik di Negeri Sembilan selepas 26 Mac perlu melaksanakan prinsip tersebut dengan menjalankan fungsi terhad sebagai sebuah kerajaan.
Ia katanya, termasuk tidak  membuat sebarang keputusan kritikal seperti meluluskan tanah, projek kerajaan atau menyampaikan bantuan kerajaan.
“Kerajaan sementara ini sekadar buat kerja rutin dan tak boleh buat inisiatif penting. Guna kemudahan awam lagilah tak boleh. Naikkan gaji pun menimbulkan persoalan,” ujarnya.
Menyifatkan tempoh yang ada pada kerajaan ibarat ‘simpanan petrol’ dalam tangki minyak sebuah kereta, Aziz menggesa  parlimen segera dibubar agar mandat baru diberikan oleh rakyat.
“Tarikh 26 Mac itu – atau 28 April dalam konteks Dewan Rakyat – ibarat petrol reserve.
“Maknanya kalau minyak habis, kereta kena berhenti dan isi minyak. Isi minyak di sini bermaksud bubar dewan dan adakan pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat atau autoriti baru dari rakyat,” kata Aziz.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48039

Semakan daftar pemilih buktikan Papagomo pengundi hantu


PETALING JAYA 22 MAC: Pemilik blog Papagomo yang kerap memapar kandungan berunsur fitnah dan lucah sebelum disaman Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, didedah hari ini merupakan pengundi hantu berdasarkan bukti senarai daftar pemilih yang disemak KEADILAN.
Pendedahan terbaru ini dibuat Pengarah Strategi, Rafizi Ramli pada sidang media di ibu pejabat parti, di sini pagi tadi.
Berikut kenyataan penuh pendedahan tersebut:
Pasukan KEADILAN telah memulakan siasatan untuk mengenalpasti individu yang mengendalikan laman Papagomo yang bertindak sebagai ruang menabur fitnah dan didokong sepenuhnya oleh Umno.
Siasatan menunjukkan individu yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris ini adalah seorang bekas anggota polis trafik berpangkat koperal yang telah dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memeras ugut seorang yang disyaki penagih dadah untuk mendapat suapan rasuah.
(Maklumat lanjut pertuduhan dan kesalahan ada dilampirkan di SINI, hasil semakan dengan pengkalan data SPRM)
Semakan tersebut mengesahkan nombor pengenalan polis Papagomo yang bernombor RF142863.
Dengan nombor tersebut, pasukan KEADILAN telah menyemak pula rekod Papagomo dengan sistem semakan daftar undi SPR.
hantu
Hasil semakan sangatlah mengejutkan kerana Papagomo yang telah pun tidak lagi berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia kerana kesalahan rasuah masih lagi tersenarai sebagai pengundi pos di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang. Bukti paparan skrin bahawa Papagomo masih disenaraikan sebagai pengundi pos di IPD Ampang disertakan dalam Lampiran B.

Kami kemudiannya menyemak pula status pendaftaran undi Papagomo sebagai pengundi biasa di sistem yang sama. Seperti yang dijangka, Papagomo juga turut tersenarai sebagai pengundi biasa dengan menggunakan kad pengenalan 830121-03-5019. Dengan menggunakan kad pengenalan itu, Papagomo disenaraikan sebagai pengundi di Parlimen Wangsa Maju seperti paparan skrin dalam Lampiran B.
Oleh kerana tarikh lahir yang berbeza digunakan di dalam sistem semakan daftar undi SPR, pasukan KEADILAN kemudiannya menyemak pula alamat-alamat yang pernah digunakan oleh Papagomo dalam dokumen-dokumen rasmi.
Saya mengesahkan bahawa kami ada dokumen yang membuktikan bahawa Papagomo memang menggunakan dua alamat yang berbeza secara seiringan di dalam dokumen-dokumen rasmi bersabit peguam dan mahkamat seperti berikut:
Alamat Pertama dalam Parlimen Wangsa Maju yang kini didiami:
F-1-9, Villa Danau Apartment, Jalan 5/23E, Taman Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur

Alamat Kedua dalam Parlimen Ampang:
SD6, Jalan Nilam, Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor

Penemuan ini membuktikan bahawa pengundi hantu memang wujud di dalam daftar pengundi apabila Papagomo dibenarkan mengundi dua kali. Kehadiran pengundi-pengundi hantu seperti Papagomo ini perlu dijawab sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana rakyat mahu tahu berapa ramai lagi petugas Umno seperti Papagomo yang mempunyai pendaftaran berganda di dalam daftar pemilih?
Saya juga menyeru rakyat Malaysia supaya menolak individu yang bankrap moral dan akhlak seperti Papagomo yang bukan sahaja seorang penerima rasuah, tetapi menjadi penyebar fitnah utama di dalam masyarakat kita. Rakyat Malaysia juga perlu menolak budaya Umno yang mendokong dan menggunakan individu seperti Papagomo untuk menyebarkan fitnah terhadap musuh politik kerana Umno tidak berani berdepan dalam isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan dan lain-lain.
Sekiranya SPR tidak menjawab pertuduhan ini, ia hanya menguatkan persepsi masyarakat bahawa SPR sedang bertungkus lumus cuba memastikan kemenangan Umno/BN melalui daftar undi yang tidak bersih.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48061

Projek IC: Dr M pembohong besar! – Bekas Ketua Daerah Sandakan

KUALA LUMPUR 19 MAC: Bekas Ketua Daerah Sandakan, Hassnar Ebrahim menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pegawai kerajaan menjual kad pengenalan (IC) untuk kepentingan diri. 

“Dr Mahathir pembohong besar,” kata Hassnar membidas kenyataan Mahathir seperti dilapor Bernama dalam program ‘Bicara Minda di Papar, Sabah 17 Mac lalu. Mahathir dilaporkan berkata, rakyat Sabah tidak boleh mempersalahkan kerajaan semasa pentadbirannya kerana penyelewengan dilakukan pegawai kerajaan atas kepentingan individu. 

Tegas Hassnar, projek IC adalah dalam pengetahuan Mahathir yang tidak selesa dengan pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS) antara tahun 1990 dengan 1994. 

Malah kata Hassnar, dirinya menjadi ‘bahan tawaran’ antara Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan dengan pentadbiran di Kuala Lumpur yang ketika itu berniat untuk menyertai semula Barisan Nasional. “Salah satu syarat (rundingan), Joseph minta saya dimasukkan ke dalam penjara,” kata Hassnar. Tegasnya, sekiranya Dr Mahathir memikirkan bahawa projek tersebut sebagai satu kesalahan, dokumen IC tersebut perlu ditarik balik. 

“Tapi ada kita pernah dengar IC yang dikatakan dijual yang kononnya tidak sepatutnya dikeluarkan kepada individu yang diimport dari luar ditarik? Tidak ada!” tegas Hassnar. 

Beliau berkata demikian pada Forum ‘Mahkamah Rakyat: Kisah dari Lahad Datu, Siapa Pengkhianat Sebenar?’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi. – SDQ 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47750

Monday, March 18, 2013

Najib & Muhyiddin sibuk ke N Sembilan, kawasan sendiri terabai


KUALA LUMPUR 18 MAC: Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas (gambar) hairan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin begitu gemar melawat negeri itu.
“Kenapa Najib suka datang Negeri Sembilan, terutamanya Port Dickson? Ada kenangan silam ke?” seloroh Kamarul disambut ketawa hadirin.
“Muhyiddin pun sama. Kalau tak silap, sudah enam kali dia datang ke Negeri Sembilan. Sedangkan kawasan sendiri pun belum tentu terjaga,” kata Kamarul pada ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Rembau, Sabtu lalu.
Tegasnya, BN tidak mampu merangka dasar untuk kesejahteraan rakyat, selain menabur wang dan janji termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua tahun ini.
“Respon rakyat masih menolak Umno BN walaupun BR1M sudah diberikan. Kalau yakin menang pilihan raya umum, sudah lama mereka bubarkan Parlimen, tapi asyik tangguh,” katanya. – SDQ
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47663

Teknik solekan boleh menyerupai Anwar sama seperti ‘Lincoln’


Abraham_Lincoln_November_1863
Rupa asal Abraham Lincoln
(Oleh: Rusnizam Mahat)
KUALA LUMPUR 17 Mac: Jika pelakon Daniel Day Lewis boleh disolekkan hingga wajahnya saling tak tumpah seperti Presiden ke 16 Amerika, Abraham Lincoln, apatah lagi dalam isu gambar menyerupai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli berkata, sama seperti gambar lucah terbaru mirip Anwar, teknik solekan penyamaran juga boleh dilakukan ke atas mana-mana individu untuk menyerupai ketua umum KEADILAN itu.
Beliau berkata demikian mengulas isu gambar fitnah terbaru yang disebar blogger Umno, memaparkan individu mirip Anwar bersama seorang lelaki.
Kata Rafizi, bukan sesuatu yang asing dalam industri filem Hollywood mengguna teknik solekan bagi menghidupkan watak dalam sesebuah filem, khasnya filem biografi.
Lincon
Daniel Day Lewis selepas disolekkan
“Dengan special effect, make up dan teknologi baru dalam filem Hollywood, Lincoln dan Nelson Mandela boleh diklonkan.
” Daniel Day Lewis, rupanya langsung tak sama seperti Lincoln. Solekan pada wajah, janggut, latihan berjalan dan lain-lain digunakan untuk menjadikan rupa dan pembawaannya sama seperti Lincoln.
“Sudah tentu perkara yang sama boleh dibuat oleh mana-mana individu untuk menyerupai Anwar Ibrahim,”
“Kalau Hollywood boleh hidupkan semula presiden yang sudah mati, bukan lah satu  mustahil, malah perkara yang mudah untuk menghasil individu seperti Anwar. Apatah ia dirakam dalam video pendek dan hitam putih yang kualitinya jauh lebih rendah,” kata Rafizi.
Persoalannya, kata Rafizi, berapakah kos yang dihabiskan oleh musuh politik Anwar untuk menghasilkan individu yang kelihatan sama sepertinya?
“Sudah tentu ia memerlukan dana yang besar, disokong dan dibiayai orang tertentu. Dalam video fitnah pertama, ia dikeluarkan individu yang rapat dengan Umno dan Mahathir seperti Rahim Tamby Chik.
“Memang ada bukti tokoh Umno memainkan peranan yang cukup penting untuk
Daniel Day Lewsi
Daniel Day Lewis
mengeluarkan video fitnah seperti ini,” ujarnya menambah pelakon serupa digunakan seperti dalam video fitnah pertama yang dihasilkan di Thailand.
Tambah beliau, tidak mustahil lebih ramai lagi pimpinan KEADILAN akan menjadi mangsa Umno, termasuk dirinya sendiri dengan penghasilan video seumpama itu.
Bagaimanapun kata Rafizi, KEADILAN enggan melayan fitnah berkenaan kerana tumpuan kini adalah kepada isu melibatkan urustadbir negara.
“Reaksi rakyat akan lebih marah lagi dengan video ini kerana rakyat tidak berminat dengan fitnah peribadi. Hingga satu peringkat ada pemimpin Umno sendiri meminta supaya menghentikan fitnah ini kerana ia menimbulkan kemarahan rakyat,”
“Umno hanya mahu kita mengalih usaha dan tumpuan daripada isu lebih besar seperti rasuah dan kerosakan pentadbiran negara,” katanya.
Dalam filem Lincoln, arahan Steven Spielberg, Daniel Day Lewis disolekkan oleh jurusolek, Lois Burwell yang pernah memenangi anugerah Oskar, dan ia bukan sesuatu yang baru dalam industri filem Hollywood.
Di Malaysia, solekan penyamaran tidak kurang hebatnya. Ia pernah digunakan dalam filem-filem tempatan seperti filem Hingga Ke Hujung Nyawa yang menampilkan Erra Fazira sebagai seorang nenek berusia 78 tahun.
Dalam filem terbitan Metrowealth Movies Production Sdn Bhd itu, teknologi solekan silikon diguna untuk menghidupkan watak Erra sebagai wanita tua.
Manakala Cinta Kolesterol pula menggunakan medium latex atau getah khas untuk mengubah fizikal bekas Ratu Cantik Malaysia itu kepada gadis bertubuh gempal.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47605